Semangkuk Bijirin

Ingin berkongsi ilmu, pengalaman dan pendapat...

Coretan Rasa (1)

Bismillahi wal hamdulillah

Hari-hari cutiku berlalu tanpa begitu banyak aktiviti luaran. Lebih banyak terperuk dalam rumah, ditemani netbook dan buku. Sekali-sekala keluar untuk menghilangkan jemu terperuk di rumah sahaja. Itu pun tidak dapat menghilangkan rasa gundah dan resah yang telah lama terbuku dalam diri.

Banyak yang aku fikirkan sejak akhir-akhir ini. Masa depanku dalam bidang perubatan masih samar-samar. Walaupun sudah 5 tahun, aku masih tidak dapat membayangkan aku sebagai seorang doktor yang baik. Masih banyak kelemahan dan kekurangan yang perlu diperbaiki dan diperhalusi. Ingin sekali mahu memperbaiki semuanya, namun setiap kali itulah aku jatuh tersembam dek semangat yang bagaikan 'chipsmore', seolahnya mempermain diri ini.

Rasa marah dan kecewa terbit dengan sekumpulan manusia yang tidak mempunyai kuasa untuk membuat sebarang keputusan dalam sebuah organisasi. Bayangkan dalam satu organisasi profesional, hanya satu kepala sahaja yang boleh membuat keputusan. Yang lain tidak punya suara apa pun. Dasar kuku besi. Patut dibakar hidup-hidup bersama besi-besi itu. Begitu ramai yang dizalimi akibat perbuatan manusia ini. Moga dia sempat bertaubat sebelum bertemu Ilahi.

Dari dulu aku membayangkan kehidupan universiti yang indah dan menyeronokkan. Kehidupan yang penuh dengan aktiviti persatuan yang memperjuang agama Ilahi, mempererat tali ukhwah sesama muslim dan beroganisasi secara lebih terancang dan teratur. Segala-galanya hancur. Sudah 6 tahun, dan bakal masuk tahun yang ketujuh. Yang aku dapat selama 6 tahun ini adalah sabar. Aku menjangkakan tahun yang ketujuh pun tidak kurang bezanya dengan tahun-tahun sebelum ini.

Tak sangka dalam institusi yang tertera Islam dalam namanya sebenarnya dijangkiti Islamophobia. Aktiviti berbentuk keagamaan cukup sukar hendak dilaksanakan. Hakikatnya semua aktiviti sukar dilaksanakan, tetapi nampak lebih ketara bila disebut tentang agama. Islam sering dikaitkan dengan politik. Ini yang terjadi bila yang memimpin jahil agama. Bodohnya terserlah dengan perkataan dan perilakunya.

Rasa marah ini bukan dibuat-buat. Ia lahir dari kesedaran. Aku akan jatuhkan kamu bila tiba masanya. Kamu takkan dapat menggagalkan aku. Hanya Allah yang berkuasa untuk itu. Lebih baik kamu bersedia untuk berdiri sebaris denganku, kerana kamu tak mahu menjadi musuhku. Moga kamu dan aku mendapat hidayah dariNya.

0 komentar: