Semangkuk Bijirin

Ingin berkongsi ilmu, pengalaman dan pendapat...

Strategi Perjuangan

Manusia merupakan sebaik-baik ciptaan yang telah Allah jadikan di muka bumi ini. Istimewanya manusia ini adalah kerana Allah mengurniakan akal fikiran dalam menjalani dan mentadbir kehidupan mereka di muka bumi ini. Sebab itulah Allah menabalkan manusia sebagai khalifatul ard berdasarkan kepada kurniaan akal tersebut.

Dengan akal tersebut manusia merancang tentang kehidupan mereka. Mereka menetapkan bagaimana mereka ingin menjalani kehidupan di muka bumi ini. Mereka juga menggunakan akal tersebut untuk memperbaiki kehidupan mereka agar mereka selesa untuk beribadah dan bersosial.

Namun kadangkala manusia menyalahgunakan nikmat akal yang diberi. Mereka menggunakan akal tersebut untuk mencipta ideologi dan pemahaman yang kontra dengan sunnatullah. Manusia seringkali bertelagah akibat perbezaan pendapat dan seumpamanya. Dari situ wujudlah kumpulan-kumpulan yang saling salah-menyalahi dan mempertahankan ideologi masing-masing. Masing-masing mengatakan bahawa perjuangan mereka berada di pihak yang benar.

Dalam sesebuah perjuangan, strategi memainkan peranan yang maha penting dalam menentukan arah akhir perjuangan tersebut. Samada menang atau kalah. Jika kita lihat di era Rasulullah pun baginda amat menitikberatkan strategi yang akan digunakan agar ia memberi hasil yang positif di pihak Islam. Sebagai contoh dalam perang khandak, ketika itu Rasulullah mengumpulkan sahabat-sahabat untuk menentukan strategi yang paling berkesan dalam perang kali ini, dan akhirnya mereka sepakat untuk menggali parit di sekeliling Madinah sebagai strategi dalam perang tersebut.

Begitu juga dalam kehidupan kita pada hari ini. Kehidupan juga merupakan salah satu perjuangan yang harus kita tempuhi. Ini kerana semakin hari kita semakin berhadapan dengan pelbagai ujian dan tribulasi yang kadangkala mampu untuk menggoyah kepercayaan dan keimanan kita. Lantas kita memerlukan strategi yang efektif lagi jitu dalam berhadapan dengan dugaan tersebut.

Strategi yang dimaksudkan tidaklah semestinya boleh dilihat dari segi fizikal dan hasilnya boleh dilihat dalam jangka masa yang singkat. Dalam sesebuah perjuangan perlu ada objektif yang ingin dicapai. Strategi yang bakal diatur haruslah seiring dengan objektif perjuangan agar ia tidak lari dari nilai asal perjuangan tersebut.

Strategi yang terbaik bukanlah strategi yang dapat mencapai target atau objektif dalam masa yang singkat tetapi hanya dapat bertahan untuk satu jangka masa yang pendek, tetapi ianya perlulah bersifat jangka masa yang panjang dan berkekalan.

Kadangkala strategi yang terbaik dalam sesebuah perjuangan itu ialah dengan menggunakan kaedah 'sirr' atau secara rahsia. Kita masih meneruskan perjuangan mempertahankan yang haq namun kita tidak menyuarakan perndirian kita secara terang-terangan kepada umum. Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabat ketika zaman awal Islam di Mekah. Mereka tidak menyuarakan kepercayaan mereka kepada umum kerana bimbangkan keselematan diri dan keluarga, namun perjuangan menuntut ilmu agama tetap dilakukan. Hasilnya seperti yang kita dapat lihat seperti yang direkodkan sejarah, mereka menguasai sepertiga dunia.

Begitu juga dengan kita pada hari ini. Dunia sering menidakkan perjuangan menegakkan yang benar dan haq, bukan kerana dunia ini tidak adil, tetapi akibat tangan-tangan kotor manusia yang bodoh dan jahil agama yang memerintah dunia. Sebab itu dalam perjuangan antara strategi yang perlu ialah membahagikan tugas dan peranan yang perlu dimainkan bagi memastikan perjuangan tersebut berjalan dan terus berjalan. Ada yang perlu untuk menunjukkan muka untuk memberikan isyarat bahawa masih ada golongan manusia yang sedar akan kebatilan yang wujud, dan ada yang perlu untuk mendiamkan diri dari umum tetapi menjalankan kerja di belakang tabir.

Seringkali manusia terlupa akan kumpulan kedua yang amat perlu diwujudkan untuk memastikan perjuangan sentiasa diteruskan di masa hadapan. Selalunya golongan kedua ini tergolong dari kalangan mereka yang masih lagi belum cukup dengan ilmu yang diperlukan dalam perjuangan tersebut. Mereka bukanlah tidak mengambil endah akan perjuangan, tetapi mereka perlu dididik dan dipupuk terlebih dahulu sebelum mereka diletakkan di barisan hadapan.

Lantas aku sekali lagi ingin menegaskan kepada semua, perjuangan tidak semestinya secara fizikal. Kadangkala perjuangan secara 'sirr' ini memberikan impak yang lebih berpanjangan daripada secara fizikal. Banyak lagi agenda kehidupan yang harus kita tempuhi dan penuhi. Ayuh! Menuntut ilmu juga merupakan satu perjuangan. Lakukan itu dahulu di samping tidak melupakan dan mengabaikan perjuangan yang lain. Dengan meneruskan perjuangan tersebut, kita mengharapkan pengakhiran yang sama, iaitu ‘mardhatillah’.

2 komentar:

tu la miqdad, nak walimah pn kena ada strategi

 

masyaAllah...mmg tepat skali..hehe