Semangkuk Bijirin

Ingin berkongsi ilmu, pengalaman dan pendapat...

Acheh Lebih Baik

Bismillahi wal hamdulillah

Gembira apabila mendengar berita dari seberang. Acheh bakal menguatkuasakan undang pemakaian terhadap warganya. Ya, Acheh yang dilanda tsunami beberapa tahun lepas, yang hampir 100% musnah dan lumpuh kesemuanya serta mengalami kematian warga yang berjumlah ribuan orang. Mereka kembali memainkan peranan dalam bermasyarakat dan berinstitusi, kembali menegakkan syiar Allah di muka bumi.

Mulai tahun depan, wanita tidak dibenarkan memakai seluar atau jeans ketat di tempat awam dan lelaki tidak dibenarkan memakai seluar pendek (pendek yang difahami adalah di atas paras lutut) di tempat awam. Allahuakbar. Undang-undang Allah tentang bab pakaian dijadikan undang-undang negara. Meletakkan undang-undang Allah di tempat yang selayaknya.

Allah s.w.t tidak menurunkan sesuatu hukum dan undang-undang itu melainkan padanya ada hikmah ataupun kebaikan yang tersendiri. Setiap yang diturunkan Allah pasti mempunyai sebab yang khusus. Sebagai makhluk ciptaan Allah, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk melaksanakan undang-undang tersebut. Kita wajib sedaya upaya memastikan undang-undang Allah dikuatkuasakan di atas bumi Allah.

Namun menyedihkan apabila ada di antara ciptaan-ciptaan Allah ini yang mula melupakan asal-usul kejadiannya, mula menolak hakikat bahawa dia hanyalah makhluk yang dicipta untuk melaksanakan agenda-agenda tuhannya di atas muka bumi ini. Makhluk ini mula berdelusi mengatakan undang-undang langit sudah tidak relevan untuk dilaksanakan di zaman serba canggih ini, sedangkan itu adalah antara agenda pokok yang perlu dia selesaikan apabila diberikan jasad di atas bumi. Makhluk ini mula berhalusinasi tentang adanya undang-undang lain yang lebih dominan dan relevan untuk dijunjung dan disanjung. Makhluk ini mula berilusi yang dengan undang-undang baru ini mampu membawa kesejahteraan sejagat, seantero dunia. Heh, apa kes dengan makhluk ini.

Malaysia cukup banyak dengan makhluk ini. Makhluk yang tidak kenal erti berterima kasih. Makhluk yang tidak tahu malu menggunakan nikmat tuhannya, tetapi tidak bersyukur. Namun, tak dinafikan masih lagi wujud makhluk yang tahu dan kenal erti terima kasih dan bersyukur kepada tuhan. Namun bilangannya teramat kecil jika dibandingkan dengan bilangan yang kontra.

Sudah lama Malaysia dikurniakan keamanan dan kesejahteraan, namun satu undang-undang langit pun kita tak junjung dan muliakan. Tidak ada usaha yang gigih dan istiqamah ditunjukkan oleh golongan yang lebih besar jumlahnya untuk mengagungkan undang-undang Allah. Adakah kita akan selamat di akhirat sekiranya kita membiarkan sahaja keadaan sebegini berterusan? Lu fikirlah sendiri!

Bila bercakap tentang undang-undang Allah, pasti akan dicop sebagai orang politik. Pasti akan dicop sebagai menyokong parti pembangkang. Pasti akan dicop sebagai orang PAS. Sebab apa? Sebab mereka pernah melaungkan slogan ini dalam perjuangan mereka. Wahai mereka yang suka memberikan label sebegini pada manusia yang lain, sedarkah anda bahawa anda jahil, bodoh dan bangang dalam agama? Undang-undang Allah bukanlah isu politik, bukanlah isu bermusim, dan semestinya bukan isu ranting. Ia merupakan isu besar agama. Ia merupakan isu pokok. Ia merupakan perjuangan agama. Agama apa? Agama ISLAM, kalau kau pernah dengar.

Dalam bab pelaksanaan hukum Allah, Acheh jauh lebih baik dari negara kita. Walaupun baru satu dua undang-undang dilaksanakan, ia sudah cukup baik, namun bukan yang terbaik, jika dibandingkan dengan negara di sekitarnya. Menjadi tanggungjawab kita untuk berjuang meletakkan hukum-hakam Allah di tempat yang selayaknya. Aku sukakan Acheh. Bukan kerana aku sudah berjumpa 'warga Acheh', tapi aku suka akan usaha dan perjuangan yang ditunjukkan. Teruskan perjuanganmu sahabatku. Moga kita ditemukan di jalan yang sama kelak, fisabilillah. Moga kita mengambil iktibar dari Acheh.

2 komentar:

Mereka di Acheh sudah sedar bila telah di'gempur' sebegitu teruk.

Agaknya Malaysia pun menanti di'gempur' sampai jadi padang jarak padang terkukur baru mahu terima undang-undang Islam.

 

uish,mintak simpang la dari gempuran tu