Semangkuk Bijirin

Ingin berkongsi ilmu, pengalaman dan pendapat...

Qaseh Cayunks...

Tiada sempadan untuk kasih sayang. Tidak kira siapa kita. Orang tua, orang muda. Bos, pekerja. Kaya, miskin. Ibu, anak. Gila, waras. Kasih sayang tidak kenal bangsa dan agama. Ia tidak memilih siapa yang dia suka. Ia milik semua.

Bernilainya kasih sayang itu sehinggakan tidak ada apa pun yang mampu untuk menggantikan tempatnya. Manusia yang memiliki kasih sayang merupakan manusia yang paling bertuah, paling bahagia. Sehinggakan sebuah kerajaan yang hebat sekalipun, jika tidak dipimpin oleh seorang yang tidak mempunyai kasih sayang, dan tidak diberikan kasih sayang oleh rakyatnya, tidak akan mampu untuk memerintah dengan baik dan lancar.

Kasih sayang mampu membuatkan orang hilang pertimbangan kadangkala. Mampu untuk memecahkan sebuah keluarga yang suatu ketika dahulunya dibina atas platform kasih sayang itu sendiri. Mampu untuk membuatkan seseorang itu menghancurkan masa depannya. Mampu untuk menggugat iman seseorang itu, jika tidak berlandaskan aqidah yang suci. Begitu berkuasa kuasa kasih sayang sebenarnya, sehinggakan manusia kadangkala menggunakan ia sebagai senjata untuk memanipulasi dunia. Ramai juga yang menggunakan ia untuk kemakmuran sejagat.

Kasih sayang mampu membentuk seorang insan yang lemah menjadi seorang yang mampu menggoncang ketamadunan dunia. Ini kerana kasih sayang membentuk keyakinan diri dan jatidiri seseorang itu dengan kaedah yang halus. Apabila seseorang itu mendapat kasih sayang, dia akan cuba untuk mendapatkan lagi kasih saying kerana ia merupakan suatu yang ditagih. Apabila mendapat bekalan kasih sayang mengikut acuan dan sukatan yang ditagih, keyakinan diri menebal dan membuatkan dia ‘khayal’ seketika. Ketika ‘khayal’ inilah perkara yang sebelum ini dia tidak mampu lakukan, bakal menjadi kejutan buat yang mengenali.

Kasih sayang mampu menjatuhkan manusia. Apabila kasih sayang itu tiada lagi di dunianya, ia bakal mengundang seribu satu kedurjanaan. Benda yang ditagih tidak mampu lagi untuk dibekalkan, mulalah timbul segala macam paranoia dan kesugulan. Keyakinan diri menurun secara drastic. Produktiviti merudum bagaikan tiada dasarnya. Mulalah ternampak kehodohan manusia itu pada dunia. Kadangkala mampu membawa kepada gila.

Suburkanlah kasih sayang sesama kita. Agar dengannya kita mampu untuk membina sebuah dunia yang disinari dengan cahaya dan kegembiraan. Tiada lagi persengketaan, tiada lagi khianat, tiada lagi hasad. Yang ada hanyalah bibit-bibit kemurnian yang berlegar di antara kita. Bajailah ia dengan kesucian agama berlandaskan sumber yang sah. Janganlah anggap ia sebagai suatu yang boleh diperlekehkan. Kerana tanpanya, kita mungkin tidak menggapai cita-cita.

1 komentar:

what u mean Qaseh Cayunks stupid ejaan macam tahi