Ada yang kata ia hanya sebuah perarakan, sebuah perhimpunan. Aku katakan mereka salah. Ia adalah satu perjuangan. Perjuangan untuk mendapatkan hak yang selayaknya diberikan. Hak yang sedari awal tidak patut timbul isu padanya. Hak yang memberikan sebuah keamanan sebagai hasilnya.
Namun tak ramai yang faham perjuangan ini. Mereka merasakan ia sebagai suatu retorik yang diulang-ulangi di media arus perdana. Semuanya hasil dari pengaruh media yang kuat dan pastinya, partisipasi dorman dalam perjuangan ini.
Perjuangan ini bukan sekadar idea. Ia bukan setakat isu bualan di kedai kopi. Ia bukan sekadar pembuka bicara ketika bertemu rakan yang sudah lama tidak bersua. Ia merupakan sebuah usaha untuk mencapai sebuah kehidupan yang lebih baik. Dan sudah pasti, ia bukan sekadar percakapan am. Kami cuba lakukan apa yang kami cakapkan.
Idea tanpa perlakuan adalah umpama sampah-sarap. Ramai yang mempunyai ruang untuk melontarkan idea. Kita mahu itu, kita mahu ini. Sepatutnya begitu, sepatutnya begini. Tetapi berapa ramaikah dari kalangan yang ramai ini yang mengerjakan apa yang mereka katakan?
Perjuangan ini bukan perjuangan individu. Ia bukan perjuangan sesuatu bangsa. Ia bukan perjuangan sebuah parti. Ia merupakan sebuah perjuangan kolektif. Ia perjuangan semua. Tak mungkin ada berpuluh ribu manusia yang sanggup mengerahkan keringat dan memberikan waktu berharga mereka untuk suka-suka dan saja-saja berdiri di tengah panas, berjalan berbatu-batu, disepak diterajang, dimaki hamun, dicerca sehingga ke cucu cicit, ditembak secara membabi buta dan dipukul dengan cota melainkan kerana mereka tahu ini perjuangan yang berbaloi. Something that is worth fighting for.
Kerana hak yang pertama sudah diketepikan, semestinya hak-hak yang lain akan ditongsampahkan juga. Akibatnya berlakulah perkara yang tidak masuk akal dilakukan oleh pihak yang menekan. Jangan salahkan kami sekiranya kamu tersepit dalam keadaan ini. Ini bukan lagi masa untuk berdiam diri dan melihat apa yang terjadi. Ini adalah masa untuk kita nyatakan pendirian. Pendirian itu mestilah berdasarkan sumber yang paling mulia, Quran dan Sunnah. Bukan rasa hati, tahap IQ, ilmu pengetahuan am dan selainnya.
Aku mengajak kamu untuk memahami perjuangan ini. Ia perjuangan semua. Ia perjuangan kita. Jika tidak mahu turun ke lapangan sekalipun, hulurkan bantuanmu setakat yang mampu. Biar kami yang berada di barisan hadapan. Kami tak kisah. Manusia boleh berkata apa sahaja. Mereka boleh menampakkan keburukan yang sangat dahsyat. Ya, keburukan itu pasti ada. Sebab itu ia adalah sebuah perjuangan. Jika ia mudah, itu bukan perjuangan namanya.
Jika Nabi dan para sahabat mampu berdepan dengan mereka yang zalim dan mengubah suasana, kami juga yakin untuk melakukannya. Bukan kerana kami sama kemuliaan seperti mereka, tapi kerana kami yakin perjuangan kami selaras dengan Quran dan Sunnah. Ayuh, selakkanlah selimutmu.
1 komentar:
may i..LIKE :)
Post a Comment