Semangkuk Bijirin

Ingin berkongsi ilmu, pengalaman dan pendapat...

Happy Eid

Bismillahi wal hamdulillah

Telah sampai kita ke penghujung Ramadhan Al-Mubarak. Sungguh cepat sekali rasanya perjalanan Ramadhan kali ini. Mungkin dek kerana kesibukan dengan tugas dan kerja, tak terasa sangat sebulan hampir berlalu. Sememangnya bila tiba di akhir bulan yang mulia ini, rata-ratanya sudah mula sibuk dengan persediaan untuk menyambut satu hari yang mulia, iaitu Eidul Fitr. Dan sememangnya kita disuruh untuk menyambut hari raya ini dengan meriah. Oleh sebab itu antara hari yang diharamkan untuk kita untuk berpuasa ialah pada Eidul Fitr.

Meriahnya sambutan tersebut bukanlah kerana telah berlalunya Ramadhan. Meriahnya sambutan adalah kerana meraikan kejayaan kita untuk mengekang dan mengawal diri dan nafsu sepanjang bulan tersebut. Ini bermaksud kita berjaya untuk menjadi hamba Allah yang sebenar-benarnya. Sebab itu Eidul Fitr lebih terasa bagi mereka yang benar-benar mengerti akan hakikat Ramadhan.

Lantas, setelah melalui sebulan madrasah an-nafs, tibalah masanya untuk kita menghisab dan muhasabah diri kita. Adakah kita sudah mencapai objektif Ramadhan kali ini? Apakah kita sudah mencapai maqam taqwa seperti yang telah Allah nyatakan dalam surah Al-Baqarah ayat 183? Sering kita ulangi semua ini, sehinggakan kita sudah menghafal segala yang berkaitan dengannya. Ada yang menganggap ucapan ini sebagai ayat retorik mereka yang mahu digelar alim, sedangkan ini sebenarnya pernyataan Allah s.w.t. Dan ianya perlu diulang-ulangi kerana kita selalu lupa dan alpa. Kerana sesungguhnya ingat-memperingati itu bermanfaat untuk orang mukmin.

Justeru, mari kita tekad dan nekad agar segala amalan yang kita lakukan dalam Ramadhan kali ini kita akan teruskan di bulan-bulan seterusnya. Walaupun tidak sebanyak yang kita lakukan dalam Ramadhan, kita teruskan jua legasi ibadah tersebut. Kerana sesungguhnya Allah menyukai hambaNya yang melakukan ibadah secara istiqamah, walaupun sedikit.

Ikhlaskan hatimu mohon kemaafan agar leburlah dosa di tapak tanganmu. Lupakanlah segala silap dan salah saudara-mara, sahabat-handai serta rakan taulan. Moga insan semua bersatu dalam membina ummah yang rabbani.

Jutaan kemaafan aku hulurkan buat semua sidang pembaca, sekiranya di sepanjang perjalanan blog ini, ada tulisan yang mengguris hati, merobek jiwa, menimbul resah. Sekiranya ada salah dan silap, mohon diampunkan. Salam Eidul Fitr dari Semangkuk Bijirin =)


0 komentar: