Semangkuk Bijirin

Ingin berkongsi ilmu, pengalaman dan pendapat...

Tarbiyah Anak-anak

Kata pepatah mengatakan 'melentur buluh biarlah dari rebungnya'. Apabila kita amati pepatah ini kita akan mendapati bahawa, ia sebenarnya merupakan satu bahasa proses. Untuk melenturkan sebatang kayu buluh, kita perlu melakukan beberapa proses tertentu sebelum kita mendapat hasilnya yang baik. Lantas dalam usaha untuk membentuk dan mendidik anak-anak memerlukan usaha dan juga kegigihan yang betul, selain daripada acuan minda yang berdasarkan Al-Quran dan juga Sunnah. Untuk menentukan kejayaan ibu dan bapa dalam mendidik anak mereka adalah berdasarkan kepada acuan yang mereka gunakan dalam pentarbiyahan anak-anak. Jika betul acuannya, baiklah kualiti anak-anak itu.

Namun sering kita terlupa bahawa dalam membentuk anak yang berkualiti, ibu bapa juga harus menonjolkan sikap-sikap dan sifat-sifat yang berkualiti. Jika kita asyik menekankan pentarbiyahan anak-anak, namun ibu dan ayah tidak tertarbiyah, tidak menunjukkan sifat-sifat yang mulia, kita seolah-olahnya seperti mencurah air ke daun keladi. Anak-anak tidak dapat melihat contoh tauladan yang sepatutnya mereka tiru.

Jika kita menyingkap kisah Rasulullah, baginda mendidik para sahabat dan yang lain melalui kaedah 'qudwah hasanah' yang bermaksud baginda menjadi ikutan yang terbaik bagi setiap orang. Baginda tidak hanya bercakap, tetapi menunjukkan sifat-sifat baginda yang mulia lagi terpuji dalam mendidik para sahabat. Inilah contoh terbaik bagi ibu bapa dalam memilih kaedah yang terbaik dalam mendidik anak-anak. Jangan hanya memikirkan hendak menjadikan anak itu berkualiti, tetapi ibu bapa juga harus berkualiti.

0 komentar: