Semangkuk Bijirin

Ingin berkongsi ilmu, pengalaman dan pendapat...

Guru Terbaik

Bismillahi wal hamdulillah

Kehidupan merupakan cikgu terbaik bagi kita. Dia mengajar kita tentang perkara baik dan buruk. Dia mengajar kita tentang betul dan salah. Dia mengajar kita tentang suka dan duka. Dia mengajar kita tentang bagaimana hendak mengatasi masalah kita. Dia mengajar kita tentang nilai kehidupan. Dia mengajar kita erti kesabaran. Dia mengajar kita untuk tidak mengenal erti putus asa.

Kehidupan mengajar kita melalui pengalaman. Setiap pengalaman yang dialami dan dihadapi oleh kita, samada kita suka ataupun tidak, merupakan satu pengajaran bagi kita. Kalau kita sedang menghadapi suatu pengalaman yang pedih dan pahit, dia sedang mengajar kita erti sabar dan tabah. Kalau kita sedang menghadapi pengalaman yang manis, dia sedang mengajar kita erti syukur dan bersyukur. Jika kita sedang menghadapi masalah akibat dari tindakan kita, dia menyediakan kita untuk hari hadapan suapaya kita tidak mengulangi kesilapan yang sama.

Pengalaman-pengalaman yang dihadapi oleh setiap orang berbeza satu dengan yang lainnya. Walaupun dua orang berada pada tempat dan masa yang sama, ia mempunyai kesan dan impak yang berbeza ke atas kedua orang terbabit.

Pengalaman-pengalaman itu merupakan acuan dalam membentuk sebuah kehidupan. Sesebuah kehidupan itu akan dicorak berdasarkan kepada peribadi dan pemikiran seseorang yang telah dibentuk sedari awal lagi oleh pengalaman. Adalah mustahil bagi seseorang yang kurang pengalaman untuk menempuhi kehidupan dengan senang tanpa susah-payah. Adalah mustahil juga untuk kita pisahkan antara kehidupang dan pengalaman kerana kedua-duanya merupakan entiti yang sama tapi tak serupa.

Ibu bapa yang baik sedar dan ambil berat akan hakikat ini. Tanpa pengalaman yang mencukupi bagi seorang anak, tidak mungkin anak tersebut akan dilepaskan begitu sahaja tanpa pengawasan oleh ibu bapa mereka. Sebab itulah digalakkan sedari kecil lagi ibu bapa melibatkan anak-anak mereka dengan aktiviti-aktiviti luar yang bermanfaat agar dapat mereka kumpul sebanyak mungkin pengalaman supaya boleh mereka gunakan dalam kehidupan di masa hadapan.

Namun persoalan yang timbul, bagaimana kita hendak mengukur pengalaman itu untuk menjadi satu tanda aras standard yang boleh digunapakai untuk mengatakan seseorang itu sudah cukup pengalaman dalam menyusuri sebuah kehidupan yang terbaik? Soalan yang logik tetapi tidak berasas.

Tidak mungkin wujud walau seorang bijak pandai pun yang berani untuk menetapkan had ini sebagai tanda aras cukupnya pengalaman seseorang itu. Kita terlupa bahawa kehidupan sehari-hari itu merupakan pengalaman baru bagi kita. Setiap hari yang kita telah, sedang dan bakal tempuhi merupakan pengalaman yang telah, sedang dan bakal kita timba dan dibawa bersama sehingga ke liang lahad.

Walaupun kita menghadapi situasi yang sama berulang kali, tidak mustahil untuk kita melakukan kesilapan yang sama berulang kali, sekiranya kita memandang enteng akan pengajaran melalui pengalaman tersebut.

Lantas, bila masa yang sesuai untuk ibu bapa melepaskan anak mereka dalam berguru dengan pengalaman sendirian? Sebenarnya sedari mereka kecil mereka belajar dengan pengalaman secara sendirian. Pengalaman itu adalah berbeza bagi setiap orang kerana berbezanya peribadi dan gaya pemikiran. Tidak menjadi suatu persoalan yang besar tentang waktu yang sesuai, tetapi perlu ditambah dengan kepercayaan dan tawakkal kepada Allah.

Isu kepercayaan merupakan isu yang besar untuk dibincangkan. Rata-rata manusia mempunyai masalah dalam bab ini. Suami tidak percayakan isteri, begitu juga sebaliknya. Apatah lagi ibu bapa dengan anak-anak mereka. Ibu bapa sentiasa menganggap anak-anak mereka masih kecil, walau berapa jua umur anak mereka. Itu sifat fitrah ibu bapa. Ia menyebabkan mereka masih terasa perlu untuk mengawasi anak-anak mereka, sehinggakan ada di antara anak-anak tersebut merasa terkongkong. Kita tidak sepatutnya menyalahkan mereka kerana itu adalah fitrah jiwa mereka.

Namun ibu bapa perlu juga untuk memahami anak-anak mereka. Anak-anak akan merasa tenang dan gembira sekiranya mereka diberi kepercayaan dalam mengendalikan kehidupan mereka berdasarkan kepada pengalaman yang telah mereka lalui dan lihat. Dengan itu perhubungan kekeluargaan akan menjadi lebih erat dan manis.

Seterusnya berserahlah kepada Allah, kerana kita merancang, tetapi Dialah sebaik-baik perancang. Tanpa izinNya, segala yang dirancang tidak mungkin dapat dilaksanakan. Tanpa izinNya, sia-sialah segala pengalaman kita. Sebab itu banyakkan berdoa agar mendapat yang terbaik dariNya. Moga kita semua thabat atas jalanNya yang lurus ini. :)

0 komentar: