Semangkuk Bijirin

Ingin berkongsi ilmu, pengalaman dan pendapat...

Tukang Cerita Tukang Karut

Bismillahi wal hamdulillah

Setiap insan diciptakan Allah berbeza setiap satu dari yang lainnya. Tidak kira dari segi fizikal mahupun personaliti, setiap satu yang diciptakan mempunyai keunikannya yang tersendiri. Keunikan yang tersendiri inilah yang membentuk setiap insan itu menjadi apa yang dinilai oleh manusia di sekelilingnya. Ada yang mampu untuk melakukan aktiviti atau perkara yang tidak mampu dilakukan oleh yang lain kerana kemampuannya untuk memanipulasi dan mengoptimumkan setiap inci tubuh badannya bagi. Ada yang mampu untuk mencipta benda baru bagi memudahkan kehidupan manusia kerana kemampuan mereka untuk memahami ilmu yang pelbagai dan mengaplikasikannya bagi menghasilkan sesuatu yang bermanfaat. Ada yang mampu untuk berhujah dan berpidato kerana kemampuan mereka untuk mengasimilasikan pelbagai fakta dan melontarkannya dalam bentuk hujah atau cerita. Terdapat pelbagai keunikan dan keistimewaan insan yang dapat kita lihat pada hari ini, dan semua itu kita yakin hanya akan berlaku dengan keizinan Allah s.w.t.

Bagi seorang pelajar perubatan yang sedang menjalani tahun praktikal atau amali, kemampuan dan kebolehan untuk bercerita merupakan antara komponen yang amat penting dalam memastikan kelancaran perjalanan pembelajarannya. Seorang pelajar praktikal perubatan adalah diharapkan untuk mempunyai kebolehan yang baik dalam penyampaian atau pembentangan. Ini kerana dia perlu mendapatkan maklumat peribadi dan kesihatan pesakit dan kemudiannya menceritakan atau membentangkannya di hadapan doktor pakar dan pelajar yang lain. Apabila menceritakan perihal riwayat pesakit yang panjang lebar, dia perlu pandai meyusun dan menjadikan perihal riwayat tersebut semenarik mungkin agar tidak membosankan dan yang paling tidak diingini, menjadikan pendengar bingung akan diagnosis penyakit yang ingin dibuat.

Kalau kita lihat kepada sebuah cerita, di permulaan cerita tersebut semestinya ada pengenalan kepada watak utama cerita tersebut. Adakah seorang ibu, anak ataupun seekor arnab yang bakal menjadi pemegang watak utama. Begitu juga dengan perihal riwayat pesakit. Perlu untuk memperkenal siapa diri pesakit terlebih dahulu sebelum menceritakan tentang yang lainnya.

Kemudian di permulaan cerita juga diperkenalkan tentang tema cerita itu. Ia cerita tentang apa? Seekor semut? Sebuah pelayaran? Atau tentang seorang ibu yang sayangkan anaknya? Begitu juga dengan perihal riwayat pesakit. Ianya berkisar tentang mengapa pesakit itu datang ke hospital sehinggakan perlu dimasukkan ke dalam wad. Selalunya adalah disebabkan oleh rasa sakit dan mungkin juga sebab yang lain. Kadangkala pesakit akan memberikan sebab yang pelbagai mengapa dia datang ke hospital, namun seorang pelajar perubatan haruslah pandai dalam menentukan apakah sebab paling utama atas kedatangan pesakit itu.

Dalam setiap cerita pasti ada watak-watak sampingan yang berkaitan bagi menambah seri cerita itu. Ada cerita yang mempunyai ramai watak tambahan, ada juga yang cukup dengan beberapa watak sokongan, tanpa memberi kesan negatif kepada jalan cerita dan watak utama cerita tersebut. Begitu juga dengan perihal riwayat pesakit. Kita perlu bertanya dengan lebih dalam tentang simptom-simptom berkaitan dengan penyakit yang dialami oleh pesakit. Kadangkala 'watak sampingan' ini memberikan klu yang sangat jelas dalam membentuk diagnosis. Seringkali pelajar perubatan terlupa akan 'watak sampingan' ini kerana ada penyakit mempunyai sebab yang pelbagai. Lantas pembacaan yang mendalam perlu dilakukan oleh pelajar perubatan.

Watak utama pasti akan dikelilingi oleh orang yang memberikan kesan yang lebih hebat dan menarik kepada jalan cerita. Orang rapat yang dimaksudkan selalunya ialah ahli keluarga dan rakan-rakan. Dalam mendapatkan perihal riwayat pesakit, pelajar perubatan perlu bertanyakan tentang sejarah keluarga samada wujud penyakit warisan seperti ketumbuhan dan seumpamanya untuk membantu dalam membentuk diagnosis. Namun tidak semestinya sejarah keluarga dapat membantu memberikan diagnosis yang tepat. Sejarah sosial pesakit juga harus diselidiki bagi menentukan faktor-faktor risiko (sekiranya ada) terhadap pesakit. Ini mungkin akan mempengaruhi rawatan yang akan diberikan kepada pesakit.

Cerita yang berkualiti pasti menggunakan 'props' yang cantik dan menarik untuk menawan hati penonton. Sebab itu filem-filem 'box-office' kadangkala memerlukan pelaburan jutaan ringgit untuk membikinnya. Semuanya untuk menjadi tatapan penonton. Begitu juga ketika mendapatkan perihal riwayat pesakit. Pelajar perubatan harus membuat pemeriksaan fizikal terhadap pesakit tersebut untuk mendapatkan data-data sokongan bagi membentuk diagnosis. Pemeriksaan fizikal yang baik selalunya dapat menceritakan dengan lebih jelas tentang penyakit yang dialami oleh pesakit tersebut. Kadangkala pelajar perubatan nampak kekok ketika melakukan pemeriksaan fizikal. Haruslah selalu mempraktikkan agar senang dan lancar melakukannya ketika peperiksaan dan masa hadapan. Inilah satu-satunya bahagian di mana praktis lebih utama daripada pembacaan. Sekadar mempunyai teori di kepala takkan membantu ketika amali kelak.

Setiap cerita pasti mempunyai klimaks atau kemuncak kepada jalan cerita tersebut. Kalau cerita itu tidak ada kemuncaknya, maka ia bukanlah cerita yang bagus. Patut dibuang saja ke dalam tong sampah. Dalam perihal riwayat pesakit, kemuncaknya ialah diagnosis yang dibuat berdasarkan kepada semua yang diselidiki sebelum ini. Diagnosis dibuat berdasarkan kepada sejarah dan pemeriksaan fizikal. Selalunya bagi menyokonga diagnosis yang dibuat, penyiasatan tambahan perlu dilakukan seperti ujian darah dan seumpanya, bergantug kepada penyakit yang dihidapi.

Semua ini harus dibentangkan atau diceritakan oleh seorang pelajar perubatan kepada doktor pakar. Lantas keboleh untuk bercerita dan menyampaikan dengan baik adalah sangat perlu kepada pelajar perubatan. Namun kadangkala ketika cemas dan stress pelajar perubatan yang mempunyai kebolehan ini pun mampu untuk kandas dan tidak dapat menyampaikan dengan baik. Ini biasa kerana pelajar perubatan pun manusia biasa. Manusia tidakkan sunyi dari kesilapan. Ini suatu yang pasti. Namun seharusnya pelajar perubatan itu selalu mempraktis menyampaikan agar ianya menjadi suatu yang biasa dan insyaAllah dapat membantu ketika stress, terutamanya ketika peperiksaan.

Aku berdoa kepada Allah agar golongan yang berkenaan di atas dibantu dan dipermudah oleh Allah dalam pekerjaan seharian mereka. Terutamanya buat diriku dan juga rakan-rakan yang bakal menghadapi peperiksaan minggu depan. Aku doakan agar semuanya berjaya menjadi seorang pencerita yang baik. Moga sukses selalu.

3 komentar:

awat hangpa lagu tuh....hahha

 

amboi santai abih.
ish jeles sebab tak dapat pi :-)