Semangkuk Bijirin

Ingin berkongsi ilmu, pengalaman dan pendapat...

Air Mata

Bismillahi wal hamdulillah

Air mata...cukup berharga bagi manusia. Kalau digunakan pada tempat dan waktu yang tepat, dapat memberikan kesan dan makna yang mendalam dan berguna. Ada yang terlalu mudah menitiskan air mata, ada yang terlalu keras dan sukar untuk menumpahkan walau setitis. Namun itu tidak bermakna yang mudah menitiskan itu lebih baik, atau sebaliknya. Semuanya bergantung kepada tempat dan waktu ia dititiskan.

Berhadapan dengan Rabb, tangan yang penuh dengan kekejian dan kekotoran ditadahkan untuk memohon belas ihsan agar diampunkan segala dosa, masa yang tepat untuk menitiskan air mata yang tersimpan sekian lama. Titiskan air mata itu walaupun perlu dipaksa. Allah sukakan hambaNya yang merendahkan diri ketika bermunajat padaNya. Tunjukkan padaNya yang kita benar-benar lemah dan mengakulah setiap kesalahan yang kita lakukan. Mudah-mudahan Allah berlembut dan sudi untuk mengampunkan.

Air mata, senjata paling berkesan buat wanita, untuk menundukkan keangkuhan dan keegoan seorang lelaki. Tidak ada lelaki yang mampu bertahan dengan tangisan seorang wanita. Pasti luluh dan hancur hati lelaki tatkala mendengar tangisan dan melihat air mata menitis di pipi isteri tercinta, dek kerana kerakusan mengagungkan keegoan dan keangkuhan. Gunakan air matamu untuk melembutkan hati suamimu. Moga ianya menjadi pengajaran agar dia tidak mengulanginya. Namun awas, jangan ianya digunakan acapkali berhadapan masalah.

Moga setiap titisan air mata itu menggugurkan dosa-dosa kita, mengingatkan kita tentang kelemahan diri dan memberikan kita kekuatan untuk terus berusaha memperbaiki diri. Jangan berbangga sekiranya kau sukar menitiskan air mata walau berhadapan dengan apa jua situasi. Berhati-hatilah jika kau terlalu senang untuk menitiskan air mata sehingga kering air matamu. Cermin diri jika kau tidak pernah menitiskan air mata di depan Rabbmu. Air matamu sangat berharga.

Jom jadi lebih baik

Bismillahi wal hamdulillah

Sejak dua menjak nih, hujan selalu turun dengan lebatnya kat KL. Mesti satu pakej dengan ribut sekali. Pastu mula la air menitik-nitik masuk kot celah-celah tingkap. Pastu biar je air tu kering dengan sendirinya. Hehe. Tapi sangat bes untuk tidur bagi mereka yang penat seharian berada di wad menelaah semua pesakit yang ada kat dalam wad (buekkkk).

Tadi masa nak pegi jumpa ikhwah (kawan2 laki), hujan masih turun renyai2. Kilat tak henti-henti. Berdentum sana, berdentum sini, menghiasi suasana petang sabtu. Ada sekali tu, rasanya kilat tu dekat la jugak. Meletup je, "Omak kau" jerit sis Karen (Karim nama sebenar) seiring dengan dentuman kilat tersebut. Masa tu aku tengah atas motor. Alhamdulillah, boleh kontrol macho lagi, walaupun dah terlanggar lubang. Cis, sape plak tak kambus lubang tetengah jalan nih. Boleh nahas kalau tak hati-hati.

Masa tu jugak terlintas kat hati, "Ya Allah, aku masih banyak dosa. Jangan ambil aku lagi".

Masa sentiasa akan berdetik. Tik tok tik tok. Tak pernah dia nak tunggu kita. Dia tak pernah peduli pasal kita. Dia akan sentiasa bergerak dan berlalu, samada kita suka atau tidak. Apa dah kita buat dengan umur kita selama ni? Banyak dah amal? Banyak dah infaq? Banyak dah zikir dan fikir? Banyak dah kegiatan dakwah dan tarbiah? Banyak dah pahala?

Memang kita ada banyak. Dah buat banyak. Banyak apa? Banyak buang masa. Banyak buang harta. Banyak cakap benda tak berfaedah. Banyak mencarut. Banyak mengumpat. Banyak memfitnah. Banyak tidur. Banyak makan. Dan yang paling kompem banyak ialah banyak dosa.

Nak masuk syurga dengan tu? Please, nak lepas titian sirat pun belum tentu boleh sampai habis. Astaghfirullah.

Kita tahu dan sedar semua pasal benda ni, tapi kenape kita tak nak buat? Senang saja jawapan dia. NAFSU la macha. As simple as that.

Kita tahu kita belum bersedia nak berdepan dengan Allah dengan amalan yang kita ada sekarang. Tapi dalam kesedaran tu kita tak juga nak usaha kumpul pahala. Nak gak buat benda tak berfaedah. Ada saja alasan dan dolak-dalih tak nak buat baik. Astaghfirullah. Nafsu semua tu bro n sis.

Nafsu la yang nak menjahanamkan diri kita ke dalam jahannam, wal'iyazhubillah. Kita kena kawal nafsu kita. Kalau kita suka tidur, kita kena lawan rasa nak tidur tu walaupun kena letak batang mancis kat mata. Kalau tak jalan dengan batang mancis, boh jarum peniti. Kompem tak berani nak pejam mata. Kalau korang jenis yang suka beli-belah, apa kata bagi duit korang tu kat aku so that aku boleh simpan untuk beli kereta idaman aku. Hehe. Ok2, infaq la duit tu kat jalan dakwah. Kalau tatau kat mana, bagi je kat masjid berdekatan kerusi anda duduk depan laptop anda sekarang. As simple as that.

Kalau kita mampu kawal nafsu kita, memang TERBAIK la. Sebab Rasulullah kata antara jihad yang terbesar ialah melawan hawa nafsu.

Bila kita nak buat benda-benda baik tu pastikan kita IKHLAS. Masa jumpa ikhwah dia ada ingatkan tentang ikhlas dalam beramal. Perghh, memang terasa. Pedih macam kena tusuk ngan ekor ikan pari. Korang takkan tahu betapa pedihnya kena tusuk ngan ekor ikan pari. Kalau nak tahu camne rasenye, tanya aku. Pedih siot. Itu je komen yang aku boleh bagi.

Tapi memang betul. Ikhlas ni cukup susah nak diamalkan. Cuba la kenang balik zaman silam berapa banyak solat yang kita buat kerana Allah semata-mata. Bukan sebab terpaksa, sebab rasa segan kat orang, sebab bakal pak mentua tengah tengok etc. Cuba kenang balik setiap kali kita hulurkan tangan untuk bagi derma kat masjid, ada tak rasa riak nak menunjuk kata kita infaq kat masjid. Astaghfirullah, hinanya aku.

Kadang-kadang bila kita fikirkan balik semua benda-benda ni, rasa macam pelik lak kalau Allah masih nak dengar doa kita. Dah la amal sikit, pastu tak penahnye nak ikhlas. Astaghfirullah. Kita kena sangka baik dengan Allah. Allah tu Maha Mendengar, Maha Pengampun, Maha Mengasihani dan Maha Lembut dengan hamba-hambaNya.

Jom kita jadi lebih baik! =)


blub






Tha'labah

Pernahkah saudara mendengar tentang kisah Ta'labah? Salah seorang daripada para sahabat Nabi S.A.W. Seorang pemuda yang punya misi dan visi yang sangat agung.

Seorang remaja yang begitu hebat di zaman Rasulullah S.A.W. Namanya Tha'labah bin Abdul Rahman, seorang remaja berusia 17 tahun. Setelah memeluk Islam, beliau selalu mengikut Rasulullah S.A.W mengajar. Jika Rasulullah berhajatkan sesuatu, Rasulullah S.A.W akan khabarkan kepada Ta'labah.

Suatu hari Rasulullah menyuruh Tha'labah mencari sesuatu. Ketika dalam perjalanan mencari barang yang Rasulullah hajati itu, Tha'labah telah melalui sebuah rumah yang pintunya terbuka. Angin yang bertiup membuatkan pintu tandas rumah tersebut juga terbuka, dan ketika itu Tha'labah terlihat akan seorang perempuan yang sedang mandi.

"A'uzubillah! Ya Allah aku takut nanti malaikat Jibril memberitahu kepada Rasulullah S.A.W! Ya Allah, aku takut turunnya ayat quran yang menyenaraikan aku dalam golongan orang yang berbuat dosa! Ya Allah..."

Rintihan Tha'labah

Dia merintih sehingga dia lupa akan barang yang dipesan oleh Rasulullah S.A.W. Dia melarikan diri dan terjumpa satu bukit di pinggir Madinah yang dipuncaknya ada sebuah gua. Tha'labah masuk ke dalam gua tersebut dan asyik menangis. Tha'labah menangis dan menangis, beliau kesal amat dengan dosanya.

Pada masa yang sama, Rasulullah S.A.W menanti kepulangan Tha'labah beberapa hari namun Tha'labah tidak kunjung tiba. Lalu Rasulullah S.A.W mengarahkan Saidina Umar RA untuk mencari Tha'labah dan beliau terjumpa Tha'labah di tempat dia bersembunyi di puncak bukit.

Umar berkata "Tha'labah, Rasulullah mahu berjumpa kamu."

"Kenapa? Sudah turunkah ayat al-Quran tentang dosaku, sudah beritahukah Jibril kepada Rasulullah, aku tidak mahu masuk neraka, aku tidak mahu masuk neraka." Kata Tha'labah dalam ketakutan yang amat sangat.

Oleh sebab Tha'labah sudah tersangat lemah, Saidina Umar RA memimpinnya pulang ke rumah. Apabila Rasulullah SAW menziarah Tha'labah, Tha'labah sedang terlentang lalu Rasulullah SAW meriba kepala Tha'labah.

Tetapi Ta'labah mengetepikan kepalanya. Rasulullah bertanya, "kenapa wahai Tha'labah?"

"Wahai Rasulullah, kepala yang penuh dosa ini tidak layak untuk berada di ribamu," kata Tha'labah.

"Apa yang kamu mahu Tha'labah?"

"Ya Rasulullah, aku mahukan keampunan Allah"

Cita-citanya hanya Syurga

"Apa cita-cita kamu wahai Ta'labah?"

"Cita-cita aku hanya syurga Allah. Tolonglah doakan moga Allah mengampunkan dosa-dosaku."

Lalu Rasulullah s.a.w berkata, "wahai Tha'labah aku menjamin kepadamu apa yang kamu mahu dan cita-citamu. Inilah bukti taubatmu."

Tidak lama selepas itu, Tha'labah menghembuskan nafasnya yang terakhir di riba Rasulullah SAW.

Ketika mayat Tha'labah siap dikafan dan tiba masa untuk dikebumikan, Rasulullah SAW datang agak lewat ketika itu. Para sahabat membuka jalan kepada Rasulullah untuk rapat ke kubur Tha'labah. Tetapi Rasulullah berjalan merapati kubur Tha'labah dalam keadaan berjalan yang perlahan, dan seperti tersekat-sekat.

Sahabat-sahabat bertanya, "wahai Rasulullah, kami telah membuka jalan, mengapa Rasulullah berjalan dengan tidak selesa?"

Rasulullah menjawab, "kamu tidak dapat melihat betapa ramainya malaikat yang hadir menghantar Tha'labah ke kubur."

Itulah kisah hidup seorang remaja hebat bernama Tha'labah. Betapa takutnya beliau dengan azab Allah SWT walaupun beliau tidak sengaja terpandang perempuan yang sedang mandi itu. Begitu malu bertemu Rasulullah, begitu mengharap keampunan Allah SWT, dan akhirnya menhembus nafas yang terakhir di ribaan insan mulia bernama Muhammad bin Abdullah, dan jasadnya diiringi malaikat ke kuburan. Subhanallah!

Lihat diri kita. Apakah kita menyesal dan bertaubat setelah berbuat dosa yang sengaja? Apakah kita sedar, dan menyesal serta bertaubat setelah berbuat dosa yang tidak sengaja?

Tepuk dada, tanya iman. Moga Allah SWT mengampunkan dosa-dosa kita.

Sumber :http://www.iluvislam.com/inspirasi/tokoh/1761-thalabah-kisah-pemuda-bercita-syurga.html

let me share with you...

Just how much is the world we live in now worth?
Everything feels meaningless,
Maybe I'm a little bit tired.

What ideals should I visualize?
What hopes should I embrace as I move on?
The future is calling for us,
Can you hear that voice too?

Even if it's something like the sparks of fireworks,
That I can never catch a hold of,
Once more,
I want to reach out with my hands.

Everyone has their share of sorrow,
But they also wish for a wonderful tomorrow,
Just how much can I love this troubled world,
When I have lost my nerve?

~

Adat hidup mesti berkawan. Tidak boleh untuk tidak berkawan, kerana ia merupakan salah satu dari naluri manusia. Jika ada yang merasakan dia mampu hidup tanpa kawan, maka kita akan kata dia 'gila' kerana melanggar naluri manusia normal.

Bila ada yang perlukan pertolongan, kita cuba bantu sedaya mungkin. Bila ada yang perlukan pembelaan, kita cuba menyebelahi mereka dan berhujah jika perlu. Bila ada yang ditimpa kecelakaan, kita berasa simpati dan cuba untuk berkongsi menanggung beban yang ditanggung semampunya. Namun pasti ada mereka di sekeliling yang boleh membangkitkan kejengkelan di hati tatkala kita berusaha menjadi seorang kawan yang prihatin. Mereka mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang merendahkan usaha kita. Mereka rasa mereka sangat 'cool' dengan diri mereka. Malangnya harga diri mereka tidak lebih dari seketul najis binatang yang belum diproses untuk menjadi baja kompas.

Ada juga yang suka mengambil kesempatan atas sesuatu untuk kepentingan diri sendiri. Mereka hanya berfikiran pendek untuk melepaskan diri dari tanggungjawab tanpa terdetik di neuron-neuron yang dah berkarat itu bahawa mungkin orang lain yang terpaksa menanggung komplikasi dari tindakan mereka. Ternyata neuron mereka sangat pendek selari dengan pemikiran mereka.

Peringatan buat kamu di luar sana. Berhati-hati dengan golongan sebegini. Mereka berada di sekeliling kita. Menunggu masa untuk melakukan agenda tersembunyi mereka. Jika terjumpa golongan ini, teruskan menusuk jantung mereka dengan senjata tumpul. Moga hidup kita tidak dibelenggu oleh golongan ini.

Allah sentiasa bersama

Bismillahi wal hamdulillah

Asramaku dimasuki pencuri goblok minggu lepas. Di siang hari, ketika semua berada di hospital, mereka melakukan makar yang hina itu. Banyak barang yang hilang. Komputer riba, cakera keras (ext. harddisk), kamera digital dan lensa kamera. Kesemuanya mencecah hampir RM22 000. Sungguh durjana pencuri itu. Dalam 1 hari mampu mendapatkan rezeki haram sebanyak itu. Moga dia mendapat balasan yang setimpal dari Yang Maha Adil di Hari Penghakiman kelak. Sekalung takziah buat teman-temanku yang kehilangan harta benda. Moga kesabaran semua membuahkan keberkatan di dunia dan akhirat.

Alhamdulillah, barang-barang milikku tidak disentuh oleh si pencuri. Walaupun ruang terbuka luas untuk diambil komputer riba dan telefon tanganku, namun entah kenapa tidak diusik. Bahkan, komputer riba milik rakan sebilikku dicilok tanpa segan silu. Setinggi-tinggi pujian ke hadratMu Ya Rabb, kerana menyelamatkan harta duniaku. Hanya lafaz tasbih dan tahmid yang mampuku ulang-ulangi, namun itu semua tidak akan boleh untuk menyamai sedikitpun segala nikmat yang telah Kau kurniakan kepadaku.

Ada mesej yang ingin disampaikan kepadaku melalui peristiwa ini. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini aku terasa sunyi, seperti dipinggirkan, sehinggakan kadangkala merasa lelah untuk melangkah walaupun setapak. Terasa seperti doa dan aduanku tidak didengari oleh Dia Yang Maha Mendengar. Saat itu juga aku tahu, hubunganku dengan Sang Pencipta semakin renggang. Sudah tidak seerat dulu. Taqarrubku lebih dengan duniaku. Aku terbabas dan hampir hilang dah kelam duniaku.

Allah sentiasa bersama dengan kita. Tidak kira siapa, di mana dan bila-bila Dia senantiasa berdekatan dengan kita. Pilihan terletak di tangan kita, samada kita mahu mendekati, atau menjauhi. Mahu pegun, atau bergerak menujuNya. Sejengkal kita mendekati, sehasta Dia mendekati. Sehasta kita mendekati, sedepa Dia menghampiri. Subhanallah, inilah sifat Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dia lebih hampir dengan kita dari yang kita sangka.

Tetapi ramai manusia tidak menggunakan kelebihan pengetahuan ini. Bahkan ramai yang buat tidak endah akan Tuhan yang mempunyai hak mutlak ke atas diri kita. Syukur kita tidak tergolong dalam golongan itu, inshaAllah. Masih ada sinar cahaya dalam diri yang mahukan kehadiran Tuhan dalam kehidupan kita, setiap masa di mana saja. Atas sebab itulah kita harus sentiasa terus-menerus memuji dan memuja Allah s.w.t agar dengan rahmatNya kita bakal mendapat syurga yang kekal selamanya.

Aku faham mesejMu Ya Rabb. Aku sangat bersyukur kerana Engkau telah menyelamatkan baranganku. Ampunkan aku atas kelalaian dan maksiatku. Hanya Engkaulah Tuhanku. Hanya Engkau tempat ku mengadu, dan kepada Engkau sahajalah aku memohon pertolongan.