Semangkuk Bijirin

Ingin berkongsi ilmu, pengalaman dan pendapat...

Susahnya nak tido

Bismillahi wal hamdulillah

Terasa sejuk malam ini. Hujan turun dengan rahmat dariNya. Selalunya manusia akan nyenyak tidur dalam cuaca begini. Tapi susah pula aku nak lelapkan mata, padahal rasa mengantuk yang amat. Banyak pula yang menerjah fikiran. Hal itu, hal ini. Benda itu, benda ini. Macam-macam ada. Waktu pagi tadi takde pula nak datang dalam otak.

Mungkin waktu nak tidur adalah waktu yang paling tenang. Waktu otak mula nak bersenang-senang sedikit. Waktu yang tak perlu fikirkan perkara-perkara yang berat-berat. Tapi yang datang waktu nak tidur pun bukan calang-calang punya fikiran. Macam-macam juga. Lagi berat kot. Kadang-kadang sampai kena makan ubat tidur. Memang kronik. Tapi sekarang stok ubat dah habis. Kena bergantung pada diri sendiri. Aduh!

Hidup kita memang tak boleh lari dari masalah. Masalah akan muncul satu persatu. Kadang-kadang, belum selesai satu masalah, datang satu lagi. Ini lumrah kehidupan kita. Masalah yang kita hadapi sebenarnya merupakan satu ujian untuk kita. Nak tengok kita ada di tahap atau maqam yang mana. Mungkin ada orang kata ini ayat retorik, terutamanya bagi penceramah nak berceramah. Nak buat macam mana, memang ini hakikat. Dalam Quran pun Allah ada sebut pasal ujian untuk tengok samada kita layak ataupun tak untuk masuk syurga. Jadi, memang betul la masalah tu merupakan satu ujian.

Yang penting selain dari kerjasama ialah cara kita memandang setiap masalah yang kita hadapi tu. Orang yang bijak akan melihat masalah itu sebagai satu kaedah atau jalan untuk dia memperbaiki dan memperelok diri sendiri. Dia tahu bahawa di sepanjang proses untuk menghadapi masalah tersebut dia akan mendapat sesuatu. Dia akan dapat mempelajari perkara baru. Dia akan memperoleh pengajaran yang tidak dapat sebelum ini, walaupun dia tak berjaya mengatasi masalah tersebut.

Bagi mereka yang berfikiran negatif atau pesimis, dari awal lagi mereka sudah mengalah. Sudah mula mengeluh sebelum apa-apa lagi. Sudah mula melupakan tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan ke atas mereka. Mereka berfikiran bahawa setiap masalah yang timbul dan muncul akan memusnahkan hidup mereka. Akan menyebabkan mereka lebih terjerumus ke lembah kegagalan. Sedangkan mereka lupa bahawa dengan ujianlah mereka boleh melangkah ke tahap yang lebih tinggi.

Lantas, kita tergolong dalam kumpulan mana? Golongan yang optimis atau pesimis. Mungkin kedua-duanya. Ada masanya kita begitu optimis dengan diri kita. Kita mendapat sokongan dan dokongan dari orang terdekat, membuatkan kita menjadi yakin dengan diri kita. Sebab itu penting untuk memilih siapa yang dekat dengan kita. Jika yang dekat itu jenis yang tidak ambil peduli, malanglah kita. Sekiranya yang dekat itu merupakan seorang yang sentiasa memberikan semangat dan sokongan, beruntunglah kita.

Ada masanya juga kita menjadi seorang yang pesimis. Mungkin lantaran tekanan yang bertubi-tubi, kita jadi tak tentu arah buat seketika. Kita mula hilang keyakinan pada diri sendiri, sedangkan kita punya keupayaan untuk menyinar dan mengatasi mehnah yang muncul. Pada waktu ini, kita perlu mencari sinar semangat itu semula. Sebab itu kita perlu untuk mempunyai mereka yang dekat dan boleh dipercayai, agar mereka dapat memulihkan semangat untuk supaya kita dapat kembali 'beraksi' dengan mantap.


0 komentar: