Semangkuk Bijirin

Ingin berkongsi ilmu, pengalaman dan pendapat...

Aku Sudah Tua

Bismillahi wal hamdulillah

Genap 25 tahun aku dilahirkan di muka bumi ini. Alhamdulillah, setinggi-tinggi pujian dan pujaan aku panjatkan ke hadrat Ilahi kerana masih lagi memberi aku ruang dan masa untuk memperbaiki diri, membawa diri menuju kepadaNya.

Terima kasih aku ucapkan kepada semua sahabat-handai, rakan-taulan dan kenalan atas ucapan selamat yang diberikan. Aku terharu dan bergembira atas ucapan itu.

Hampir 7 tahun aku menyambut hari kelahiran di perantauan (takde la jauh mana pun. KL ja). Syukur hari ni aku dapat menyambutnya di samping ahli keluarga tercinta. Takde la sampai buat parti atau kenduri. Tapi sedikit seronok kerana dapat berada di rumah pada hari yang kita anggap sedikit istimewa. (Apa kena la bahasa aku malam nih...haih)

Aku berkongsi hari jadi dengan abang aku. Aku rasa pernah cerita tahun-tahun lepas. Tapi tahun ni sedikit unik kerana hari keputeraan rasmi DYMM Sultan Mizan juga jatuh pada tarikh yang sama. Jadi satu Malaysia akan cuti pada hari jadi aku. Macam best plak. Hehe.

Terasa semakin tua. Lebih terasa lagi bila aku pergi ke program TAMU tu. Dikelilingi adik-adik kecil, dan tak lupa juga kepada fasi-fasi yang semuanya lebih muda dari aku. Ada sorang tu, dia dah jadi pensyarah di UniMaP, tapi muda dari aku, sudah berumahtangga dan sedang menunggu kelahiran cahayamata pertama. Bila aku bandingkan diri aku dengan semua, aku masih tidak ada apa-apa. Baru je habis belajar. Boleh kata belum masuk fasa kehidupan sebenar. Selama ini hanya perlu belajar, belum memikul tanggungjawab yang besar-besar. Tapi sekarang jika dihadapkan kepada aku tanggungjawab yang besar, belum tentu aku mampu. Kerana aku tua di sudut umur, di sudut pengalaman dan kematangan belum tentu ia seiring dengan umurku.

Orang kata bila setiap kali meningkat umur, pasti ada azam baru. Aku masih berpegang dengan azam lamaku, aku tidak mahu letih untuk menjadi baik. Aku perlu menjadi baik, kerana aku suka orang yang baik. Moga doa kalian kepadaku dimakbulkan Allah. Teruskanlah berdoa untukku. Moga kita mendapat yang terbaik di sisi Ilahi. =)

0 komentar: