Semangkuk Bijirin

Ingin berkongsi ilmu, pengalaman dan pendapat...

Aku dan Kamu

Bismillahi walhamdulillah...

Manusia semakin hilang nilai pertimbangan. Semakin hari manusia bagaikan telah hilang dan sesat melayari arus perdana dunia sehingga lupa dan mengabaikan prinsip agama yang sepatutnya dijulang dan dijulang lagi dalm kehidupan masing-masing. Nilai manusia kini sudah tidak berlandaskan Quran dan juga Sunnah seperti yang sepatutnya. Apabila nilai manusia sudah songsang, tidak berpandukan rujukan yang authentik, semsetinya manusia bakal dihujani dengan seribu satu tribulasi dan dugaan yang diturunkan lantaran hilangnya platform nilai yang sahih lagi suci.

Itu menjadikan manusia angkuh dalam karya dunianya yang dirasakan begitu hebat dan mapan, selaras dengan perkembangan dunia moden. Aku punya dunia, aku punya idea, aku punya rasa, apa kau kisah? Seringkali terpacul dari mulut yang busuk, mungkin juga hanya berlegar di pemikiran, belum punya kekuatan untuk menghemburkan. Ada yang secara diam menyatakan kepada dunia yang nilai pertimbangannya sudah terbabas dari agama, menggunakan teknologi terkini contohnya, menyampaikan mesej-mesej dan idea-idea yang langsung tidak menggambarkan kemuliaan agamanya. Persoalan yang mungkin timbul, adakah dia masih berAgama? Doaku jawapannya ya.

Apabila nilai sudah karat lantaran pelukan dunia, batas-batas halal dan haram sudah menjadi kabur ataupun hilang sama sekali dalam kehidupan. Perkataan-perkataan lucah, perlakuan-perlakuan lucah (cthnya perlakuan kaum 'Ad), idea-idea lucah, tontonan gambar-gambar lucah bagaikan air sirap yang diminum di kedai tepi jalan. Sudah tidak ada rasa malu dan berdosa terhadap Tuhan sekelian alam dan makhluk-makhluk ciptaanNya apabila melakukan sebegitu rupa. Mungkin niat untuk jenaka dan seumpamanya, lantaran nilai sudah tiada, ia hanya mengundang segunung dosa yang bakal menghempap dan menyesakkan jiwa-jiwa yang kehilangan nilai.

Manusia hanya mengundang padah terhadap dirinya. Akibat terlampau merasakan dirinya cukup pintar untuk mengutarakan idea, dia sudah tidak memikirkan landasan yang perlu diikuti dan dipatuhi dalam membentuk dan memanipulasi sesuatu pemikiran. Baginya dia perlu membuktikan pada dunia bahawa kewujudannya mampu memberikan signifikan kepada semua dan dia mampu untuk melakukan perubahan kepada dunia untuk menjadikan dunia sebagai sebuah tempat kehidupan yang sempurna dengan idea-ideanya. Dia sudah terlupa bahawa kewujudan dirinya bukanlah untuk menjadi hamba pada dunia dan manusia lain, tetapi mengabdikan diri pada Dia yang mencipta dunia dan manusia. Semestinya dia sudah melupakan tugas ini, dek kerana nilai yang sudah hilang.

Aku dan kamu punya tugas yang besar dan banyak. Nilai manusia perlu dibetulkan. Jika dibiarkan berterusan, aku dan kamu akan disoal dan dihukum kerana tidak menjalankan tanggungjawab. Tidak boleh menuggu esok, perlu bermula dari sekarang. Kamu sedia menaiki kapal sekarang? Aku sedia, pasti.

0 komentar: