Semangkuk Bijirin

Ingin berkongsi ilmu, pengalaman dan pendapat...

Apa Akan Anda Lakukan?


Bismillahi wal hamdulillah

Di sebuah kampung yang aman, tinggal sebuah keluarga yang baik dan berakhlak mulia. Keluarga ini terdiri dari ayah, ibu dan 5 orang anak. Mereka bukanlah sebuah keluarga yang kaya mahupun fakir. Rezeki mereka cukup untuk menampung keperluan asas mereka seharian. Tidak pernah lagi mereka hidup tanpa makanan ataupun dalam keadaan kebuluran. Mereka amat bersyukur dengan kehidupan dan kedamaian yang telah Allah kurniakan kepada mereka.

Kehidupan mereka setiap hari dari pagi hingga ke petang adalah sama hampir setiap hari. Setiap pagi ayah dan 2 orang anak lelakinya akan mengusahakan tanah di hadapan rumah mereka dengan menanam sayur-sayuran. Ibu dan seorang anak perempuannya akan ke pasar untuk menjual segala hasil tanaman yang mereka miliki dan seorang anak perempuan lagi akan tinggal di rumah untuk menguruskan hal berkaitan dengan rumah seperti memasak, mengemas rumah dan seumpamanya.

Kehadiran keluarga ini dalam kampung tersebut amat disenangi oleh masyarakat sekitar akibat daripada sikap dan akhlak ahli keluarga tersebut yang baik dan tidak pernah menimbulkan kacau-bilau di dalam kampung tersebut. Bahkan, orang kampung juga suka untuk berjual-beli dengan keluarga terbabit kerana kejujuran dan ketelusan ketika berjual-beli. Setiap kali majlis keramaian diadakan di kampung tersebut, mereka pasti akan dijemput untuk hadir bersama.

Tetapi, dalam keadaan aman dan tenteram itu, ada sebuah keluarga yang lain yang sudah lama mencemburui dan menyimpan hasad terhadap keluarga ini. Mereka sering menuduh keluarga baik ini sebagai pencuri dan keluarga pembawa sial. Mereka memfitnah keluarga baik ini merampas tanah milik keluarga mereka dan tinggal serta bercucuk tanam di atasnya.

Keluarga jahat ini merupakan keluarga yang kaya-raya. Mereka mempunyai pengaruh yang besar di kalangan orang kampung. Mereka juga selalu memberikan sumbangan sekiranya ada majlis keramaian di kampung tersebut. Mereka mengawal hal-ehwal kampung tersebut. Kalau ada yang mengalami kecelakaan, mereka akan membantu. Kalau ada yang hampir muflis, mereka juga sanggup membantu. Mereka dianggap sebagai penyelamat bagi sebahagian penduduk kampung itu.

Pada suatu hari, keluarga jahat ini berhajat untuk mengambil semula tanah yang dikatakan dirampas oleh keluarga baik ini. Keluarga jahat ini memberitahu niat yang terbungkam di hati setelah sekian lama ini kepada ketua kampung. Pada mulanya ketua kampung berasa berat hati untuk membenarkan perkara ini berlaku, namun setelah diugut dan dirasuah secara halus, ketua kampung merelakan niat ini diteruskan.

Pada keesokan harinya, keluarga jahat ini dan konco-konconya secara beramai-ramai bergerak ke tanah milik keluarga baik tersebut. Keluarga baik terkejut melihat begitu ramai orang datang mengelilingi rumah mereka. Mereka berasa takut dan terancam. Keluarga jahat menyuruh keluarga baik keluar dan mengosongkan rumah mereka kerana keluarga jahat ingin mengambil tanah tersebut. Keluarga baik enggan mengosongkan rumah mereka kerana mereka tahu tanah itu adalah hak mereka sejak dari turun-temurun. Keluarga baik merayu kepada ketua kampung untuk membantu mereka, namun tidak diendahkan.

Konco-konco keluarga jahat mula merosakkan tanaman keluarga baik dari pinggiran pagar dan ini menyebabkan ayah keluarga baik marah. Ayah dan ibu keluarga baik keluar untuk mempertahan hak mereka. Mereka dipukul dan dipijak oleh konco-konco keluarga jahat. Bukan setakat itu, ibu keluarga baik dirogol beramai-ramai.

Hal ini disaksikan oleh anak-anak keluarga baik. Mereka berasa sedih dan geram. Mereka berdoa kepada Allah agar memberikan mereka kekuatan untuk berjuang mempertahan hak mereka.

Keluarga jahat memanggil anak-anak keluarga baik untuk keluar dan mengosongkan rumah mereka. Anak-anak keluarga baik enggan dan menyatakan pendirian mereka untuk tidak menyerahkan tanah itu kepada keluarga jahat. Mereka berkubu di dalam rumah tersebut.

Hari demi hari, minggu demi minggu, bulan demi bulan telah berlalu. Keluarga jahat dan konco-konconya telah mula membina penempatan di sekeliling tanah tersebut, mengelilingi rumah keluarga baik. Bekalan makanan dan minuman keluarga baik hampir kehabisan. Anak sulung keluarga baik memberikan cadangan agar mereka mula merancang strategi untuk mengalahkan keluarga baik dan konco-konconya. Mereka cuba meminta pertolongan penduduk kampung yang lalu lalang di jalan hadapan rumah mereka, namun semuanya enggan kerana takutkan keluarga jahat dan konco-konconya. Mereka cuba pula meminta pertolongan penduduk kampung sebelah, namun mereka telah disogok oleh keluarga jahat untuk tidak membantu keluarga baik.

Kemudian anak bongsu menyatakan kesediaannya untuk keluar dari kubu dan cuba untuk membunuh seramai mungkin konco-konco keluarga sebagai tanda yang mereka masih belum mahu mennyerah kalah. Pada mulanya cadangan ini tidak dipersetujui. Namun apabila memikirkan tidak ada jalan lain yang boleh dilakukan, cadangan ini diterima untuk dilaksanakan. Pada malam sebelum operasi itu, anak-anak keluarga baik ini bermunajat dan berdoa kepada Allah agar membantu mereka.

Pada keesokan paginya, anak bongsu keluar dari rumah dan terus meluru ke pos pondok kawalan konco-konco keluarga jahat sambil menghunuskan pisau ke arah konco-konco terbabit. Dia berjaya membunuh 5 orang konco-konco sebelum dia sendiri terbunuh. Anak-anak keluarga baik berasa sedih dengan pemergian adik bongsu mereka, namun mereka tahu kematiannya bukan suatu yang sia-sia.

Hal ini memberi impak yang mengejutkan kepada keluarga jahat dan konco-konconya. Mereka berasa sedikit terpukul dengan apa yang telah terjadi. Mereka sedar anak-anak keluarga baik bukan calang-calang orangnya. Lantas, mereka membina strategi yang lebih dahsyat untuk mengusir anak-anak keluarga baik itu. Di samping itu mereka juga merancang untuk memutar-belitkan keadaan agar orang ramai melihat keluarga jahat di pihak yang baik, hanya ingin menuntut hak mereka manakala mereka mahu orang ramai melihat keluarga baik sebagai pihak yang jahat, yang merampas harta keluarga jahat. Mereka berjaya dalam putar-belit itu, dan perancangan merekan untuk merampas tanah tersebut semakin hari semakin ganas, sehinggalah ke saat anda membaca ini.
------------------------------------------------

Cerita ini menggambarkan keadaan di Palestin saudara pembacaku. Sungguh sukar sebenarnya untuk menyedarkan masyarakat dunia akan hakikat keadaan di sana. Di Malaysia juga cukup sukar untuk menyedarkan rakyat yang majoritinya mengucap kalimah syahadah yang sama seperti yang diucapkan umat Palestin tentang keadaan ini. Ada yang sudah lali dan dah tak ambil peduli akan hal mereka. Yang lebih menyedihkan, mereka adalah dari kalangan sahabatku sendiri, yang makan semeja, yang main futsal bersama, yang belajar bersama. Aku mengaku kelemahanku dalam berdakwah mungkin menjadi asbab begini, namun apalah yang disusahkan sangat untuk menyedari hakikat ini, menginsafi diri dan menghulurkan bantuan?

Setiap hari kita dilambakkan dengan berita keadaan di Palestin, namun yang lebih kita risaukan ialah biasiswa lambat masuk, makanan tak sedap, nak ambil gambar gadis bermata bulat dan seumpamanya yang menggambarkan kelemahan dan kerendahan iman kita. Ramai juga di kalangan kita yang memperlekeh pihak HAMAS yang sedaya upaya mereka cuba mempertahan kiblat pertama kita. Bagi mereka yang memperlekeh ini, sekurang-kurangnya HAMAS berjuang dan mencuba, tetapi anda umpama debu (x terungkap perkataan terkeji. Debu seringkali digunakan dalam hadith untuk menggambarkan manusia yang tak guna).

Aku tulis ini dalam keadaan sedar akan kelemahan diri. Namun akan cuba diperbaiki. Aku juga mencadangkan begitu kepada sidang pembaca yang dihormati. Di mana sahaja ada kutipan untuk Palestin, hulurkan sebanyak yang mampu. Jangan tunggu sehingga keluarga anda dirosak, dipijak, dihina, difitnah, dirogol, dibunuh baru anda menyedari apa yang dilalui umat Palestin. Mereka tidak perlukan kita untuk berjuang di sana. Mereka hanya perlukan sokongan doa dan semangat. Sokongan semangat ini dimanifestasikan dengan menunjukkan kita sedar dan iktiraf bahawa perjuangan mereka juga merupakan perjuangan kita.

0 komentar: