Semangkuk Bijirin

Ingin berkongsi ilmu, pengalaman dan pendapat...

Kualiti vs Kuantiti

Salah satu daripada agenda utama umat Islam ialah melahirkan suatu generasi yang mampu untuk mempertahan dan memperkasa perjuangan aqidah yang berlandaskan Al-Quran dan As-sunnah. Setiap hari kita bangun dari tidur dengan suatu azam untuk membentuk dan membina sebuah masyarakat yang bebas daripada pengaruh-pengaruh dan anasir-anasir jahiliyyah yang mampu menggoyah keyakinan seseorang terhadap kebenaran dan kesucian Islam itu sendiri. Ramai yang melontarkan ide-ide serta prinsip yang mereka ingin terapkan dalam masyarakat 'idaman' ini. Namun yang perlu difokuskan sebenarnya ialah proses pembentukan yang perlu dilalui oleh masyarakat tersebut dalam menstrukturkan semula organisasi masyarakat, daripada pihak pemerintah sehinggalah ke peringkat rakyat biasa, agar ia mampu untuk membawa kepada terbentuknya sebuah masyarakat ataupun generasi yang bakal meletakkan Al-Quran dan As-Sunnah pada perspektifnya yang betul.

Membentuk sebuah generasi seperti yang diimpikan ini merupakan suatu perjuangan dan peperangan yang agung sebenarnya. Ia bukanlah suatu perkara yang boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja. Ia memerlukan ilmu yang mendalam tentang hampir segala aspek kehidupan yang mampu dikuasai. Ia juga memerlukan tahap ketabahan dan kesabaran yang melampau tingginya, dan semestinya tidak semua orang mempunyainya. Namun ia bukanlah suatu yang mustahil untuk dikecapi. Ia pernah dilakukan, dan tidak mungkin untuk ia berulang kembali.

Apabila kita bercerita tentang medan perjuangan dan peperangan, kuantiti lebih diutamakan oleh manusia. Bilangan yang banyak bakal memberikan lebih peluang kepada sesuatu pasukan untuk mengalahkan musuhnya. Ya, benar. Bilangan yang banyak bakal menggentarkan pihak lawan yang bilangannya sedikit. Bilangan yang banyak juga akan memberikan gambaran yang positif untuk melambangkan kekuatan sesebuah pihak itu. Namun sejarah telah menukilkan bahawa bilangan bukanlah segala-segalanya apabila menceritakan tentang perjuangan menegakkan kebenaran.

Jika kita buka kitab-kitab sejarah, kita bakal melihat bagaimana uniknya para sahabat yang berjaya memenangi hampir setiap peperangan yang mereka tempuhi. Bilangan mereka tidak ramai, bilangan mereka tidak gah, namun mereka mampu untuk mempertahan kemurnian agama Islam dan akhirnya berjaya membentuk sebuah empayar yang menguasai hampir sepertiga dunia.

Al-Quran juga menukilkan perkara yang sama. Sebagai contoh dalam surah al-Baqarah ayat 149, Allah menceritakan perihal tentera Talut yang sedikit bilangannya berjaya mengalahkan tentera Jalut yang sangat banyak jumlah tenteranya. Rujuk ayat di atas untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas. Selain dari itu, Allah juga menceritakan kepada kita perihal perang Badar di mana Allah telah menurunkan bantuan bagi mengalahkan musuh yang lebih ramai berbanding tentera Islam. Rujuk surah Ali-Imran ayat 123 atau boleh menghayati lirik lagu 313 nyanyi kumpulan Mestica.

Terdapat banyak lagi kisah yang tercatat di dalam Al-Quran mahupun kitab-kitab sejarah yang menampakkan kepada kita bahawa kuantiti bukanlah teras kepada kejayaan. Jika masih tidak percaya bahawa kuantiti bukan segala-galanya, kita buka sejarah perang Hunain di mana kaum Muslimin nyaris tewas dan menderita kekalahan yang teruk, sedangkan pada masa itu tentera Islam banyak jumlahnya. Tetapi hampir tewas dek kerana kurangnya kualiti kepada kuantiti tersebut. Tercatat di dalam surah al-Taubah ayat 25-26.

Kuantiti bukan segala-galanya dalam perjuangan. Kualiti harus diutamakan dalam membentuk seorang pejuang. Jika kualiti ini diabaikan, mana mungkin tentera Islam yang berjumlah hanya 313 orang mampu menewaskan tentera kafir yang berkali ganda ramainya di medan Badar, dengan izin Allah. Jika bukan kerana kualiti yang dititikberatkan oleh Rasululullah, mana mungkin Islam yang bermula dengan hanya beberapa orang mampu untuk menguasai sepertiga dunia. Jika kualiti bukan asas sahsiah seseorang insan, mana mungkin tidak wujud penerima zakat di zaman pemerintahan khalifah Umar Ibn Abdul Aziz. Jika kualiti bukan asas perjuangan, tidak mungkin rakyat Palestin yang sedikit kuantititnya jika dibandingkan dengan kuantiti rejim zionis mampu untuk bertahan sehingga hari ini dalam memperjuangkan kebebasan negara kiblat pertama umat Islam itu. Jelas, kualiti lebih awla daripada kuantiti.

Kita sorot semua itu kepada zaman kita hari ini. Bilangan umat Islam mencecah hampir 1.5 bilion. Namun apa yang berlaku, kecantikan dan kesyumulan Islam tidak tertonjol dengan jumlah umatnya yang seramai itu. Sehari-hari kedengaran berita-berita negatif berkaitan umat Islam. Hampir sahaja kesemuanya berkenaan pembunuhan, peperangan, jenayah dan seumpamanya. Mengapa ini boleh berlaku sedangkan bilangan umat Islam begitu ramai? Adakah kerana bilangan umat bukan Islam melebihi bilangan umat Islam dengan ketara? Atau adakah kerana kurangnya kualiti dalam kuantiti umat Islam tersebut menyebabkan mereka semakin hari semakin tenggelam dan hampir lemas dengan kemewahan dunia? Sepohon pokok yang menghasilkan buah yang banyak tidak semestinya menghasilkan buah yang mempunyai isi yang baik dan mantap. Inilah analogi yang boleh kita gunapakai untuk menggambarkan umat Islam pada hari ini.

Benarlah hadith Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Daud yang mafhumnya; akan suatu masa di mana umat Islam akan dikerumuni oleh sekelian umat manusia seperti orang-orang yang lapar mengerumuni makanan. Pada masa itu umat Islam ramai namun mereka umpama buih-buih yang mengalir lautan. Inilah yang terjadi kepada kita hari ini. Kita dihujani dengan pelabagai tuduhan dan fitnah yang bertubi-tubi, namun kita seolah-olahnya tidak mampu untuk membentengi serangan tersebut kerana tidak ramai yang memahami Islam itu dari perspektif yang betul. Belum selesai satu masalah, timbul pula masalah baru. Dalam sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Rasulullah s.a.w bersabda:

بادروا بأعمال الصالحة فستكون فتن كقطع الليل المظلم
"Bersegeralah kamu melakukan amalan soleh, kerana kamu akan ditimpa dengan masalah seumpama kepingan-kepingan malam"

Ramai orang yang mengulang-ulang hadith yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan al-Nasai berkenaan dengan saranan Rasulullah untuk berkahwin dan beranak-pinak, namun Rasulullah tidak akan berbangga dengan umatnya yang jahil, bodoh fasiq dan zalim. Yang menjadi kebanggan kepada Rasulullah adalah apabila umatnya tergolong dalam golongan cerdik pandai, bermutu dan beramal soleh. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Syaikhan, Rasulullah bersabda mafhumnya:

"Manusia itu seumpama kelompok unta; ada seratus ekor tetapi tidak ada yang boleh dijadikan tunggangan"

Hadith ini menampakkan kepada kita tentang kualiti yang sukar dicari di kalangan manusia yang ramai bilangannya.

Untuk membentuk satu generasi yang berkualiti, kita perlulah merujuk kepada sumber yang tepat untuk dijadikan sebagai asas dan dasar kepada acuan yang ingin kita terapkan kepada generasi tersebut. Jika kita menjadikan sampah sebagai asas, maka sampahlah yang akan kita hasilkan. Jika kita menjadikan kaca sebagai asas, maka kacalah yang akan kita hasilkan. Jika kita menjadikan berlian sebagai asas, maka berlianlah yang akan kita hasilkan.

Lantas Al-Quran dijadikan sebagai tunjang kepada acuan tersebut.
Umat Islam perlu memahami isi kandungan Al-Quran dan seterusnya mengamalkannya sepertimana yang dilakukan oleh para sahabat di zaman Rasulullah. Kita bukan sahaja perlu mengaji tetapi juga harus mengkaji Al-Quran. Hanya dengan pemahaman tentang aqidah yang jelas dan iman yang mantap sahajalah yang mampu untuk membentuk sebuah generasi yang hebat seperti para sahabat.

Qaseh Cayunks...

Tiada sempadan untuk kasih sayang. Tidak kira siapa kita. Orang tua, orang muda. Bos, pekerja. Kaya, miskin. Ibu, anak. Gila, waras. Kasih sayang tidak kenal bangsa dan agama. Ia tidak memilih siapa yang dia suka. Ia milik semua.

Bernilainya kasih sayang itu sehinggakan tidak ada apa pun yang mampu untuk menggantikan tempatnya. Manusia yang memiliki kasih sayang merupakan manusia yang paling bertuah, paling bahagia. Sehinggakan sebuah kerajaan yang hebat sekalipun, jika tidak dipimpin oleh seorang yang tidak mempunyai kasih sayang, dan tidak diberikan kasih sayang oleh rakyatnya, tidak akan mampu untuk memerintah dengan baik dan lancar.

