Semangkuk Bijirin

Ingin berkongsi ilmu, pengalaman dan pendapat...

Jatuh

"Selalu su'uz zon kat orang. Macam la diri ni baik sangat.", rintih teman kepadaku.

Pernah tak terasa seolah-olahnya kita semakin hari semakin jahat, semakin gelap hati, semakin jauh dari Rabb, semakin terasing dari kasih dan rahmat Allah, semakin terpinggir, semakin dilupakan dan semakin kurang iman? Tahniah dan syabas sekiranya anda pernah punyai perasaan sebegini. Ini menjadi bukti bahawa masih ada bibit-bibit iman di dalam hati anda.

Mukmin merupakan merupakan insan biasa sama seperti insan-insan lain. Ini bermakna mukmin juga kadangkala tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan dan kesilapan. Yang membezakan mukmin dengan insan lainnya ialah kewujudan iman dalam hati mukmin tersebut yang menjadi peneman dan pembimbing di kala melakukan kegiatan harian.

Walaupun mempunyai peneman dan pembimbing itu, mukmin juga terdedah untuk melakukan kesilapan kadangkala. Ini terjadi kerana, selain daripadan iman, wujud nafsu yang kadangkala boleh menjadi elemen kontra terhadap iman.

Secara asasnya, ulama' membahagikan nafsu ini kepada 3 jenis. Nafsu yang pertama ialah nafsu ammarah. Nafsu ammarah merupakan nafsu kelas terbawah dan ia merupakan nafsu jahat. Manusia yang mempunyai nafsu ammarah cenderung untuk melakukan dosa-dosa besar dan mereka tidak rasa bersalah dengan perbuatan mereka.

Nafsu yang kedua ialah nafsu lawwamah. Nafsu jenis ini merupakan nafsu kelas kedua di antara tiga nafsu tersebut. Mereka yang mempunyai nafsu jenis ini merupakan mereka yang masih lagi terdorong untuk melakukan dosa-dosan kecil, namun mereka mengkritik diri sendiri atas perbuatan yang salah itu dan bertaubat kepada Allah dengan serta merta. Rata-rata mukmin tergolong di kelas ini.

Nafsu yang ketiga ialah yang tertinggi di kalangan dua tadi, iaitu nafsu mutmainnah. Mereka yang mempunyai nafsu jenis ini merupakan mereka yang rapat diri mereka dengan Allah, yang merasa ketenangan sentiasa dan sentiasa terbimbing perlakuan mereka. Selalunya golongan ulama' dan ahli sufi mempunyai nafsu jenis ini.

Nafsu tidak semestinya membawa kita ke arah mungkar. Nafsu yang terpimpin mampu membantu menjejakkan kaki kita ke syurga.

Kadang-kadang jika kita secara tidak sengaja melakukan dosa, kita terasa bagaikan iman kita hampir tercabut dari jiwa akibat perbuatan itu. Kita merasakan sebagai seorang mukmin, tak sepatutnya kita melakukan dosa. Ya, memang itu yang sepatutnya berlaku. Namun kita harus ingat dan sedar akan hakikat kita sebagai seorang insan yang diciptakan penuh dengan kelemahan dan kekurangan. Kadangkala secara tidak sengaja ataupun sengaja kita melakukan perkara yang dibenci oleh Allah. Itulah hikmah di sebalik salah satu nama Allah iaitu Al-Ghafur. Al-Ghafur bermaksud Dia yang Maha Pengampun.

Allah amat kasih dan suka kepada hambaNya yang selalu memohon keampunan dariNya. Ini kerana apabila kita memohon keampunan dari Allah, kita mengakui bahawa Dialah Rabb kepada diri kita. Tidak ada yang layak untuk dipohon keampunan melainkan kepada Dia.

Tapi kadangkala timbul perasaan seperti meragui samada Allah akan mengampuni dosa kita atau tidak. Timbulnya perasaan ini mungkin kerana kita selalu sangat melakukan dosa dan perkara yang dilarang oleh Allah. Keraguan ini merupakan suatu prasangka buruk terhadap Allah, dan kita tidak boleh mempunyai perasaan sedemikian terhadap Allah. Kita sepatutnya berprasangka baik dengan Allah. Allah ialah Al-Ghafur. Dia kaya dengan pengampunan. Walaubagaimanapun, samada Dia mengampunkan dosa kita atau pun tidak, itu adalah hak Allah. Kita milikNya. Dia mempunyai hak mutlak terhadap diri kita.

Namun jangan jadikan itu sebagai pelemah semangat untuk berterusan memohon kemaafan dan keampunan dariNya. Bahkan, jadikan ia sebagai pembakar semangat untuk terus menerus memohon keampunan kerana kita yakin bahawa Allah pasti akan mengampunkan dosa hamba-hambaNya.


4 komentar:

Selalu rasa takut dengan dosa-dosa yang tak pernah putus....ampunkan aku ya Allah.

 

em.kadang2 bl rase down dgn mende camni kan,rase ssh sgt nak nek balik.huhu :)

 

sangat benr apabila sudh jatuh skar utk naik kembali tp seorang mu'min itu x pernah berputus asa dgn rahmat allah. sebaik2 jln ialah kembali kpdNya dgn apa jua cara

 

btol3x.perlu usaha sedaya mgkn utk kembali.kdg2 org sekeliling pon perlu memainkan peranan utk membantu.