Semangkuk Bijirin

Ingin berkongsi ilmu, pengalaman dan pendapat...

Kebersihan Diri

Kebersihan merupakan satu komponen yang amat penting dalam kehidupan seorang manusia. Kebersihan diri dan sekeliling telah menjadi penanda aras atau indikator tentang peribadi seseorang itu. Orang yang menjaga kebersihan diri dan sekeliling dinilai sebagai seorang yang mempunyai nilai hati dan pemikiran yang murni. Bukan sahaja dinilai oleh manusia sekeliling, malahan ada agama yang begitu menekankan aspek kebersihan kepada penganutnya. Bahkan, kebersihan merupakan salah satu daripada tuntutan fitrah seorang manusia.

Belakangan ini, isu kebersihan menjadi satu isu yang hangat diperkatakan di peringkat antarabangsa, tidak ketinggalan di arena Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Ia telah menjadi suatu agenda penting untuk diperbincang bagi mencari suatu solusi bertujuan untuk meningkatkan kesedaran di peringkat global tentang peri- pentingnya penjagaan kebersihan. Semuanya disebabkan statistic yang telah dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada tahun 2004 yang menyatakan bahawa 90 % daripada kematian yang dicatatkan di seluruh dunia adalah disebabkan oleh penyakit-penyakit seperti HIV/AIDS, cirit-birit, batuk kering (tuberculosis), malaria dan demam cacar. Kebanyakan dari penyakit ini sebenarnya dapat dibendung sekiranya kebersihan menjadi suatu keutamaan masyarakat, bukan sahaja kebersihan diri dan sekeliling, malahan kebersihan makanan dan minuman dan juga memastikan hasil kumbahan dirawat dengan sebetulnya mengikut prosedur yang standard.

Islam telah lama menekankan aspek kebersihan kepada umatnya. Islam telah datang kepada bangsa arab jahiliyah di masa mereka dalam keadaan yang amat memerlukan suatu sistem kehidupan bagi membentuk suatu tamadun yang mampu membawa mereka keluar dari kepompong kehidupan yang amat sempit dan kotor dengan amalan jahiliyah mereka. Antara yang dibawa oleh Islam ialah penjagaan kebersihan.

Dalam surah Al-Baqarah ayat 222, Allah s.w.t telah menyatakan bahawa Dia menyukai hambaNya yang bersih:

إِنَّ اللّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Ketika mentafsirkan ayat ini, As-syeikh Syed Hawa dalam kitabnya Al-asas fi Al-tafsir, beliau berkata, “(Allah menyukai) mereka yang bertaubat daripada dosa yang berulang kali dan mereka yang membersihkan dirinya daripada kekotoran dan kekejian ataupun membersihkan dirinya dengan menggunakan air kurniaan Allah.

Jika melihat kepada ayat tersebut, terdapat tanda yang menunjukkan bahawa penjagaan kebersihan itu merupakan suatu yang dituntut dan harus di sisi Islam. Ini kerana pernyataan Allah yang secara terangnya menjelaskan yang perbuatan menjaga kebersihan disukai olehNya dan tiada tanda yang menunjukkan ia perbuatan yang haram dan dibenci.

Ianya diperkuatkan dengan hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Nabi berkata,

‏الطُّهُورُ ‏ ‏شَطْرُ ‏ ‏الْإِيمَانِ

yang bermaksud, “Kebersihan itu separuh daripada iman”. Hadith ini menampakkan kepada kita betapa pentingnya penjagaan kebersihan di sisi Islam sehinggakan ia menjadi penanda aras kepada tahap keimanan seseorang itu.

Di samping itu, Islam juga mengajar umatnya berkenaan aspek pembuangan najis. Ini kerana pembuangan najis yang tidak betul boleh mendatangkan pelbagai penyakit dan wabak. Menurut hadith yang dilaporkan oleh Muslim dan Ahmad, Nabi berkata, “Takutlah kamu dengan dua perkara yang terkutuk, iaitu membuang najis di lorong-lorong yang digunakan manusia dan di tempat mereka berteduh”.

Semua ini adalah dalil yang menujukkan bahawa Islam bukan sekadar mementingkan kebersihan, lebih daripada itu ia memperincikan berkenaan bagaimana kebersihan itu perlu dijaga. Semua ini menunjukkan berkenaan betapa relevannya ajaran Islam bagi manusia pada hari ini.

Hidup Dakwah

Bismillahi wal hamdulillah

'Aktivis Dakwah Lapangan', tak pernah tahu kewujudan golongan ini sebelum ini (tahu, cuma tak pernah jumpa). Tapi alhamdulillah, semalam Allah membuka ruang untuk aku menjadi sebahagian daripada mereka, dan ianya merupakan suatu nikmat yang sangat indah dan menarik.

Beberapa NGO Islam, disokong oleh JAWI, semalam telah melancarkan kempen 'Jom Cegah Zina'. Semuanya bertujuan untuk menyampaikan mesej dakwah dan menyedarkan remaja, terutamanya 'couple' tentang bahayanya sambutan 'Hari Valentine' dan pada masa yang sama mengeratkan ukhuwah sesama muslim. Sambutan dari ikhwah (brothers) dan akhawat (sisters) alhamdulillah, cukup merangsang semangat untuk bersama-sama sekali lagi untuk berjuang di lapangan ini. Cukup banyak pengalaman yang dapat dikutip sepanjang malam tersebut. Harap dapat berjumpa kalian lagi di medan yang diberkati ini.

