Semangkuk Bijirin

Ingin berkongsi ilmu, pengalaman dan pendapat...

Umat Unggul

وَلاَ تَهِنُوا وَلاَ تَحْزَنُوا وَأَنتُمُ الأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ
Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.
(Al-Imran :139)
Ayat ini diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w di atas peristiwa perang Uhud. Seperti yang kita maklumi, dalam perang tersebut umat Islam yang pada mulanya memberikan pukulan yang cukup hebat kepada kaum Musyrikin Quraisy tiba-tiba berjaya ditumpaskan oleh tentera Quraisy yang diketuai oleh Khalid Al-Walid sebelum beliau memeluk agama Islam. Kejadian ini berlaku apabila sahabat-sahabat yang telah ditugaskan untuk berada di kawasan bukit dan memantau keadaan di bawah seketikan terleka tatkala melihat harta rampasan perang yang terlalu banyak yang ditinggalkan oleh pihak Quraisy yang telah lari bertempiaran menyelamatkan diri. Di sini kita menghormati dan memuliakan para sahabat dengan menyatakan bahawa mereka terleka buat seketika itu sahaja. Akibat daripada kelekaan yang seketika itu, mereka telah meninggalkan bukit tersebut dan meluru ke medan perang untuk mengutip harta rampasan perang tersebut. Tatkala melihat gelagat kaum muslimin ini, Khalid Al-Walid yang merupakan seorang panglima perang yang terkenal dengan taktik dan keberaniannya terus memanggil semula anak-anak buahnya untuk kembali memberi pukulan kepada kaum muslimin. Akhirnya, kaum muslimin jatuh di tangan kaum musyrikin.
Akibat daripada peristiwa ini, Allah telah menurunkan ayat di atas untuk menghilangkan kesedihan dan kerisauan dalam hati para sahabat yang telah mengingkari perintah Rasulullah. Mereka bertaubat di atas kelekaan mereka yang seketika itu.
Kita merupakan umat yang unggul, umat yang dimuliakan oleh Allah dan ditinggikan darjatnya di sisi Allah. Lantas kita mesti bersyukur di atas segala nikmat yang telah dikurniakan olehNya dalam hidup kita, terutamanya nikmat untuk menganuti agama yang diredhaiNya. Untuk memanifestasikan rasa syukur itu kita perlulah mengikuti dan menuruti segala apa yang disuruh oleh Allah di dalam Al-Quran dan meninggalkan segala laranganNya secara mutlak. Apabila segala suruhan dilakukan dengan baik, iman akan menjadi lebih baik untuk dijadikan sebagai kompas dalam kehidupan kita.

0 komentar: