Semangkuk Bijirin

Ingin berkongsi ilmu, pengalaman dan pendapat...

Showing posts with label Kehidupan. Show all posts
Showing posts with label Kehidupan. Show all posts

Rehat dengan solat

"Rehatkan kami dengan solat wahai Bilal", kata Rasulullah.

Solat medan untuk berehat? Mungkin ramai yang tak yakin dan percaya yang solat itu merehatkan minda dan badan.

Aku juga macam tu suatu ketika dahulu. Solat dah jadi macam suatu ritual harian yang hanya melibatkan gerakan badan dan lidah. Ada ketika masanya tak dapat dinafikan, ia terasa seperti membebankan.

Bila dah masuk alam bekerja, aku mula faham kenapa Rasulullah kata macam tu. Bila dah sibuk bekerja, badan jadi letih, otak mula lembab, kita ambil wudhuk, Terasa segar air menerjah muka. Kemudian diikuti dengan basuhan anggota-anggota lain. Khusyu' sangat mudah nak dapat masa tu. Sebab otak dah malas nak fikirkan pasal kerja, jadi tumpu saja pada solat. Terasa suatu nikmat yang tak dapat nak cerita dengan perkataan. Terasa 'rehat' yang berkualiti.
Best sangat.

Pernah rasa tak?

Zahirkan Cinta Allah

Bismillahi wal hamdulillah

Alhamdulillah 'ala kulli ni'mah. Dah lama tak mengisi teratak blog nih. Bukan kesibukan yang menjadi penghalang menulis, tapi lebih kepada jauh dari menuntut ilmu baru. Alhamdulillah baru-baru ini sempat beli beberapa buah buku. Walaupun tak berapa semangat nak baca, tetap gagahi setiap langkah.

Kali ini nak berkongsi nasihat Imam Ibnu Qayyim dalam kita nak menzahirkan cinta kepada Allah s.w.t

1. Pertamanya ialah dengan membaca dan memahami Al-Quran. Sejak dua menjak ini memang susah sangat nak baca, apatah lagi nak memahami. Jadi kita semua kena usaha lagi untuk dekatkan diri dengan kalam Allah itu.

2. Memperbanyak amalan sunat. Allahuakbar, banyak amalan sunat yang kita boleh buat dalam sehari-hari kita bermu'amalah. Senyum pun sunat. Tapi jangan 'senyum ada makna' sudah la. Yang itu bukan sunnah, tapi punah. Hehe.

3. Berzikir di mana saja dan ketika mana pun. Setiap kali masuk dapur atau pantri nak pi minum air, ucap Alhamdulillah lepas minum. Tu pun kira ingat kat Allah.

4. Mengutamakan cinta Allah berbanding cinta kepada benda lain. Ini yang selalu kita tewas. Kita dah dengar azan, tapi kita leka lagi main komputer la, tengok movie la. Astaghfirullah, cepat-cepat istighfar. Sama la dengan orang yang tulis ni pun. Jom kita berubah jadi lebih baik.

5. Menghidupkan hati bagi memahami nama-nama dan sifat-sifat Allah s.w.t. Kita dok hafal asma' Allahul husna tu dah berapa lama dah. Betul ke kita faham maksud setiap nama yang Maha Mulia itu? Jom kita telaah lepas ini.

6. Mengahayati dan mengakui kebaikan Allah s.w.t kepada kita dengan setulus hati. Tak dapat nafi, banyak Allah dah bagi dekat kita. Kalau orang buat baik dekat kita, kita bukan main lagi dok puji, apatah lagi dengan Allah. Lebih-lebih-lebih lagi kena akui dan puji.

7. Menjaga hati dari segala perasaan cinta selain Allah serta mendidik hati agar tunduk dan patuh di bawah perintah Allah. Allahuakbar, mencabar juga yang ini, tapi tak mustahil untuk kita buat.

8. Mengasingkan diri untuk munajat kepada Allah. Yang ni memang kena buat. Rekemen dekat semua orang. Memang rasa ketenangan selepasnya.

9. Bergaul dan bersahabat dengan pencinta kebenaran. InshaAllah, kita belum ketandusan orang sebegini.

10. Menjauhkan hati dari segala yang memati dan menjauhkan kita dari Allah. Maksiat la dalam kata mudahnya.

Sebenarnya Allah sangat sayang dekat kita. Kita ja asyik lupa Dia. Saya nak ajak semua, jom jadi baik. Jahat macam mana pun kita, Allah itu Maha Penerima Taubat. Allah itu Maha Lembut. InshaAllah Dia akan terima taubat kita dan berlembut dengan kita. Tetapkan matlamat hidup kita, cinta Allah nombor 1.
Bismillahi wal hamdulillah

Wah, lama betul menyepi. Sempat bela lembu, siap buat korban dah. Hehe. Apa khabar pembaca semua? Moga sentiasa berada dalam rahmat dan kasih Ilahi. Aku alhamdulillah sihat belaka. Makin sihat gamaknya raya ni. Hehe. Jamuan bertemakan daging korban di mana-mana. Mana tak makin sihat.

Alhamdulillah, syukur dapat lagi merayakan Aidiladha. Suatu perayaan yang penuh dengan maksud dan mesej yang tersirat bagi mereka yang benar-benar menghayati. Tema pengorbana, kepatuhan dan keimanan yang jitu seringkali dilaungkan di mimbar-mimbar khutbah setiap kali datangnya Aidiladha. Ya, itulah sebenarnya sambutan Aidiladha. Sambutan yang mengingatkan kita akan kisah Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail. Kisah yang sering diulang-ulangi, namun jarang dihayati.

Aidiladha kali ini agak berbeza dengan yang sebelumnya bagi aku, sebab aku menyambutnya di rumah makcik di Kelantan. Orang dok kata Aidiladha kat Kelantan meriah sesangat. Kali ni aku pi dengan sepupu-sepupu untuk menyaksikan sendiri.

Intipati sambutannya sama, cuma ada sedikit perbezaan sambutan kat Kelantan. Ibadah korban banyak dibuat di hadapan rumah. Kalau di Pulau Pinang korban buat dekat masjid atau surau, kat sana depa buat depan rumah. Sepanjang perjalanan ke rumah saudara pakcik aku memang nampak orang melapah lembu dan kambing di kawasan perumahan masing-masing. Mungkin sebab rata-rata rumah di Kelantan ada kawasan tanah yang agak luas, jadi boleh la buat dekat rumah. Kalau aku nak buat dekat rumah aku memang dah lama kena hempok dengan pak guard. Hehe.

2 hari di Kelantan memang best, especially bab makan. Aku pun tatau kenapa setiap kali ke Kelantan makan memang tak susah. Tak payah cari pun, duduk saja dia akan mai sendiri. Macam syurga pulak bunyinya. Hehe.Takde la, syurga takde sedikit pun dari bayangan tu. Tapi begitulah keadaannya. Terima kasih kepada Makndak sekeluarga dan teman yang melayan kedatangan aku.

Tinggal 3 minggu lagi untuk meninggalkan posting pertama, perubatan am. Rasanya seperti tak sabar mahu meninggalkan posting ini. Masih belum tahu posting apa yang akan dilalui seterusnya. Agak pelik kerana kawan-kawan sudah tahu susunan posting yang akan ditempuhi. Tak apalah, apa jua posting yang diberikan harus ditempuhi jua. Moga Allah bekalkan kekuatan dan ketabahan untuk mengharungi semuanya. Doakan aku terus bertahan. =)

Ole-ole dari Kelantan =)


Ehem, encemnye abang nih...hehe


Hati berbunga macam ni...ngeh3x


Cantik pemandangan kat Bukit Tinggi nih



Jangan Menyerah

Bismillahi wal hamdulillah

Manusia itu perlu diingatkan dari masa ke semasa. Sesuai dengan kata asal insan itu sendiri yang bermaksud lupa, semestinya peringatan perlu disampaikan saban hari. Oleh kerana sifat manusia yang pelupa, Allah s.w.t telah melantik para rasul sebagai nazir atau pemberi peringatan kepada umat manusia. Namun, ramai yang mengingkari peringatan yang disampaikan yang akhirnya melayakkan mereka tercampak ke dalam neraka, wal'iyazubillah.

Di zaman kita sekarang tidak ada lagi nabi mahupun rasul. Yang tinggal hanyalah mukjizat dari Rasul terakhir, iaitu Quran dan tidak dilupakan sunnah Nabi s.a.w. Mereka yang dekat dengan majlis-majlis ilmu akan sentiasa diperingatkan tentang isi kandungan Quran. Malang bagi mereka yang jauh dari majlis seperti ini kerana mereka tidak mendapat pengisian dari sumber Islam nombor satu ini.

Kadangkala Allah s.w.t memberikan peringatan dalam bentuk ujian dan masalah. Sengaja Allah memberikan kita halangan untuk melihat sejauh mana kita ingat padaNya dan betapa sabarkah kita ini. Ada yang diuji dengan kematian orang terdekat, ada yang dibuang kerja, ada yang mengalami kerosakan kereta di tengah jalan dan sebagainya. Ujian yang ditimpakan bukanlah suatu kebencian Allah kepada hambaNya, tetapi lebih kepada suatu tanda yang Allah masih sayang dan memberi peluang kepada kita untuk kembali kepadaNya, insyaALlah.

Kerap menitis air mata atas sejadah 3-4 hari belakangan ini. Terasa agak berat ujian yang diberikan. Tapi aku yakin dan optimis, semuanya akan membuahkan jannah, suatu ganjaran yang bukan semua orang boleh menikmatinya.

" Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, maka Allah akan membukakan jalan keluar kepadanya bagi setiap masalah dan memberikannya rezeki dari pintu yang tidak disangka-sangka. Sesiapa yang bertawakkal kepada Allah, maka cukuplah Allah baginya" At-Talaq 2-3



Post-Induksi...Alhamdulillah

Bismillahi wal hamdulillah

Alhamdulillah, selamat sampai dari Melaka semalam. Memang meletihkan. Dari Selasa sehingga Jumaat, penuh dengan agenda. Malamnya tiada masalah untuk tidur akibat badan dan minda yang keletihan. Aku bersyukur atas kesemuanya. Dalam keletihan itu dapat berkumpul semula dengan rakan-rakan. Tiada yang lebih seronok dari itu sepanjang minggu ini.

Kehidupan yang bakal menantiku membangkitkan seribu satu persoalan. Mampukah aku mengharunginya? Mampukah aku menjadi lebih baik dari semalam? Mampukah aku itu dan ini. Kerisauan dan kegusaran berlegar setiap hari. Jawapannya bakalku jumpa nanti.

Alhamdulillah, aku dapat posting di tempat yang aku inginkan. Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani. Gembira? Ya, aku bersyukur dan gembira. Pilihan pertama yang aku letakkan. Ahad sudah perlu melaporkan diri di Jabatan Kesihatan Negeri Kedah. Aku hanya ada satu hari untuk mempersiap segala yang perlu. Dari borang-borang yang perlu diisi, barang kelengkapan sehinggalah memujuk hati yang masih berat untuk menghadam kenyataan ini.

Alhamdulillah dalam keberatan ini, masih ada yang mahu memberi semangat sokongan. Terima kasih tak terkira aku ucapkan. Aku hargai kehadiranmu dalam hidupku hingga ke syurga inshaAllah. Teruskan juga perjuanganmu, kau juga boleh. Moga kita ditemukan dalam keadaan yang lebih baik.

Mohon doa kalian agar segala urusan dipermudah. Doakan aku mampu menjadi seorang doktor yang baik. Baik di dunia dan juga akhirat.

Kena Kuat Dengan Tuhan Baru Elok

Bismillahi wal hamdulillah

Hidup ini banyak memberi pengajaran kepada kita jika kita mahu membuka mata dan mendengar. Setiap yang berlaku di sekeliling kita memberikan kita ibrah tertentu yang boleh dimafaat bersama. Setiap perbualan yang tidak dirancang juga kadangkala membuatkan kita banyak berfikir. Tapi sejauh mana tindakan susulan kita selepas itu yang menjadi tanda soalnya.

Menerima kehadiran tukang elektrik bukan beragama Islam ke rumah baru-baru ini rupanya merupakan satu yang bermanfaat. Dia datang untuk membetulkan peralatan elektrik rumah yang rosak. Kebanyakan tukang baiki yang datang ke rumah selalunya akan bercerita tentang kerja mereka. Tukang kayu akan bercerita tentang kayu, tukang batu (ada ke?) akan bercerita tentang batu, simen dan seumpamanya, dan tukang elektrik akan bercerita tentang kerja-kerja yang pernah dilakukannya. Tetapi tidak yang ini.

Ketika dia sedang membai perkakas elektrik di rumah, aku meminta izin untuk meninggalkan dia sebentar untuk menunaikan solat. Seperti biasa, tidak ada apa-apa yang luarbiasa berlaku. Usai solat, aku pergi semula kepadanya. Dia seorang pendiam, tidak berkata banyak. Tiba-tiba dia berkata, "Itu sembahyang kan, tak sampai lima minit pun. Tapi ramai orang tak boleh buat". Aku agak terkejut dan cuba mencari apakah maksud sebenar yang ingin disampaikan.

"Itu la saya tengok, sembahyang sat saja, tapi ramai tak boleh buat". Oh, baru aku faham. Aku senyum dan mengangguk sebagai tanda bersetuju. "Ramai orang tak kuat dengan tuhan. Sebab itu la jadi macam-macam sekarang. Kalau kita kuat ugama, kita mesti tak buat merapu punya", dia menyambung. Aku terus senyum dan mengangguk. Aku menguatkan apa yang dia kata dengan pernyataan yang sama, tapi dengan ayat yang berbeza. "Yang pasti, Tuhan itu satu. Kita semua setuju macam tu, cuma cara kita nak dekat dengan dia saja berbeza. Orang Islam cara lain, kita cara lain. Tapi bila kita tau ada akhirat sana, nanti baru kita tau cara sapa yang betul", dia terus bercakap.

"Kalau ketua kita tak kuat ugama, yang bawah-bawah ni lagi la. Sebab tu kena pilih betul-betul. Saya pun ada baca pasal ugama Islam. Saya mau tau saja, saya bukan Islam. Tapi kita kena tau la sebab kita mau hormat sama orang Islam. Tak salah kan?".

Aku tidak mampu berkata apa-apa. Terlalu gembira dapat bertemu seorang yang mempunyai fikrah yang baik, sayangnya dia masih belum mendapat hidayah. Lebih sayang, aku tidak tahu menggunakan ilmu perbandingan agamaku bila diperlukan. Sigh.


Aku Sudah Tua

Bismillahi wal hamdulillah

Genap 25 tahun aku dilahirkan di muka bumi ini. Alhamdulillah, setinggi-tinggi pujian dan pujaan aku panjatkan ke hadrat Ilahi kerana masih lagi memberi aku ruang dan masa untuk memperbaiki diri, membawa diri menuju kepadaNya.

Terima kasih aku ucapkan kepada semua sahabat-handai, rakan-taulan dan kenalan atas ucapan selamat yang diberikan. Aku terharu dan bergembira atas ucapan itu.

Hampir 7 tahun aku menyambut hari kelahiran di perantauan (takde la jauh mana pun. KL ja). Syukur hari ni aku dapat menyambutnya di samping ahli keluarga tercinta. Takde la sampai buat parti atau kenduri. Tapi sedikit seronok kerana dapat berada di rumah pada hari yang kita anggap sedikit istimewa. (Apa kena la bahasa aku malam nih...haih)

Aku berkongsi hari jadi dengan abang aku. Aku rasa pernah cerita tahun-tahun lepas. Tapi tahun ni sedikit unik kerana hari keputeraan rasmi DYMM Sultan Mizan juga jatuh pada tarikh yang sama. Jadi satu Malaysia akan cuti pada hari jadi aku. Macam best plak. Hehe.

Terasa semakin tua. Lebih terasa lagi bila aku pergi ke program TAMU tu. Dikelilingi adik-adik kecil, dan tak lupa juga kepada fasi-fasi yang semuanya lebih muda dari aku. Ada sorang tu, dia dah jadi pensyarah di UniMaP, tapi muda dari aku, sudah berumahtangga dan sedang menunggu kelahiran cahayamata pertama. Bila aku bandingkan diri aku dengan semua, aku masih tidak ada apa-apa. Baru je habis belajar. Boleh kata belum masuk fasa kehidupan sebenar. Selama ini hanya perlu belajar, belum memikul tanggungjawab yang besar-besar. Tapi sekarang jika dihadapkan kepada aku tanggungjawab yang besar, belum tentu aku mampu. Kerana aku tua di sudut umur, di sudut pengalaman dan kematangan belum tentu ia seiring dengan umurku.

Orang kata bila setiap kali meningkat umur, pasti ada azam baru. Aku masih berpegang dengan azam lamaku, aku tidak mahu letih untuk menjadi baik. Aku perlu menjadi baik, kerana aku suka orang yang baik. Moga doa kalian kepadaku dimakbulkan Allah. Teruskanlah berdoa untukku. Moga kita mendapat yang terbaik di sisi Ilahi. =)

Hari Peperiksaan

Bismillahi wal hamdulillah

Agak sibuk beberapa hari ini, ditambah dengan tiada 'mood' untuk menulis, tak sempat nak sambung entri tentang periksa hari tu. Moga segala keluh-kesah, gundah-gelana, tawakkal dan sabar yang dilakukan, bakal memberikan bibit-bibit syurga kelak. Banyak yang bermain di minda ketika ini. Kadangkala terasa seperti mahu keluarkan satu per satu, dan selesaikan secara berasingan. Tetapi kehidupan adalah satu, tidak boleh dipisah-pisahkan. Lantas, perlu untuk menghadapi kesemuanya secara serentak dan berhemah. Entri yang lepas aku bercerita tentang malam sebelum periksa. Kita sambung dari situ.

Memandangkan aku tidak dapat tidur malam itu, aku rasa resah dan gelisah pagi itu. Terasa kepala sudah mula berdenyu-denyut, jantung berterusan berdegup kencang, minda makin bercelaru dan perasaan pagi itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Aku bangun dari katil pada pukul 5.30 pagi. Aku lihat rakan sebilik masih tidur. "Seronoknya kalau dapat tidur", kata hatiku. Aku berjalan ke koridor untuk menenangkan diri dengan melihat langit dan bintang. Memang selalu aku lakukan jika aku gundah. Sedikit sebanyak keresahan terubat bila melihat alam ciptaan Allah. Ditambah dengan sahutan azan subuh yang memecah kesunyian pagi dan bunyi rintikan hujan. Cukup syahdu dan mendamaikan jiwa. Segera aku membersihkan diri. Hendak ke masjid tidak boleh kerana hujan turun agak lebat. Aku tunaikan solat subuh di rumah, ada rakan serumah sempat berjemaah bersama.

Usai solat, aku tadahkan tanganku yang penuh dosa memohon keampunan dan yang terbaik dariNya. Titis air mata berguguran tanpa aku sedari. Untuk menenangkan keresahan yang tak lekang di dada, aku mencapai naskah Quranku, aku meneliti surah Yasin dengan harapan keberkatan kalam Allah mengiringi aku sentiasa. Selesai membaca, aku mengenakan pakaian untuk ke dewan periksa. Sempat aku bertanyakan beberapa soalan kepada rakanku untuk memastikan jawapan aku merupakan jawapan yang betul. Tidak banyak gelak-ketawa pagi itu seperti pagi-pagi sebelumnya. Cuak masih menguasai diri.

Aku sangat bersyukur kerana hujan pagi itu. Kerana aku tahu Allah menerima doa hambaNya ketika hujan. Tak putus-putus aku berdoa dan berselawat. Itulah sahaja senjata terakhirku. Memang terasa kekerdilan diri.

Pagi itu hampir semua menaiki bas universiti menuju ke HUKM, suatu yang sudah lama tidak dilihat, teringat nostalgia ketika tamhidi. Ketika semua masih berjiwa kebudak-budakan, setiap hari naik bas ke kelas. Hari terakhir kami sebagai mahasiswa universiti, kami lakukan apa yang pernah dilakukan ketika mula bergelar mahasiswa universiti. Sesuatu yang cukup mengusik hati pagi itu.

Namun nostalgia indah itu tidak mampu untuk mengetepikan rasa cuak menghadapi periksa. Masih cuak yang amat ketika menaiki bas. Di sepanjang perjalanan aku terus berdoa. Adakala rakan berbincang tentang topik tertentu, aku turut serta mendengar dan memberi pandangan. Alhamdulillah, pagi itu berjalan lancar walaupun bas bertolak lambat dari yang dirancang.

Sampai di HUKM, hati semakin gemuruh bila menjejakkan kaki keluar dari bas. Pemandu bas, Abang Nazri memberikan kata-kata semangat sebelum pergi. Hubungan antara kami dan staf boleh dikira agak baik memandangkan kami telah lama berada di sini. Boleh dikatakan kami agak matang dalam menjaga hubungan dengan staf yang 'ok'. Abang Nazri memang 'ok' sangat-sangat. Perjalanan ke tingkat 10 HUKM sangat mendebarkan. Rasa seperti mahu terlucut lutut. Badan sudah mula rasa tidak sedap dan selesa. Sudah mula rasa sengal-sengal badan. Loya pun ada juga.

Rasa cuak berterusan sehinggalah saat aku dipanggil untuk memulakan 'long-case examination'. Dalam peperiksaan ini aku dikehendaki mendapatkan cerita pesakit dan perihal riwayat sakit pesakit. Banyak komponen yang perlu dilengkapkan dan dikorek dari pesakit. Agak cuak memikirkan apakah yang akan aku dapat. Ketika dibawa ke bilik temuduga pesakit, aku sempat mengintai pesakit di dalam bilik. Aku melihat seorang kanak-kanak berselimut di atas katil. "Alamak, aku dapat kes paeds ke ni? Amende plak sakit die nih?", hatiku resah. Ketika itu banyak yang bermain di fikiran. "Ni kes denggi kot. Macam demam je. Sampai berselimut nye ha.", cuba memberikan kemungkinan kes itu. Aku sempat bertanyakan rakan fakta-fakta penting tentang denggi.

Bila aku melangkah masuk ke dalam bilik, aku disapa dengan senyuman oleh ibu kanak-kanak tersebut. Alhamdulillah, terasa tenang sebentar melihat senyuman itu. Pesakitku berbangsa India dan sangat fasih berbahasa Melayu. Dia sangat ceria dan banyak menjawab soalan-soalan yang diutarakan. Pesakitku ditimpa penyakit lelah sejak berumur 6 tahun. Alhamdulillah, satu kes yang boleh dikatakan senang untuk dipersembah tetapi sukar untuk lulus. Semuanya berjalan lancar. Aku mengambil perihal riwayat pesakit selama lebih kurang 35 minit. Dia memberikan segala informasi yang aku perlukan dan ada juga yang dia beritahu sebelum sempat aku menanyakan kerana dia pernah menjadi subjek untuk peperiksaan klinikal sebelum ini. Pemeriksaan fizikal juga berjalan dengan lancar. Kerana pesakit datang dalam keadaan stabil, tidak ada apa-apa yang dapat aku kesan sebagai tidak normal.

Setelah sejam masa berlalu, aku dipanggil untuk berdepan dengan 3 orang pemeriksa. Seorang pakar kanak-kanak, seorang pakar tulang dan seorang lagi pemeriksa luar yang aku tidak kenal. Kami diberikan masa 15 minit untuk menyusun semula fakta-fakta kes dan menenangkan diri. Disebabkan aku jenis yang susun fakta sejak dari awal aku temuduga pesakit, aku gunakan banyak masa dengan bertenang. Doa dan selawat tidak putus-putus terkumat-kamit di mulutku.

Aku dipanggil masuk ke dalam bilik yang kecil. Kelihatan ketiga-tiga pemeriksa sudah bersedia menanti kehadiranku. Aku disambut dengan senyuman oleh doktor pakar tulang yang juga merupakan cikgu aku. Agak gembira melihat wajah itu. Walaupun beliau merupakan seorang yang bukan beragama Islam, aku senang melihat wajah beliau. Selepas mendapat arahan, aku mula menceritakan tentang pesakitku. Alhamdulillah, semua berjalan lancar. Aku juga diutarakan beberapa soalan yang kebanyakannya aku mampu jawab, dan ada juga yang terkial-kial nak menjawab sebelum aku mendapat bayangan dari doktor. Antara yang ditanya,

  1. What do you think the patient has? (provisional diagnosis)
  2. Why do you say so?
  3. What are the important elements that you need to ask in your history? (masa ni aku tahu aku ada 'miss' fakta penting. Dia nak aku tanya pasal ada kebun tak dekat rumah sebab debunga boleh 'precipitate' lelah. Lama juga nak dapat tangkap ape die nak)
  4. How do you stage asthma? (aku ingat FIGO je, die tanye other than FIGO. Aku terlupa pasal BTS. Aduh.)
  5. How do you manage this patient?
  6. What types of medication you want to give?
  7. Do you think that this patient has a good control of his asthma? Why?
  8. What bed-site investigation you want to do to see the progress of his condition?
  9. What advice you want to give when discharging the patient?
Sebenarnya ada lagi beberapa soalan, tapi dah tak ingat sebab dah lama sangat. Tapi itulah lebih kurang soalan-soalan yang ditanya. Nampak macam senang kan? Cuba la jawab dengan keadaan cuak, resah, gelisah, sakit perut dan macam nak pitam. Tengok hasilnya. Temuduga aku dengan pemeriksa berlangsung selama 30 minit. Selepas itu dipanggil keluar dan dikuarantin sambil makan kuih bersama rakan-rakan yang lain. Baru ada selera sedikit nak makan. Pada masa itu semua saling bertukar cerita tentang kes masing-masing. Aku memang jenis yang tak bercerita sangat, jadi aku dengar je semua orang bercakap.

Masa itu juga aku nampak seorang sahabatku duduk termenung dan muram di sudut bilik. Aku faham, mesti kes dia kes susah. Bila dia mula cerita tentang kes yang dia dapat, tanpa ragu aku kata kes dia memang susah. Aku bersyukur Allah berikan aku kes yang mampu aku tangani ketika itu. Aku tahu Allah akan menguji hambaNya berdasarkan kemampuan hamba itu. Aku pasti kawan aku ini seorang yang hebat kerana diberikan kes yang begitu susah. Dia mengadu dan minta aku mendoakannya. Aku berasa agak hiba dengan permintaannya. Dalam hati aku berkata, "Aku pun banyak dosa juga, yang aku doa untuk diri aku pun aku tatau diterima ke tak. Apatah lagi la nak doa untuk orang lain". Tak sanggup aku kata demikian di saat orang minta tolong. Aku doakan juga untuk dia dan semua rakan-rakanku. Moga ada keberkatan di sebaliknya.

Setelah solat Zohor, aku menanti giliranku untuk memulakan 'short-case examination'. Dalam peperiksaan ini kami disuruh untuk melakukan pemeriksaan fizikal tertentu ke atas 3 pesakit dengan penyakit yang berlainan dan selepas berdiskusi dengan pemeriksa tentang pesakit tersebut. Kes pertama aku mendapat kes obsteatrics atau ibu mengandung. Aku diperiksa oleh seorang doktor perempuan, tak tahu namanya (tak sempat berkenalan). Dia seorang yang baik, tidak provokatif. Bercakap dengan perlahan dan tenang. Aku disuruh mengira tarikh jangka kelahiran berdasarkan tarikh akhir haid pesakit. Lama juga nak kira memandangkan cuak yang amat.Asyik terlupa tarikh saja. Kemudian aku disuruh periksa perut pesakit. Kongklusinya, alhamdulillah, ia berjalan lancar. Pesakit itu ada 'oblique lie'.

Kes kedua merupakan kes ophtal atau mata. Memang berpeluh. Aku dapat melihat apa yang ada dalam mata pesakit, tapi aku tak berapa yakin dengan apa yang aku nampak. Pesakit tersebut ada glaucoma. Memang kantoi.

Kes terakhir merupakan kes surgical. Pesakit tersebut telah menjalani pembedahan pembuangan thyroid radikal (radical total thyroidectomy) namun kembali dengan 'recurrence of papillary carcinoma'. Pemeriksaan fizikal agak 'ok', namun aku agak kantoi dalam diskusi berkenaan pesakit tersebut. Siapa sangka dia ada 'recurrence'.

Berakhirnya kes ketiga tersebut, terasa seperti aku terbang di angkasaraya. Ok, agak melampau kalau kata macam itu. Terasa segala beban telah terangkat dari dada. Rasa cuak, gelisah, gundah, macam nak pitam semua hilang serta-merta. Rasa seperti mahu tidur di katil pesakit. Rasa sangat bersyukur.

Itulah sedikit-sebanyak kisah dua kupang aku ketika menghadapi peperiksaan ikhtisas akhir baru-baru ini. Harapnya dapat memberi gambaran dan manfaat kepada pembaca tentang suasana kita diperiksa. Itu baru periksa dunia. Cuba bayangkan hari kita dihisab kelak. Allahuakbar. Cuak untuk periksa akhir ni seciput je kalau nak dibandingkan dengan cuak di hari pembalasan.

Semua yang ceritakan ini ingin aku simpulkan dengan peringatan buat diri aku dan semua yang membaca, buatlah persediaan dengan secukupnya untuk mengahadapi Hari Hisab. Hari tu kita dah tak boleh nak buat apa-apa dah. Nak minta tolong mak ayah, depa pun dok risau hal depa. Nak minta tolong adik-beradik pun dah cukup masalah dah depa buat. Nak minta tolong kawan-kawan lagi la, toksah harap. Yang mampu tolong kita hanyalah amalan kita di dunia ini. Kalau amalan yang kita kumpul merupakan amalan yang soleh, inshaAllah, dengan rahmat Allah kita akan dapat kemenangan yang nyata.

Buat kawan-kawanku, aku tahu korang tak baca panjang-panjang ni, aku harap korang baca yang ni. Jom la kita ubah jadi lebih baik. Bukan aku nak kata korang tak baik, tak, korang baik, dan korang ada potensi untuk jadi lebih baik. Aku pun tak baik sangat, korang pun tau aku camne kan. Jom la kita ikut apa Islam suruh, tinggalkan otak logik kita tu. Islam tak datang dari akal yang logik, Islam datang dari Allah. Kalau semua benda kita letakkan akal untuk tentukan itu betul atau pun salah, itu dah salah. Sebab akal kita tak sempurna, agama Allah itu sempurna. Akal kita boleh tersilap, agama Allah takkan tersilap. Kalau akal kita kata benda ini baik untuk kita, tak semestinya ia baik untuk semua orang. Sebab itu kita perlukan agama untuk pandu setiap yang kita buat. Itu je yang mampu aku buat untuk korang. Aku mampu ingatkan je. Aku nak kita semua berjaya dan masuk syurga. Jom la =)

Panjang betul entri kali ni. Alhamdulillah, selesai =)

Malam Sebelum Peperiksaan Klinikal

Bismillahi wal hamdulillah

Selesai semuanya. Sekarang tunggu masa untuk pulang ke teratak bonda tercinta dan kembali semula ke asrama untuk mengangkut pulang segala khazanah yang telah terkumpul sejak 6 tahun yang lepas. Setelah dicerakin, dibuang, ditolak, dibuat tak tahu dan diplastik sampahkan, kesemuanya hampir 5 tan. Perlu menyewa lori kontena untuk membawa pulang harta-harta berharga ini.

Ok, kali ni nak berkongsi dengan semua tentang pengalaman aku masa nak periksa praktikal/klinikal dekat HUKM. Malam sebelum periksa tu, macam biasa la, semua ahli rumah berkumpul di bawah kipas ruang tamu, bertilamkan tilam baru, semua berdiskusi tentang kes-kes yang berpotensi untuk jumpa esoknya. Memang semua rasa cuak. Ada je bila bincang pasal topik nih, tiba-tiba ada mamat sebut pasal benda yang tak pernah didengari oleh mamat-mamat yang lain. Perghh, menyirap bulu roma. Rasa macam tatau apa-apa langsung pasal topik tuh, gara-gara tak tahu satu point. Memang cuak.

Ada juga bila tengah bincang pasal topik nih, ada mamat dah bercampur-aduk dengan topik lain. Dan mamat-mamat lain yang mendengar penerangan terima je tanpa segan-silu. Nasib baik sempat diperbetulkan. Masa tu memang rasa macam dah degenerate neuron-neuron otak dan tatau apa-apa. Memang cuak.

Ada juga bila tengah khusyuk dengar perbincangan, tergosok gigi dengan syampu videlle sasoon dan bukannya dengan ubat gigi. Ok, ini agak melampau dan secara hakikatnya tidak terjadi. Tapi, nak berikan gambaran yang jelas tentang kecuakan malam itu, ini mungkin terjadi pada sesiapa sahaja yang sangat cuak. Memang cuak.

Pada asalnya ramai yang rancang untuk tidak tidur malam itu. Ini kerana kecuakan yang amat ketara dapat dirasai oleh semua orang. Namun, akhirnya semua menuju ke tempat peraduan masing-masing. Aku salah seorang dari mereka. Apa yang bakal aku coretkan di sini adalah kisah benar yang berlaku pada diri aku. Bagi mereka yang bawah umur, harap berhenti baca di sini dan pergi buka buku Iqra'.

Jam menunjukkan hampir pukul 1 pagi. Aku dapat merasakan mata aku semakin letih dan layu. Kadangkala penglihatanku kabur dan nampak seperti ada dua bayang (diplopia). Itu tandanya mataku sedang memberontak menyuruhku berehat dan memberikan haknya, iaitu melelapkan mata. Aku memadamkan lampu bilikku. Rakan sebilikku telah lama nyenyak dibuai lena. Dia merupakan seorang pelajar yang pintar, tapi tidak aku. Jadi aku perlukan masa yang lebih untuk menelaah dan mengulangkaji pelajaran.

Aku melabuhkan badan comelku di atas katil. Aku baca doa tidur, Al-Fatihah, 3 Qul dan ayat Kursi seperti selalunya. Tiada apa yang berbeza dari malam-malam sebelumnya. Aku lelapkan mataku.

Tiba-tiba, "Ya Allah, macam mana nak examine inguinal hernia?", jerit hati kecilku. Dengan serta-merta otakku ligat mengingati langkah-langkah pemeriksaan yang pernah aku praktiskan sebelum ini. Aku mainkan kembali bayangan ketika mana aku pernah memeriksa pesakitku sebelum ini. Aku ingat di awal dan di akhir. "Eh, apa jadi selepas inspection? Nak suruh berdiri dulu ke duduk? Nak kena guna glove ke tak nih? Nak suruh pesakit paling ke arah lain tak bila batuk? Apa tanda-tanda itu inguinal atau femoral hernia? Macam mana kalau tak nampak?". Semua persoalan ini datang satu-persatu tanpa selang masa yang panjang. Aku cepat-cepat membuka mata dan berselawat. Jantungku berdegup kencang dan aku berpeluh. Aku terasa sangat takut dan seperti mahu menangis sekuat-kuatnya. Yang lebih menakutkan lagi ialah, aku sedar itu BUKAN MIMPI.

Sebagai seorang yang mengetahui ilmu psikologi, aku tahu itu merupakan tindakbalas normal seorang manusia ketika berhadapan dengan sesuatu yang sulit dan sukar. Aku cuba menenangkan diri. Aku banyakkan selawat dan istighfar. Aku tahu, hanya dengan bertenang aku mampu melepasi ujian ini. Setelah berjaya bertenang, aku cuba untuk melelapkan mata lagi.

"Shit Uih, aku tak revise leukimia lagi. Aduh, dah la topik yang mula-mula sekali study 3 minggu lepas. Mana nak ingat sangat. Ok....ok. Kalau dalam budak yang common is ALL, kalau tua CML. Eh, betul ke? Ke terbalik? CML ke AML? Eh, ke lymphoma? Thalassemia tu leukimia jenis ape?", sekali lagi aku membuka mata. Jantungku berdegup kencang dan aku berpeluh. Kali ni serius aku hampir-hampir menangis. Tapi aku sempat bertenang dengan selawat dan istighfar.

Aku sedar yang aku masih belum cukup dengan senjata untuk masuk ke bilik periksa. Aku juga sedar yang aku harus berikan hak kepada yang berhak. Aku perlu beri peluang untuk badanku berehat. Aku terus mencapai telefon bimbit dan mengunci jam pada jam 4.00, 4.30, 5.00 dan 5.30. Aku tidak mahu kecewa sekiranya aku tidak terjaga pada bunyi jam yang pertama. Jadi aku kunci jam untuk 4 masa yang berbeza.

Dipendekkan cerita, aku sempat tutup alarm telefon bimbitku sebelum dia berbunyi, bermaksud, aku tak dapat tidur sepanjang malam itu. Aku bangun solat subuh dengan badan dan jiwa yang sangat letih. Aku tahu yang aku terpaksa bertahan sehinggalah ke pukul 5 petang nanti. Dari pukul 6 pagi hari sebelumnya sehingga pukul 5 petang hari peperiksaan, aku tidak tidur selama 35 jam. Hanya Allah yang mengetahui betapa seksanya jiwa ini untuk menghadapi hari tersebut. Ia merupakan satu pengalaman yang agak dahsyat. Semuanya gara-gara CUAK.

Ok, setakat sini dulu. Nanti aku sambung apa yang jadi masa hari periksa tu plak.

Akhirnya....Alhamdulillah

Bismillahi wal hamdulillah

Syukur setinggi-tingginya ke hadrat Ilahi. Tidak ada perkataan lain yang layak diucapkan melainkan puji dan puja kepadaNya. Penantian, penyeksaan, penderitaan, pemerkosaan dan keperitan selama 7 tahun akhirnya berhasil dengan sebuah kejayaan. Kejayaan yang cukup manis dan berharga. Alhamdulillah aku berjaya mendapatkan MBBS USIM (/UKM??). Hehe.

Ape jadi hari periksa hari tu, aku takmo cerita lagi. Nak cerita hari dapat keputusan dulu. Pagi tu, lepas subuh, aku tido sampai pukul 10. Ye la, malam tu main futsal pukul 1. Pastu sambung tengok ManU belasah Schalke'04 6-1. Memang mengantuk la kot.

Mula-mula dapat arahan pergi fakulti pukul 2 petang untuk pengumuman keputusan. Tiba-tiba member bilik sebelah datang dengan berseluarkan seluar askar 3 suku beritahu kena pergi fakulti sekarang, iaitu pada pukul 12 tengahari untuk makan tengah hari. Dengan serta-merta aku mencapai baju kuliah minggu lepas yang masih elok dan terus pakai tanpa mempedulikan keadaan sekeliling. Nasib baik dah siap mandi dan gosok gigi.

Perasaan masa tu memang cuak gila. Kalau kadar degupan jantung yang normal bagi orang dewasa adalah di antara 60-100 degupan/minit, degupan jantung aku mungkin mencapai 130 degupan/minit. Keadaan ini dipanggil sebagai tachycardia. Tapi aku masih dapat mengawal perasaanku bila aku nampak lauk-pauk yang terhidang di depan mata. Tapi aku tak makan banyak sangat, walaupun tengah lapar. Hanya makan sedikit cukup untuk membekalkan tenaga menghadapi keadaan stress sebentar lagi.

Aku tengok ada kawan-kawan aku masih boleh bergelak-ketawa, bertepuk-tampar, berguling-guling dan berlari-lari anak di sekitar tempat makan. Aku biarkan saja. Aku tahu mereka merupakan golongan yang selalu cemerlang. Aku tidak risaukan mereka sangat. Aku lebih risaukan masa depan aku. Apakah aku boleh menapak ke fasa kehidupan yang baru atau aku masih kekal berada di takuk yang sediakala.

Masa keputusan nak diumumkan, aku nampak Dr. Azlina, Dr. Maiza dan Dr. Madeehah masuk dari pintu belakang. Aku sempat menoleh dan melemparkan senyuman berkala sederhana kepada mereka. Mereka membalas dengan sukarelanya. Tiba-tiba, "Eh, awat mata Dr. Azlina dah merah? Menangis ka? Result tak umum lagi pun? Nak nangis wat pa? Adakah ini tanda buruk bagiku? Atau mungkin ada habuk masuk mata doktor?", getus hati kecilku tanpa mendapat sebarang jawapan. Aku tidak menghiraukan getus hati kecilku itu.

Aku terus-menerus berselawat ke atas Nabi dan berdoa agar keputusan yang aku dapat merupakan keputusan yang terbaik dari sisiNya untuk diriku. Aku tengok member-member ada yang tunduk, diam, akathisia dan ada yang merakam peristiwa bersejarah ini menggunakan kamera telefon pintar masing-masing.

Dekan yang mengumumkan keputusan. Beliau memulakan dengan ucapan. "Adus, panjang le plak ucapan beliau", getus hati kecilku lagi. Kemudian beliau mula membacakan keputusan, satu per satu. Pergh, kekecutan perut yang dirasai sangat teruk sekali. Rasa macam nak guling-guling kejap kat atas lantai sambil melaungkan "Reformasi...Reformasi". Tapi semua itu hanya dalam fikiran semata-mata. Hakikatnya aku tetap duduk di atas kerusi sambil memeluk tubuh.

Satu per satu nama disebut. "Aduh, bila beliau nak sebut nama aku nih?", persoalan yang dilontarkan oleh hati kecilku. Setelah menunggu dengan penuh sabar dan istiqamah, akhirnya nama aku disebut. Rasa macam nak menangis (mmg dah nangis pun...hehe). Tapi aku sempat lap air mata dari mengalir di atas kulit pipi. Lelaki macho tak menangis depan orang ramai, hanya di tempat-tempat sunyi dan di atas sejadah. Hehe.

Syukur sangat dapat menghabiskan zaman bujang di universiti. Sekarang nak menghadapi zaman bujang di alam pekerjaan pula.

Terima kasih tak terhingga diucapkan kepada semua pensyarah-pensyarah, terutamanya Prof.Shahrir, Dr. Azlina, Dr. Madeehah, Dr. Maiza dan yang lainnya. Jasa anda tak mudah untuk dibalas. InshaAllah aku akan berusaha sedaya mungkin untuk menjadi insan yang lebih baik. Terima kasih juga buat sahabat-sahabatku, terutamanya ahli tetap rumah dan ahli separa tetap rumah (Im) kerana telah banyak membantu dalam mengulangkaji dan ajak makan.

Ada tanggungjawab yang lebih besar menanti di hadapan. Moga Allah berikan kekuatan dan ketabahan untuk aku thabat menapak dalam menggapai keredhaanNya. =)

Ramainya Nak Awen

Bismillahi wal hamdulillah

7 hari lagi...7 hari lagi nak periksa final....Allahu Rabbi.

Rata-rata pelajar universiti sekarang sudah mula bercuti. Ada juga segelintir kecil yang masih berjuang dengan peperiksaan. Ada juga yang belum mula periksa lagi (aku la tu). Cuti kali ini mungkin sedikit berbeza dari cuti-cuti sebelum ini bagi mereka. Cuti kali ini berjangka masa hampir 3 bulan. Wow, lama tu.

Ada yang seronok gila nak bercuti kerana telah dirancang dari awal untuk memenuhkan masa cuti itu. Ada ramai lagi yang tak tahu langsung apa nak dibuat dengan masa yang cukup lama tu. Bagi pelajar medik, otak dah cukup berkarat dah. Hanya menunggu waktu untuk kena sawan.

Jadi, kita akan dapati peningkatan jumlah rakyat Malaysia yang murung dan bosan secara tiba-tiba. Waktu bosan-bosan gini la ramai dok ligat nak kawen. Dialog yang tipikal untuk 3 bulan ini, "Arghh, bosan ah. Aku nak kawen ah." atau "Argghh, aku dah tak tahan dah. Aku kena kawen.". Semuanya gara-gara kebosanan tahap melampau, tak tahu apa nak buat dan masa yang tidak diisi dengan perkara-perkara yang boleh mengalihkan dari berfikir benda-benda yang tak berfaedah.

Kalau sebelum ni waktu tak cuti akan ada kuliah sana sini, tugasan sana sini, program sana sini. Paling kurang, akan rasa terisi hidup waktu tu. Tapi sekarang dah jadi lain. Bak kata ustaz tahfiz aku, kalau yang duduk kat rumah tu boleh tahu ada berapa ekor semut atas meja, dah berapa ekor semut lalu kat depan pintu, berapa populasi semut dalam rumah dan sebagainya.

Panjang kalau nak cerita pasal kawen nih. Tapi, dalam kulit kacangnye (in a nutshell), kalau idea nak kawen tu timbul time bosan, gundah dan tadak keja, eloklah ditangguhkan dulu. Sebabnya kita masih belum dapat garap konsep perkahwinan yang sebenarnya. Tapi kalau konsisten fikir pasal ni, mungkin lain cerita kot.

Banyak dah status kat buku muka pasal kawen-kawen nih. Haish. Oraet, selamat maju jaya kepada semua =)

Aku juga tidak sempurna

Bismillahi wal hamdulillah

Manusia tak pernah sempurna. Baik lahiriyyah atau batiniyyah. Pasti ada kecacatan. Ada yang Allah bagi lebih kat bahagian ni, tapi kurang kat bahagian tu. Macam tu la lebih kurang. Tapi semua yang Allah bagi tu dengan sifatNya Yang Maha Pengasih dan Maha Adil.

Bila jumpa dengan orang yang ada kekurangan yang jelas ni, rasa bersalah sangat. Tambah-tambah kalau kita kenal orang tu sebagai orang yang baik akhlaknya.

Pernah berbincang dengan ikhwah pasal ayat 4 surah At-Tin. Maksud ayat tu, "Telah kami ciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya". Kenapa masih ada yang berkurang di kalangan manusia? Herm, bila cakap pasal ayat Allah ni mesti la kena rujuk kepada kitab tafsir untuk dapatkan gambaran yang jelas tentang ayat ni kan? Dah tak ingat apa tafsiran ayat ni, tapi kongklusi kepada perbincangan tu ialah, mungkin kekurangan tu yang terbaik untuk orang tu.

Kita tak tahu apa akan jadi kalau kita ada tu, kita ada ni. Allah tu Maha Mengetahui. Jadi, mesti ada dalam ilmu Allah apa yang terbaik untuk diri kita. Allah tahu kalau Dia bagi lebih sikit kat sini, akn jadi macam ni, dan begitu lah seterusnya.

Jadi, kita kena la bersyukur dengan apa yang kita ada, dan jangan memandang hina orang yang kita rasa tak sempurna atau tak elok bagi diri kita, sebab mungkin dia lebih baik dari kita seribu kali ganda. Ramai dari kalangan kita yang rasa diri dia lebih baik dari orang lain. Memang bagus ada perasaan macam tu, tapi jangan kita tunjukkan yang orang lain tu tak baik. Perasaan saudara kita mesti kita jaga dengan baik, takut dia kecil hati dan jauhkan diri. Tapi biasa la, bukan semua orang ada sifat memahami ni. Itu kekurangan orang tu.

Moga kita jadi insan yang bersyukur dengan apa yang kita ada. =)

Jom jadi lebih baik

Bismillahi wal hamdulillah

Sejak dua menjak nih, hujan selalu turun dengan lebatnya kat KL. Mesti satu pakej dengan ribut sekali. Pastu mula la air menitik-nitik masuk kot celah-celah tingkap. Pastu biar je air tu kering dengan sendirinya. Hehe. Tapi sangat bes untuk tidur bagi mereka yang penat seharian berada di wad menelaah semua pesakit yang ada kat dalam wad (buekkkk).

Tadi masa nak pegi jumpa ikhwah (kawan2 laki), hujan masih turun renyai2. Kilat tak henti-henti. Berdentum sana, berdentum sini, menghiasi suasana petang sabtu. Ada sekali tu, rasanya kilat tu dekat la jugak. Meletup je, "Omak kau" jerit sis Karen (Karim nama sebenar) seiring dengan dentuman kilat tersebut. Masa tu aku tengah atas motor. Alhamdulillah, boleh kontrol macho lagi, walaupun dah terlanggar lubang. Cis, sape plak tak kambus lubang tetengah jalan nih. Boleh nahas kalau tak hati-hati.

Masa tu jugak terlintas kat hati, "Ya Allah, aku masih banyak dosa. Jangan ambil aku lagi".

Masa sentiasa akan berdetik. Tik tok tik tok. Tak pernah dia nak tunggu kita. Dia tak pernah peduli pasal kita. Dia akan sentiasa bergerak dan berlalu, samada kita suka atau tidak. Apa dah kita buat dengan umur kita selama ni? Banyak dah amal? Banyak dah infaq? Banyak dah zikir dan fikir? Banyak dah kegiatan dakwah dan tarbiah? Banyak dah pahala?

Memang kita ada banyak. Dah buat banyak. Banyak apa? Banyak buang masa. Banyak buang harta. Banyak cakap benda tak berfaedah. Banyak mencarut. Banyak mengumpat. Banyak memfitnah. Banyak tidur. Banyak makan. Dan yang paling kompem banyak ialah banyak dosa.

Nak masuk syurga dengan tu? Please, nak lepas titian sirat pun belum tentu boleh sampai habis. Astaghfirullah.

Kita tahu dan sedar semua pasal benda ni, tapi kenape kita tak nak buat? Senang saja jawapan dia. NAFSU la macha. As simple as that.

Kita tahu kita belum bersedia nak berdepan dengan Allah dengan amalan yang kita ada sekarang. Tapi dalam kesedaran tu kita tak juga nak usaha kumpul pahala. Nak gak buat benda tak berfaedah. Ada saja alasan dan dolak-dalih tak nak buat baik. Astaghfirullah. Nafsu semua tu bro n sis.

Nafsu la yang nak menjahanamkan diri kita ke dalam jahannam, wal'iyazhubillah. Kita kena kawal nafsu kita. Kalau kita suka tidur, kita kena lawan rasa nak tidur tu walaupun kena letak batang mancis kat mata. Kalau tak jalan dengan batang mancis, boh jarum peniti. Kompem tak berani nak pejam mata. Kalau korang jenis yang suka beli-belah, apa kata bagi duit korang tu kat aku so that aku boleh simpan untuk beli kereta idaman aku. Hehe. Ok2, infaq la duit tu kat jalan dakwah. Kalau tatau kat mana, bagi je kat masjid berdekatan kerusi anda duduk depan laptop anda sekarang. As simple as that.

Kalau kita mampu kawal nafsu kita, memang TERBAIK la. Sebab Rasulullah kata antara jihad yang terbesar ialah melawan hawa nafsu.

Bila kita nak buat benda-benda baik tu pastikan kita IKHLAS. Masa jumpa ikhwah dia ada ingatkan tentang ikhlas dalam beramal. Perghh, memang terasa. Pedih macam kena tusuk ngan ekor ikan pari. Korang takkan tahu betapa pedihnya kena tusuk ngan ekor ikan pari. Kalau nak tahu camne rasenye, tanya aku. Pedih siot. Itu je komen yang aku boleh bagi.

Tapi memang betul. Ikhlas ni cukup susah nak diamalkan. Cuba la kenang balik zaman silam berapa banyak solat yang kita buat kerana Allah semata-mata. Bukan sebab terpaksa, sebab rasa segan kat orang, sebab bakal pak mentua tengah tengok etc. Cuba kenang balik setiap kali kita hulurkan tangan untuk bagi derma kat masjid, ada tak rasa riak nak menunjuk kata kita infaq kat masjid. Astaghfirullah, hinanya aku.

Kadang-kadang bila kita fikirkan balik semua benda-benda ni, rasa macam pelik lak kalau Allah masih nak dengar doa kita. Dah la amal sikit, pastu tak penahnye nak ikhlas. Astaghfirullah. Kita kena sangka baik dengan Allah. Allah tu Maha Mendengar, Maha Pengampun, Maha Mengasihani dan Maha Lembut dengan hamba-hambaNya.

Jom kita jadi lebih baik! =)


Allah sentiasa bersama

Bismillahi wal hamdulillah

Asramaku dimasuki pencuri goblok minggu lepas. Di siang hari, ketika semua berada di hospital, mereka melakukan makar yang hina itu. Banyak barang yang hilang. Komputer riba, cakera keras (ext. harddisk), kamera digital dan lensa kamera. Kesemuanya mencecah hampir RM22 000. Sungguh durjana pencuri itu. Dalam 1 hari mampu mendapatkan rezeki haram sebanyak itu. Moga dia mendapat balasan yang setimpal dari Yang Maha Adil di Hari Penghakiman kelak. Sekalung takziah buat teman-temanku yang kehilangan harta benda. Moga kesabaran semua membuahkan keberkatan di dunia dan akhirat.

Alhamdulillah, barang-barang milikku tidak disentuh oleh si pencuri. Walaupun ruang terbuka luas untuk diambil komputer riba dan telefon tanganku, namun entah kenapa tidak diusik. Bahkan, komputer riba milik rakan sebilikku dicilok tanpa segan silu. Setinggi-tinggi pujian ke hadratMu Ya Rabb, kerana menyelamatkan harta duniaku. Hanya lafaz tasbih dan tahmid yang mampuku ulang-ulangi, namun itu semua tidak akan boleh untuk menyamai sedikitpun segala nikmat yang telah Kau kurniakan kepadaku.

Ada mesej yang ingin disampaikan kepadaku melalui peristiwa ini. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini aku terasa sunyi, seperti dipinggirkan, sehinggakan kadangkala merasa lelah untuk melangkah walaupun setapak. Terasa seperti doa dan aduanku tidak didengari oleh Dia Yang Maha Mendengar. Saat itu juga aku tahu, hubunganku dengan Sang Pencipta semakin renggang. Sudah tidak seerat dulu. Taqarrubku lebih dengan duniaku. Aku terbabas dan hampir hilang dah kelam duniaku.

Allah sentiasa bersama dengan kita. Tidak kira siapa, di mana dan bila-bila Dia senantiasa berdekatan dengan kita. Pilihan terletak di tangan kita, samada kita mahu mendekati, atau menjauhi. Mahu pegun, atau bergerak menujuNya. Sejengkal kita mendekati, sehasta Dia mendekati. Sehasta kita mendekati, sedepa Dia menghampiri. Subhanallah, inilah sifat Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dia lebih hampir dengan kita dari yang kita sangka.

Tetapi ramai manusia tidak menggunakan kelebihan pengetahuan ini. Bahkan ramai yang buat tidak endah akan Tuhan yang mempunyai hak mutlak ke atas diri kita. Syukur kita tidak tergolong dalam golongan itu, inshaAllah. Masih ada sinar cahaya dalam diri yang mahukan kehadiran Tuhan dalam kehidupan kita, setiap masa di mana saja. Atas sebab itulah kita harus sentiasa terus-menerus memuji dan memuja Allah s.w.t agar dengan rahmatNya kita bakal mendapat syurga yang kekal selamanya.

Aku faham mesejMu Ya Rabb. Aku sangat bersyukur kerana Engkau telah menyelamatkan baranganku. Ampunkan aku atas kelalaian dan maksiatku. Hanya Engkaulah Tuhanku. Hanya Engkau tempat ku mengadu, dan kepada Engkau sahajalah aku memohon pertolongan.

Zaman dah berubah

Bismillahi wal hamdulillah

"@#$%^$## kau la. Aku x pernah pun cakap camtu."

Terngiang-ngiang lagi ucapan seorang budak lelaki baya adik aku yang masih di sekolah rendah kepada rakannya. Sungguh lancar dan tanpa segan silu mengucapkannya dengan lantang dan fasih. 'Pitching'nya pun boleh tahan, sebab tu boleh dengar walaupun berada agak jauh. Buat aku terfikir seketika.

Kalau kecil macam ini pun dah mampu memaki-hamun orang di khalayak umum tanpa ada walau sehelai kain untuk menyelubung perasaan malu, dah tentu dia mampu untuk melakukan yang lebih dahsyat bila dah besar. Bakar trak polis sebagai contoh? Hehe. Hanya contoh. Tidak ditujukan pada mana-mana pihak yang terasa semacam ada kaitan dengan dirinya. Kalau terasa, padan muka.

Seingat aku, sejahat-jahat aku masa sekolah rendah ialah tak buat kerja rumah. Memang jarang giler la jadi macam tu. Sejahat-jahat aku masa sekolah menengah ialah lepak dan ronggeng kat komtar dan prangin mall lepas habis sekolah. Masa tu pun masih lagi segan-segan. Kalau terserempak budak mashoor pompuan lagi la segan. Ye la, masa tu takut dengan senjata yang derang ade, mulut =) . Sekarang tak takut dah kot? Tapi bukan tu yang aku nak cerita.

Dengan beredarnya masa, sedar atau tak sedar, beredar juga rasa malu di kalangan kita. Mutakhir ini, kita banyak didedahkan dengan berita dan cerita tentang krisis akhlak dan etika di negara kita. Dengan buang anaknya, sumbang mahramnya, seks luar nikah, bunuh, letup, simbah, tonyoh, tenyeh, rasuah dan seribu satu macam lagi permasalahan yang tidak mungkin kita selesaikan dalam sebulan dua.

Nak cakap pasal sebab-musabab jadi macam ni pun rasanya semua dah tahu. Yang aku nak 'highlight'kan kat sini ialah, esok lusa bila dah berkeluarga, dah beranak-pinak, didik anak-anak dengan betul. Utamakan pendidikan dan pengahayatan Islam tanpa meminggirkan pendidikan sains dan matematik dalam bahasa inggeris. Maksudnya sains , matematik, jogrofi, sejarah bla bla bla kena pentingkan juga. Tapi keutamaan itu memainkan peranan yang penting dalam membentuk seorang insan yang soleh wal musleh. Memang tidak ada jaminan yang anak kita pasti jadi soleh, tapi sekurang-kurangnya kita dah berusaha sedaya mungkin. Hasilnya serahkan pada Yang Maha Menentukan.

Sebab itu penting untuk pasangan suami dan isteri mempunyai matlamat dan gambaran yang sama tentang kehidupan. Dari segi pelaksanaan mungkin sedikit berbeza, namun pastinya perbezaan itu tidaklah terlalu ketara kerana matlamatnya sama. Ada betoi ka? =)

Penn...penn.

Jadilah Baik

Bismillahi wal hamdulillah

Entah kenapa sungguh sukar hendak menjadi baik. Setiap kali ingin menuju kebaikan, setiap kali itu jugalah aku terjatuh dan tersembam. Seolah-olahnya sudah tertutup pintu kebaikan untuk aku. Atau sebenarnya, kelemahan dan kedhaifan diri yang menutupkan pintu itu. Kadangkala terfikir, sampai bila akan terus begini? Jawapan yang sudah ada di tangan, namun masih berdolak-dalih hendak mencari jawapan lain.

Kita bertanggungjawab atas tindakan kita sendiri. Sejak akil baligh kita dilepaskan dari tanggungan ibu dan ayah kita. Dosa dan pahala, salah dan benar semuanya terletak atas kepala kita. Sebab itu semasa kecil ibu dan ayah menitik beratkan pendidikan agama untuk kita agar kita dapat menjalani kehidupan yang selari dengan syarat Islam.

Namun selalunya kita bertindak bersimpangan dengan apa yang Islam ajarkan. Setiap kali itulah kita cuba untuk mencari alasan selain dari diri kita untuk dipersalahkan. Kita cuba untuk merasionalkan tindakan kita yang salah itu, sedangkan kita tahu bahawa kita yang memilih untuk bertindak sedemikian. Apa nak jadi dengan kita ni?

Dalam surah Ar-Raad ayat 11, Allah s.w.t berfirman bahawa “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, kecuali mereka sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka ”. Bila kita nak ubah diri kita? Nak tunggu nazak?

Peringatan yang sangat keras buat diri yang selalu leka. Sahabatku, ingatan ini untuk diriku. Bantulah aku untuk menjadi baik. Tegur aku jika aku leka dan lalai dalam mengingatiNya. Sedarkan aku jika aku sudah mula menyimpang dari jalanNya.

Ambillah iktibar dari kekhilafan diriku. Moga kamu tidak menjadi seperti diriku.

Ampunkan kami Ya Allah.

Exam lagi


Peperiksaan bakal menjelang lagi. Hidup ini penuh dengan peperiksaan pada dasarnya. Bagi yang masih belajar, semestinya peperiksaan pembelajaran. Bagi yang sudah melepasi fasa itu, jangan ingat sudah tidak ada peperiksaan. Iman dan taqwa harus sentiasa diperiksakan agar tidak luntur dan goyah.

Moga Allah permudahkan dan menghantarkan bantuan dari sisiNya. Amin ~

Hakikat Bahagia

Bismillahi wal hamdulillah

Bahagia, semua orang nak bahagia. Tak kira orang miskin, orang kaya. Yang tua, yang muda. Tak terkecuali semuanya. Tapi definisi bahagia itu berbeza untuk setiap insan. Ada yang mengatakan bahagia itu setelah memiliki harta yang berjuta. Ada yang mengatakan bahagia itu setelah melangsaikan segala hutang yang ditanggung. Ada yang mengatakan bahagia itu setelah mempunyai keluarga dan kehidupan yang stabil. Ini adalah antara definisi bahagia yang biasa kita dengar. Sekiranya kita ambil definisi-definisi ini untuk dijadikan sebagai parameter untuk mengukur kebahagian, kemungkinan kita tidak dapat untuk mengekstrapolasikan kepada masyarakat secara umumnya kerana setiap satu mempunyai keperluan yang tersendiri.

Jadi, apakah sebenarnya hakikat bahagia itu? Mungkin lagu ini dapat memberikan kita sedikit gambaran yang tepat tentang bahagia itu sendiri. Hayati liriknya, moga dapat sedikit-sebanyak manfaat.

Justify Full


Album : See You D IPT
Munsyid : Unic

Bahagia itu dari dalam diri
Kesannya zahir rupanya maknawi
Terpendam bagai permata di dasar hati

Bahagia itu ada pada hati
Bertakhta di kerajaan diri
Terbenam bagai mutiara di lautan nurani

Bahagia itu ada di jiwa
Mahkota di singgahsana rasa
Bahagia itu adalah suatu ketenangan

Bila susah tiada gelisah
Bila miskin syukur pada Tuhan
Bila sakit tiada resah di jiwa
Bukankah Tuhan telah berfirman
Ketahuilah dengan mengingati Allah
Jiwa kan menjadi tenang

C/O :
Kebahagiaan itu suatu kesyukuran
Bila kaya jadi insan pemurah
Bila berkuasa amanah
Bila berjaya tidak alpa
Bila sihat tidak lupakan Tuhan

Hakikatnya bahagia itu
Adalah ketenangan
Bila hati mengingati Tuhan

Semua insan kan mengerti
Maksud terseni Ilahi
Itulah zikir yang hakiki

Hakikat Kaya

Bismillahi wal hamdulillah

Merenung jauh ke dasar lubuk hati, terasa seolah-olahnya ada sesuatu yang tidak kena. Ada sesuatu yang menggusar hati. Merenung dan merungkai satu-persatu episod hari-hariku, namun masih belum ketemu puncanya. Terasa tidak tenang duduk, gundah-gulana, resah dan gelisah, tak tentu arah. Ya Allah, apakah ini kifarah dariMu?

Hanya ada satu kemungkinan sahaja yang mungkin menjadi penyebab kepada semua ini. Ya, aku semakin pasti ini puncanya. Ampunkan aku Ya Rabb, aku leka dari mengingatiMu.

Sesungguhnya insan yang kaya bukanlah dia yang punya harta selonggok satu semesta. Bukan juga dia yang punya kawan berjuta-juta. Bukan juga dia yang punya pangkat dan darjat di kalangan manusia. Bukan juga dia yang punya anak-pinak melata. Bukan juga dia yang punya rupa-paras yang jelita.

Tetapi yang kaya itu adalah dia yang punya hati yang sentiasa ingat dan tidak lupa pada Dia Yang Maha Pencipta. Dia yang tidak pernah luntur dari jiwa dan sanubari dari terus untuk bernaung di bawah kasih dan sayang Ilahi. Dia yang tidak pernah putus dari berharap padaNya.

Ramai yang menganggap harta merupakan penyebab kepada terhasilnya bahagia. Dengan harta manusia mampu untuk memiliki segala-galanya. Tetapi hanya satu yang tidak akan mampu dimiliki dengan harta semata-mata, bahagia. Berapa ramai yang dapat kita jadikan contoh untuk menunjukkan kebahagiaan tidak datang dengan harta. Marylin Monroe sebagai contoh pertama. Beliau merupakan seorang artis jelitawan dan hartawan di era 1950-an, akhirnya membunuh diri kerana tidak punya kebahagiaan, pada hal dia punya segala-galanya. Jessi Livermore, seorang broker saham terkemuka dan jutawan di Amerika, telah membunuh diri pada tahun 1940. Dalam nota catatannya, beliau menyatakan yang beliau sudah tidak tahan dengan kehidupan. Walaupun harta mencecah langit, beliau tidak punya kebahagiaan, akhirnya terpaksa mengambil nyawa sendiri.

Adakah harta penyebab kita tidak bahagia? Tidak, bukan harta penyebabnya. Penyebabnya adalah manusia. Bila manusia lupa pada Pencipta, maka tidak adalah bahagia. Tidak ada ketenangan, dan tidak ada ketenteraman. Kalau hartalah penyebabnya, tidak mungkin saidatina Khadijah beroleh kebahagiaan di samping Rasulullah. Tidak mungkin Saidina Uthman bin 'Affan dijanjikan syurga oleh Rasulullah.

Kaya yang hakiki adalah hati yang kaya dengan kebahagiaan, keamanan dan ketenteraman. Hanya Allah yang mampu untuk mengkayakan kita. Hanya Allah yang mampu untuk membahagikan kita. Namun kadangkala kita tumpas dalam mengingatinya. Kita terleka dengan kesibukan dunia. Lantas, perlunya kita untuk mempunyai penegur jiwa agar kita tidak terus hanyut dalam leka kita dan kembali menjadi 'dia'.

Termasukkah kita dalam golongan 'dia'? Moga dilorongkan ke arah kekayaan yang hakiki.


Ingatlah Baginda

Bismillahi wal hamdulillah

Rasulullah s.a.w telah lama mendahului kita bertemu dengan Khaliq sekelian makhluk. Perginya baginda merupakan satu kehilangan terbesar buat umat Islam. Rasa sedih, hiba dan sayu menyelubungi sekelian alam. Bukan sahaja para sahabat bersedih, makhluk-makhluk alam lain juga meratapi pemergian baginda. Perasaan itu wujud kerana terlampau kasih dan sayangkan baginda yang telah menjadi rahmat bagi sekelian alam. Diberitakan kepada kita, bagaimana kukuhnya perasaan kasih dan sayang para sahabat kepada baginda, Saidina Umar Al-Khattab yang terkenal dengan sifat keberanian, kegarangan dan kealimannya, telah mengungkapkan kata-kata ancaman kepada sesiapa yang mengatakan bahawa baginda Nabi telah wafat. Namun setelah diperingatkan oleh sahabat yang lain tentang sepotong ayat dari Al-Quran tentang hakikat insan itu pasti akan menemui ajal, barulah beliau sedar akan kesilapan yang telah beliau lakukan. Semua itu berlaku kerana kasih dan cinta kepada Rasulullah.

Pemergian Nabi bukanlah satu pemergian yang kosong. Baginda meninggalkan kepada umat baginda dua harta yang sangat bernilai harganya. Ini berdasarkan kepada hadith baginda yang bermaksud, "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, barangsiapa yang berpegang teguh dengan dua perkara ini tidak akan sesat selama-lamanya. Ia adalah kitab Allah (Al-Quran) dan sunnahku". Islam dibentuk atas dua perkara ini. Sekiranya Islam yang difahami pada hari ini bercanggah dengan dua perkara ini, maka wajib bagi umat Islam untuk menolak dan membetulkannya.

Selain dari itu, baginda juga meninggalkan kesan-kesan sejarah kehidupan baginda di atas muka bumi ini. Banyak sisa-sisa peninggalan baginda dapat kita lihat pada hari ini di sekitar Mekah dan Madinah.

Sudah lama aku memendam keinginan untuk menziarahi tempat-tempat yang mencoret banyak sejarah baginda. Ingin sekali aku berada di tempat di mana Rasulullah pernah berada. Ingin sekali aku pergi untuk bersolat di tempat Rasulullah pernah bersolat. Ingin sekali untuk melihat hasil titik peluh Rasulullah dan para sahabat dalam menyebarkan Islam dan meluaskan empayar Islam. Terasa ingin yang bersangatan untuk bertemu dengan Rasulullah secara bersemuka, agar dapat melihat wajah baginda yang begitu indah, lebih indah dari bulan purnama. Sungguh rindukan Rasulullah.

Bila aku mendengar cerita mereka yang baru menunaikan umrah, aku rasa sungguh cemburu. Cemburuku bukanlah kerana aku tidak punya cerita sehebat cerita mereka di tanah suci. Cemburuku kerana mereka pernah memijak tanah tumpah darah Rasulullah. Mereka pernah berada begitu dekat dengan Rasulullah, secara fizikalnya. Apatah lagi ketika mereka melawat makam Nabi, hanya beberapa tapak dekatnya dengan jasad Rasulullah. Sungguh mencemburui mereka.

Hampir menitiskan air mata ketika mencoret luahan perasaan ini. Terasa masih jauh dari baginda. Masih lagi lupa dan alpa dari melaksanakan sunnahnya. Masih lagi berat dan susah untuk berselawat ke atas baginda.

Aku menulis ini untuk mengingatkan aku dan kamu semua, jangan kita lupakan Nabi kita. Tanpa Rasulullah, tidak akan lengkap wasilah dalam proses penurunan wahyu, yang akhirnya menjadi sumber rujukan utama dalam kita berkehidupan. Tanpa Rasulullah, alam akan sepi dan sunyi dari rahmat Allah. Berselawatlah selalu ke atas baginda. Sesungguhnya Allah dan para malaikat berselawat ke atas Nabi, wahai orang yang beriman, berselawatlah dan sampaikanlah salam ke atas Nabi.