Semangkuk Bijirin

Ingin berkongsi ilmu, pengalaman dan pendapat...

Mengasuh Diri Menjadi Pemimpin Unggul

Salam...

Alhamdulillah, baru balik dari sebuah program pengisian Ramadhan. Program tersebut berkisar tentang Sultan Muhammad Al-Fateh, pembuka kota Constantinople. Benar-benar membuka mata tentang bagaimana seharusnya kita melihat setiap sejarah itu berlaku. Kita bukan hanya patut melihatnya dari sudut apa, bila dan siapa yang terlibat, tetapi harus juga mendalami dari sudut mengapa dan bagaimana.

Suatu kejayaan dan kebanggaan yang bukan mudah untuk dicapai pada ketika itu. Tambahan pula Sultan Al-Fateh merupakan seorang pemuda yang hanya berumur sekitar 20-an. Namun, pendidikan dan pembentukan pemikiran beliau adalah berlandaskan acuan kejayaan. Acuan tersebut bernama Islam, dan telah terbukti dengan sistem pendidikan yang betul dan authentik, kita mampu untuk melahirkan insan yang mengukir sejarah yang positif di buku teks dunia.

Sesekali pemikiran terbabas sedikit daripada program tadi. Terasa telah merugikan masa sekolah dahulu dengan perkara yang sangat tidak berfaedah. Terasa tersangat rugi kerana tak mula menghafal Quran sejak dari kecil. Terasa tersangat rendah dan kerdil peribadi jika nak dibandingkan dengan pemuda bergelar Sultan Muhammad Al-Fateh di kala umur yang hampir sama dengan beliau ketika beliau dilantik menjadi Gabenor dan pemimpin. Apatah lagi apabila mendengar beliau sudah menjadi pemerintah 20 buah negara ketika umur mencecah 22 tahun. Subhanallah, hebat sungguh kuasa Allah dalam merencanakan hidup hambanya.

Namun ianya tak menggoyahkan semangat untuk lebih rajin menuntut ilmu, bahkan ia menjadi pembakar semangat untuk berusaha dengan lebih tekun dan gigih dalam menempuh mehnah duniawi pada hari ini. Apabila kita membaca kisah-kisah sebegini, seharusnya ia menjadi pencucuh dan pemangkin kepada kebangkitan diri dalam menyerlahkan kesungguhan untuk menuntut dan menyebarkan ilmu. Segala ilmu yang kita perolehi haruslah dikongsikan bersama. Jika tiada medium arus perdana yang boleh digunakan, aku mencadangkan agar menggunakan medium blog ini. Menggunakan teknologi terkini dalam berdakwah juga merupakan salah satu daripada strategi yang harus digunakan.

Kalau kita lihat dan kaji sejarah ulama, cendekiawan dan pemimpin Islam terkemuka pada zaman dahulu, kita akan mendapati bahawa mereka bukan sahaja mahir dalam bab kepimpinan semata-mata. Bahkan ada antara mereka yang menguasai 4-5 bidang secara keseluruhannya. Kalau nak disamakan dengan zaman sekarang, mereka boleh dikatakan telah mempunyai 4-5 PhD, bahkan mungkin lebih hebat dari itu. Dengan ilmu yang pelbagai itulah mereka gunakan untuk menjadikan pemerintahan mereka sebagai pemerintahan yang sangat berkesan. Bagaimana mereka boleh menguasai pelbagai bidang ilmu ini? Ini mungkin menjadi persoalan di setiap pemikiran kita. Rasanya pernah dikupas tentang isu ini dalam tulisan sebelum ini.

Sekadar ulangan, ulama dan cendekiawan dahulu diasuh dan diberikan pendidikan tentang asas-asas Islam terlebih dahulu sebelum diajar tentang ilmu-ilmu lain. Kalau kita cungkil sejarah Sultan Muhammad Al-Fateh ini, beliau mempunyai guru khas untuk menghafaz Al-Quran dan diberikan pendidikan tentang agama Islam. Pendidikan Islam didahulukan dan diutamakan terlebih dahulu dan selepas itu baru dimasukkan ilmu-ilmu peperangan dan sebagainya. Mengapa pendidikan Islam dahulu?

Ini kerana Islam mengajar kita tentang prinsip hidup kita. Islam mengajar kita tentang matlamat hidup kita. Islam mengajar kita tentang potensi diri kita. Apabila kita telah mendapat gambaran dan penjelasan serta pemahaman yang jelas tentang semua ini, barulah kita mempunyai keinginan dan keupayaan untuk mengejar cita-cita kita yang semestinya selari dengan Islam.

"Ish, bosan la kalo asyik sume mende nak kena Islam. Aku nak gak dunia".

Agak pelik sebenarnya kalau ada yang mengeluh sebegini. Entah di mana silapnya pemikiran orang macam ini. Mungkin ada yang tidak kena pada 'pendidikan Islamnya'. Islam tidak pernah menghalang umatnya daripada mengecapi kenikmatan dan kemewahan duniawi. Jikalau begitu masakan mungkin terpapar pada kisah sejarah tentang para sahabat yang tergolong dalam golongan kaya-raya. Mana mungkin pada zaman pemerintah Umar bin Abdul Aziz tidak ada langsung penerima zakat. Semua ini menampakkan bagaimana Islam itu sendiri mengiktiraf nilai keinginan insani dalam mengecapi kemewahan. Cuma, ada batas-batas yang harus dipatuhi dalam mengejar dan mengecapi kenikmatan dan kemewahan tersebut. Mestilah ianya bersumberkan sumber yang halal dan baik. Entah kenapa Islam itu ditonjolkan dalam maksud yang cukup negatif oleh umat sekarang, terutamanya di negara kita ini.

Cukup jelas betapa pentingnya Islam dan pendidikan Islam dalam kehidupan manusia. Janganlah ada di antara kita yang cuba meremeh-remehkan perkara, kerana sesungguhnya orang yang melakukan sedemikian adalah tergolong di kalangan mereka yang JAHIL ISLAM. Namun jangan diperangi golongan sebegini. Mereka memerlukan bimbingan agar mereka tidak terus terbabas. Kita harus bersabar dalam meneruskan dakwah kepada mereka. Namun sabar juga ada batasnya kan? :)

2 komentar:

salam
jazakallah atas entry ini.
boleh top up iman akak juga.

 

Salam...
jazakallah kerana sudi membaca dan meninggalkan komentar.moga meningkat amalan kita bila membaca sejarah manusia agung seperti mereka.