Semangkuk Bijirin

Ingin berkongsi ilmu, pengalaman dan pendapat...

Semangat2



Bismillahi wal hamdulillah

Masa, begitu pantas meninggalkan kita. Begitu cepat ia berlalu. Rasanya seperti baru semalam bermula. Hakikatnya sekarang sudah hampir di garisan penghabisan. Perasaan bercampur-baur. Gembira, sedih, suka, duka, atau langsung tidak berperasaan. Tidak tahu yang mana mendominasi.

Pejam celik, sudah hampir 7 tahun aku di alam universiti. Suatu fasa atau peringkat yang aku sangat harapkan ketika di bangku sekolah. Aku tahu aku bakal mendapat pelbagai pengalaman dan pengajaran. Benar sangkaan itu. Banyak yang aku dapat sepanjang 7 tahun ini. Ramai yang aku kenali selama 7 tahun ini.

7 tahun ini banyak merubah diriku, dari sudut pandangan dan pemikiran. Aku mula membuka mata dan fikiran terhadap dunia. Dulunya aku agak tersepit dalam suasana yang kecil di atas pulau. Hanya berlegar di sekitar mereka yang kukenali. Tidak banyak variasi atau beza dari diriku.

Tapi setelah menapak ke universiti ini, aku mula menerima perbezaan yang ada di antara insan. Ada yang lurus, ada yang bengkok. Ada yang cepat, ada yang lembab. Semua itu mencorakkan kehidupan aku selama ini. Walaupun agak sukar untuk menerima di awalnya, tapi semua itu telah diatasi dengan seikhlasnya. Menerima perbezaan bukanlah suatu perkara yang mudah bagi setiap orang.

7 tahun belajar di universiti, suatu jangka waktu yang cukup lama. Ramai saja yang selalu bertanya bila lagi nak habis belajar. Yang paling selalu ditanya, bila lagi? Faham-faham saja maksudnya. Bagi yang tidak tahu, aku mengambil kursus bidang kedoktoran selama 6 tahun, dan matrikulasi selama setahun. Campur semuanya 7 tahun, insyaAllah. Walaupun masih berstatus sebagai seorang pelajar, aku sedar yang aku sudah tua.

Bila melihat rakan-rakan yang lain sudah bekerja dan mendirikan rumahtangga, terasa juga terkilan dengan keputusan yang diambil. Kadang-kadang terasa juga mahu berhenti, tapi ramai yang berkata sudah terlambat. Dah di tahun akhir. Betul juga. Tak boleh nak menafikan kenyataan itu. Perjuangan harus diteruskan, walaupun momentum semakin hari semakin berkurangan. Harus terus yakin.

Insan itu makhluk lemah dan ada limitasi. Kadang-kadang perlu juga ada yang terus memberikan rangsangan dan semangat. Agar perasaan sedih dan lemah itu dapat diatasi sebelum ia mula menjadi barah. Barah yang bakal dibawa seumur hidup. Jika ia dibiarkan menular, pastinya ia akan mempengaruhi hidup. Mengubah peribadi dan perangai ke arah yang lebih merosakkan.

Kehidupan universiti yang kuimpikan bukanlah seindah yang dibayangkan. Entah apa dan mana silapnya. Akukah yang bersalah kerana tidak lebih proaktif? Atau pentadbiran universiti yang wajib dipertanggungjawabkan? Entahlah. Yang pasti, aku tidak akan mencadangkan sesiapa pun masuk ke universiti aku ini sekarang. Mereka pasti kecewa sepertimana aku kecewa. Universiti yang sentiasa pandang tinggi pada diri sendiri, dan sentiasa menafikan kelemahan yang ada di dalamnya.

Begitu banyak perkara negatif boleh diceritakan. Tapi apa guna memandang kepada perkara yang tidak enak difikirkan. Masih banyak yang gembira untuk diingati.

Di universiti ini aku mengenali ramai yang baik. Yang ceria. Yang indah. Yang yok =). Sahabat-sahabatku dan mereka yang mengasihiku di jalan Ilahi. Merekalah yang sentiasa menceriakan hariku. Boleh hilang duka ketika bersama mereka. Boleh sentiasa gembira bila bersama mereka. Begitu ramai untuk disebut seorang demi seorang. Dan pastinya ada yang lebih aku sayang dan aku ambil kisah. Ada juga sekadar ambil tahu sudah mencukupi. Tidak mungkin boleh sama nilai antara semuanya. Aku juga insan lemah.

Buat kamu yang aku sayang dan aku kisah. Semoga kita bahagia dunia dan akhirat. Teruskan semangat. Yosh!



2 komentar:

aku semangat dad...jom movie!!

 

aku dah layan predator ngn ajis smlm =)