Yang ingin dikongsikan di sini bukanlah hasil daripada gerakan semalam, cuma ingin berkongsi perasaan 'hidup untuk memberi'. Pastinya ramai yang sudah 'familiar' dengan ungkapan ini. Seringkali diutarakan oleh pelbagai da'i, terutamanya bagi yang memang mengikuti Saifulislam.

Ramai dari kita yang punya ilmu yang hebat. Buku bacaan mencecah puluhan. Pergi mendengar ceramah ke sana ke sini. Usrah kadang-kadang mencecah 3-4. Namun jarang sekali kita berkongsi ilmu yang terbuku di dada.

Ada pula yang mungkin baru nak berjinak-jinak dengan agama. Buku bacaannya baru 1-2. Mendengar ceramah mungkin seminggu sekali (khutbah jumaat). Usrah mungkin 1, itupun konsistensinya boleh dipertikai. Namun jarang sekali berkongsi kita ilmu yang sedikit itu.

Semalam saya dapat merasakan suatu kenikmatan dan kepuasan dalam berkongsi ilmu. Tak banyak ilmu yang dikongsikan, sebab tak banyak ilmu di dada. Sekadar berkongsi sedikit pengetahuan tentang sambutan Valentine, dan satu dua hadith yang berkaitan. Cukup puas bila melihat riak wajah mad'u (yang didakwah) yang sedar akan kekhilafan (kesilapan) diri. Bukan nak menunjukkan kita hebat dan lebih 'superior'. Sekadar mengajak manusia lain meninggalkan mungkar dan menegakkan makruf, di samping mengingatkan diri akan kelemahan dan kekurangan diri.

Ada ramai di kalangan kita yang sebenarnya tercari-cari kaedah dan jalan untuk menyertai program dakwah. Cumanya dalam pencarian itu mereka terserempak dengan golongan yang menjanjikan keseronokan buat mereka dan mereka terleka dan terlupa dengan misi pencarian mereka. Tugas kita yang sedar dan berada di kalangan yang sedarlah untuk mengingatkan mereka akan misi mereka.

Kurangkanlah senda-gurau, lebihkanlah usaha dakwah. Kita dah nak mati, dah nak kiamat. Apakah bekalan kita bila berhadapan dengan Yang Esa nanti? Duit? Komputer? X-box? Handphone? Atau perkataan-perkataan yang mengajak kepada makruf dan mencegah mungkar.

"Dan siapakah yang lebih baik ucapannya daripada orang yang berseru kepada Allah dan membuat kerja-kerja kebaikan dan berkata. "Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang muslim"". (Fussilat-33)

Aku Perlu Bersendirian

Bismillahi wal hamdulillah

"Aku ingin berseorangan untuk seketika".

"Biarkan aku, aku perlukan masa sendirian".

"Berikan aku sedikit ruang untuk tenangkan diri aku".

Pasti semua daripada kita pernah mengalami keadaan sebegini. Keadaan di mana fikiran amat serabut, seolah-olahnya kegelapan menyelubungi 'penglihatan' kita, seolah-olahnya tiada lagi jalan untuk menyambung dan meneruskan perjalanan hidup kita. Ketika itu kita memilih untuk mendiamkan dan menyembunyikan diri dari masyarakat dan keluarga. Suami tidak mempedulikan isteri, isteri enggan melayan kerenah suami, anak tidak pulang ke rumah, teman sekerja tidak muncul ke pejabat, kawan sudah mula enggan keluar makan bersama. Bagi orang sekeliling pastinya keadaan ini pastinya memberikan kesan emosi kepada mereka. Perubahan mendadak ini, membuatkan mereka tertanya-tanya apa yang telah berlaku, kerana mereka peduli.

Namun hakikat sebenar istilah 'bersendirian' itu sungguh mendalam dan bermakna dalam kehidupan seorang muslim. Seorang muslim itu meyakini dan mempercayai bahawa hidup dan mati hanyalah kerana Allah, setiap amal perlakuan hanyalah untuk Allah dan Allah akan sentiasa bersama dengan orang yang meyakini. Lantas tidak ada 'bersendirian' secara literal bagi seorang muslim.

Keamanan dan kedamaian jiwa itu datangnya dari Allah. Allah berhak memberi dan menarik nikmat itu berdasarkan kehendakNya. Mereka yang menjaga hubungan yang baik dan rapat denganNya pastinya akan sentiasa dikurniakan nikmat aman dan damai itu. Beruntunglah mereka yang memilikinya.

Bagi mereka yang ditarik nikmat aman dan damai buat sementara darinya, itulah masa untuk mula 'bersendirian'. Muhasabah tentang amalan dan iman. Tumpu dan fokuskan semula perhatian kepada Dia Yang Esa. Perbaiki hubungan kita denganNya. Masa 'bersendirian' kita itu sebenarnya adalah masa untukNya. Pastinya kita telah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kehendakNya. Pastinya kita sudah mula leka dan melupakanNya. Perasaan ingin 'bersendiri' itu boleh menjadi suatu tanda yang positif, menandakan Allah masih membuka pintuNya untuk memberi peluang kedua dan menerima taubat kita. Tapi ia juga mungkin menjadi petanda bahawa kita sudah tidak diterima di sisiNya. Yang mana satu menjadi tanda tanya setiap dari kita.

Berusahalah untuk tidak memerlukan waktu 'bersendirian' itu. Sesungguhnya, amat perit untuk mengharungi tempoh waktu itu. Pelbagai persoalan menerjah ke minda, tanpa ada satu pun yang mempunyai jawapan. Ingatlah, syurga itu hanya akan dimiliki dengan rahmat Allah. Kejarlah rahmatNya.

Aku perlukan waktu untuk bersendiri.