Alhamdulillah, kita dah melangkah masuk ke tahun baru 1429 hijjrah. Aku rase masih belum terlambat untukku mengucapkan ‘happy new year’ kepada semua teman seperjuangan. Diharapkan dengan berlabuhnya 1428 dan terbitnya 1429 dapat menjadi pemangkin kepada semangat kita untuk memperjuangkan agama Allah yang tercinta ini. Cuma di sini aku ingin berkongsi sedikit perasaan yang aku alami pada malam tahun baru tersebut. Pada malam itu aku pergi menghadiri ceramah perdana di masjid berdekatan dengan rumahku. Alhamdulillah ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Doktor Jamnul Azhar, seorang graduan Al-Azhar cukup menarik dari segi penyampaiannya. Namun aku agak kecewa dari segi pengisiannya kerana tiada benda baharu. Bagiku ia hanyalah sebuah ceramah hijrah yang tipikal yang mesti dibuat ketika tibanya ‘ma’al hijrah’. Bukanlah niatku untuk memperkecilkan para ustaz di negara kita, tetapi harapanku cubalah membuat sedikit pembaharuan dalam pengisian agar selari dengan zaman yang kita gelar sebagai zaman sains dan teknologi. Ini kerana ilmu Allah itu berkembang dari hari ke hari, dan kitalah yang sepatutnya mengejar dan menguasai ilmu tersebut dan bukannya orang kafir laknatullah ‘alaihim. Walaubagaimanapun aku menasihati rakan-rakan agar pergi ke mana-mana saja majlis ilmu kerana di situ terdapat keberkatan dan rahmat yang tak terbilang banyaknya.
Sebenarnya bukan ini yang ku ingin kongsikan bersama sahabat-sahabat sekalian. Ketika aku khusyu’ mendengar ceramah yang diberikan, aku menerima satu kiriman khidmat pesanan ringkas. Hati kecilku berbisik siapakah gerangannya yang menghantar pesanan ringkas ini. Setahu aku sahabat-sahabat aku di kolej menghadiri majlis yang dianjurkan oleh JAKSA kolejku. Oh, rupa-rupanya senior doktorku yang menghantar pesanan tersebut. ‘Happy new year’ bunyinya. Aku pun rasa agak gembira kerana ada insan yang mengucapkan ungkapan tersebut pada ‘maal hijrah’. Di akhir pesanan tersebut senior doktorku bertanya, ‘what is miqdad’s new year resolution?’. Aku tergamam buat seketika. Aku langsung tidak pernah memikirkan azam tahun baru selama ini, sebab aku tidak percayakan azam ketika tahun baru menjelang. Bagiku azam harus diperbaharui pada setiap hari untuk kita menjadi lebih baik dari semalam. Semua maklum bahawa sesiapa yang dirinya lebih teruk dari semalam adalah adalah insan yang dikutuk dan dicela berdasarkan kepada hadith Nabi. Namun aku melayan pertanyaan tersebut dan membalas semula pesanan ringkas tersebut. Apa yang aku ingin tekankan atau fokuskan di sini ialah, sepatutnya selaku seorang yang bergelar Muslim, azam kita haruslah sentiasa diperbaharui setiap hari agar menjadi insan yang lebih berkualiti di masa hadapan. Walaubagaimanapun, aku memuji insan yang menjadikan tahun baru sebagai titik tolak untuk memperbaharui dan memperbaiki kehidupan, dengan syarat dia memastikan dia ingat azam yang dibuat dan cuba sedaya upaya untuk mengamalkannya. Aku mengucapkan jutaan terima kasih kepada senior doktorku kerana mengingatkanku kepada perkara ini dan juga terima kasih kerana mengambil berat akan kebajikanku. Aku merasakan Allah telah menghantar pertolongan kepadaku dengan menghantar seorang insan untuk mengingatkanku padaNya Yang Esa. Aku bersyukur padaMu Ya Allah.