Semangkuk Bijirin

Ingin berkongsi ilmu, pengalaman dan pendapat...

Ada Apa Dengan Nama

Setiap insan yang dilahirkan di bumi ini pasti akan diberikan satu nama yang bakal dibawa ke akhir hayat sebagai identiti insan tersebut. Nama yang diberikan, semestinya oleh ibu dan ayah tercinta bakal membawa makna dan doa yang menggunung tinggi, mengaharapkan keberkatan dan rahmat daripada Allah s.w.t. Bagi pasangan yang baru mendapat cahaya mata pertama, buku-buku nama-nama Islami sudah pasti menjadi panduan dalam memberikan nama kepada cahaya mata tercinta.

Ada ibu bapa yang memberikan nama kepada anak-anak mereka berdasarkan kepada tema-tema atau kategori-kategori yang tersendiri. Sebagai contoh kita dapat melihat bagaimana adik-beradik daripada sesuatu keluarga mempunyai permulaan nama yang serupa, mungkin bermula dengan Muhammad untuk setiap anak lelaki dan Nurul untuk setiap anak perempuan. Ada juga yang menggunakan nama-nama Allah yang mulia untuk dijadikan nama setiap anak-anak, tidak kurang juga yang menggunakan nama-nama sahabat radiyallahu'anhum.

Namun, tidak kira apa jenis tema atau kategori pun, yang menjadi asas ialah nama itu membawa maksud dan makna yang baik dan tidak mengaibkan. Kadangkala kita dapat melihat dan mendengar nama-nama yang begitu pelik dan aneh yang telah diberikan kepada seseorang individu. Ini bukanlah satu amalan yang sihat kerana ianya mampu memberikan impak dan kesan yang negatif kepada anak tersebut dan menjadi satu kesukaran baginya untuk bergaul dengan rakan seusia dengannya. Namun, kita tidak boleh meletakkan kesalahan secara mutlak ke atas ibu bapa yang telah bertanggungjawab memberikan nama tersebut kerana mungkin pada ketika itu mereka tidak mengetahui.

Bagi insan lain yang mempunyai nama yang indah, penuh makna tersendiri, adalah menjadi tanggungjawab insan tersebut untuk bertanggungjawab ke atas nama yang dipegangnya. Tanggungjawab ini merupakan satu tanggungjawab yang diberikan secara tidak langsung untuk dipikul sehingga dipanggil menghadap Yang Esa. Tanggungjawab tersebut ialah berlaku adil pada nama tersebut.

Seperti yang disebutkan sebelum ini, setiap nama mempunyai maksud dan maknanya yang tersendiri. Maka harus bagi kita untuk tidak melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan maksud nama yang telah diberikan agar ianya terpelihara daripada kecacatan.

Nama yang telah diberikan kepadaku, Miqdad. Setiap kali aku bertemu dengan kenalan baru, pasti satu soalan bakal ditanyakan kepadaku, dan aku sudah menduga.

"Apa maksud Miqdad eh?"

Aku telah beribu kali disoal akan soalan ini, namun pada setiap kali itulah aku gagal memberikan jawapan yang memuaskan hati aku. Aku tidak tahu apa maksudnya yang sebenar-benarnya. Seringkali aku bertanyakan ustaz-ustaz arabku, mereka suruh aku mencari jawapannya sendiri. Tak mengapa, akan ku sentiasa mencarinya hingga akhir hayatku.

Namun aku tahu sedikit-sebanyak tentang sejarah insan yang mula-mula dikenali dengan nama Miqdad ini. Sungguh mengagumkan. Akan kukongsi bersama.

Miqdad bin Amr atau lebih dikenali sebagai Miqdad Al-Aswad merupakan salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w yang begitu berani dan gagah. Beliau adalah antara 4 orang yang Rasulullah sabdakan dicintai oleh Allah dan rasulNya. Dalam kelompok para sahabat, Miqdad dikenali sebagai seorang yang amat berani bertanya kepada Rasulullah tentang apa jua perkara yang menjadi tanda tanya di hatinya.

Jika disingkap kembali sejarah Miqdad, beliau dilahirkan Hazar Maut di Yaman. Beliau telah dibesarkan di sana. Namun pada suatu ketika berlaku pertelingkahan di antara Miqdad dan seorang bernama Abu Shimr yang menyebabkan Miqdad terpaksa melarikan diri ke Mekah. Di Mekah, beliau telah diambil untuk menjadi hamba oleh seorang yang bernama Aswad bin Abd-e-Yaghus. Dari situlah nama Miqdad al-Aswad muncul.

Beberapa ketika selepas itu, Rasulullah mula menyebarkan Islam di kota Mekah. Mendengar tentang ini, Miqdad tanpa ragu-ragu terus berjumpa Rasulullah dan mengucapkan kalimah syahadah di depan baginda. Beliau merupakan antara golongan 7 terawal masuk Islam. Sejak memeluk Islam, beliau tidak pernah berasa ragu dan gusar akan nasib yang bakal menimpanya. Beliau amat yakin dan percaya kepada Rasulullah dan risalah yang dibawa baginda.

Dalam sirah peperangan Islam, Miqdad dikenali sebagai seorang yang amat berani dan pandai dalam teknik-teknik penggunaan senjata dan menunggang kuda. Dalam peperangan Badr, jumlah tentera umat Islam begitu sedikit jika dibandingkan dengan jumlah tentera musyrik yang begitu ramai dan lengkap bersenjata dan kenderaan. Pada ketika itu umat Islam hanya mempunyai 2 ekor kuda sahaja, dan salah satunya telah diberikan kepada Miqdad. Miqdad telah menunjukkan keberanian yang amat luar biasa apabila dia berseorangan memacu kudanya ke tengah-tengah pasukan tentera musuh dan berjaya mengkucar-kacirkan musuh dari dalam kelompok mereka sendiri. Subhanallah, sungguh hebat insan bernama Miqdad ini. Begitulah juga keadaan dalam perang-perang yang berikutnya. Keberanian Miqdad tidak dapat disangkal oleh mana-mana pihak. Itulah kelebihan yang telah Allah kurniakan kepada Miqdad.

Selain daripada keberanian beliau di medan perang, beliau juga dikenali sebagai seorang yang kaya-raya. Walaupu pada asalnya beliau merupakan seorang hamba dan miskin, namun, berkat daripada doa Rasulullah dan rahmat daripada Allah, beliau dikurniakan dengan harta yang banyak. Sehingga dikatakan selepas kematian beliau, beliau menginfakkan sejumlah harta yang banyak kepada Hasan dan Husein sebagai tanda pengharagaan kepada Rasulullah.

Miqdad al-Aswad mati ketika umurnya mencecah 70 tahun. Dikatakan beliau mati diakibatkan oleh penyakit yang tidak diketahui pada ketika itu. Namun kematiannya tidak menghentikan sejarah kegemilangan hidup beliau bersama Islam. Sejarahnya akan terus diulang-ulangi agar dapat melahirkan generasi yang mampu memperjuangkan Islam seperti mana beliau menggadai nyawa mempertahankan Islam.

Begitulah hebatnya para sahabat, mereka mampu mempertaruhkan nyawa demi kepercayaan mereka kerana mereka menghayati Islam dalam setiap aspek kehidupan mereka. Kita mengharapkan dapat menjadi seperti mereka suatu hari nanti. Menjadikan Islam sebagai agenda utama diri, bukanlah suatu perkara yang mudah di zaman serba mencabar ini. Ia memerlukan kesungguhan dan keyakinan yang mega dalam melaksanakan agenda tersebut. Moga-moga kita mampu untuk mencapai apa yang kita kejarkan dan harapnya, Miqdad zaman ini mampu mencontohi Miqdad al-Aswad yang sememangnya sukar untuk dicapai.

7 komentar:

nama anak aku nnt danish haikal.

 

nur akmal = cahaya yang lebih sempurna.....susah ne, aku bukan buzz lightyear....

 

ucop-sedap nama tu.tp pe makna die?

mokchique-ske do buzz lightyear.

 

teringat arwah Tok Wan pernah cerita nama anak murid dia Mat Jadilah....emm apalah punya pendaftar nama masa tu hehe.

 

sll gak jmp nama2 patient yg lucu.sian depa nih.

 

Miqdad ni setahu aku la maksud dia menghalang perbuatan buruk

 

Miqdad..pernah tnya kwn arab maksudnya berani..lebih berani dr singa..maksudnyabtu tersangat berani..