Kasih sayang mampu membuatkan orang hilang pertimbangan kadangkala. Mampu untuk memecahkan sebuah keluarga yang suatu ketika dahulunya dibina atas platform kasih sayang itu sendiri. Mampu untuk membuatkan seseorang itu menghancurkan masa depannya. Mampu untuk menggugat iman seseorang itu, jika tidak berlandaskan aqidah yang suci. Begitu berkuasa kuasa kasih sayang sebenarnya, sehinggakan manusia kadangkala menggunakan ia sebagai senjata untuk memanipulasi dunia. Ramai juga yang menggunakan ia untuk kemakmuran sejagat.

Kasih sayang mampu membentuk seorang insan yang lemah menjadi seorang yang mampu menggoncang ketamadunan dunia. Ini kerana kasih sayang membentuk keyakinan diri dan jatidiri seseorang itu dengan kaedah yang halus. Apabila seseorang itu mendapat kasih sayang, dia akan cuba untuk mendapatkan lagi kasih saying kerana ia merupakan suatu yang ditagih. Apabila mendapat bekalan kasih sayang mengikut acuan dan sukatan yang ditagih, keyakinan diri menebal dan membuatkan dia ‘khayal’ seketika. Ketika ‘khayal’ inilah perkara yang sebelum ini dia tidak mampu lakukan, bakal menjadi kejutan buat yang mengenali.

Kasih sayang mampu menjatuhkan manusia. Apabila kasih sayang itu tiada lagi di dunianya, ia bakal mengundang seribu satu kedurjanaan. Benda yang ditagih tidak mampu lagi untuk dibekalkan, mulalah timbul segala macam paranoia dan kesugulan. Keyakinan diri menurun secara drastic. Produktiviti merudum bagaikan tiada dasarnya. Mulalah ternampak kehodohan manusia itu pada dunia. Kadangkala mampu membawa kepada gila.

Suburkanlah kasih sayang sesama kita. Agar dengannya kita mampu untuk membina sebuah dunia yang disinari dengan cahaya dan kegembiraan. Tiada lagi persengketaan, tiada lagi khianat, tiada lagi hasad. Yang ada hanyalah bibit-bibit kemurnian yang berlegar di antara kita. Bajailah ia dengan kesucian agama berlandaskan sumber yang sah. Janganlah anggap ia sebagai suatu yang boleh diperlekehkan. Kerana tanpanya, kita mungkin tidak menggapai cita-cita.

Peperangan di hadapanku

Salam...

Esok akan mula bertempur di medan peperiksaan bagi posting paediatric. Harapnya semua berjalan lancar. Moga aku cemerlang dalam peperiksaan kali ini.

Mohon doa kalian semua. Jangan sampai aku tumpas sebelum mengangkat senjata. :)

Exam Syndrome

Salam...

Kalau kita bukak segala khazanah buku yang ada di alam semesta ni, kita takkan sekali-kali dapat berjumpa dengan tulisan bertajuk 'Exam Syndrome'. Mengapa? Kenapa? Apakah? Rata-rata yang menulis buku-buku serta artikel-artikel ilmiah merupakan antara mereka yang pernah melalui proses atau mengalami sindrom tersebut. Ia tidak dapat digambarkan dengan kata-kata bagaimana kroniknya sindrom tersebut dan tidak kurang juga yang merasa gentar dan takut untuk mendedahkan kepada umum bagaimana tanda-tanda dan gejala sindrom itu. Namun, aku rasa bertanggungjawab untuk mendedahkan kepada semua. Ini kerana aku tak mahu korang jadi macam kawan-kawan aku yang tengah mengalami sindrom membunuh masa depan ini.

Antara perkara yang boleh membawa kita kepada diagnosis ini ialah, perlunya ada peperiksaan dalam masa seminggu dua sebelum gejala-gejala melanda. Tipikal.

Jika difikirkan logik akal, kalau dah dekat dengan peperiksaan, manusia akan sibuk mengulangkaji pelajaran, menelaah dan meratah setiap muka surat buku tersebut. Kadang-kadang muka pun dah jadi buku.


Tapi jika seseorang itu terkena sindrom peperiksaan, dia akan banyak menghabiskan masa dengan melakukan ini:


Ya, bermain game. Terutamanya kalau yang ada PSP dan ada game PES dalam tu. Memang menyangalkan. Sampai tak tidur malam kadangkala cuba memenangkan liga.

Gejala kedua, selain daripada bermain game, dia juga banyak buat aktiviti ini:




Ya, layan citer series seperti 'Supernatural' dan seumpamanya. Mungkin bagi pesakit wanita mereka lebih suka cerita Jepun dan Korea, sehingga menangis menitiskan 'cendol' ke atas lantai.

Selain dari itu, pesakit juga mungkin berpura-pura seperti banyak berfikir dan berada dalam posisi ini:


Ya, tidur sebenarnya.

Ini adalah antara triad bagi sindrom peperiksaan ini. Gejala-gejala lain mungkin ada pada pesakit yang berlainan tapi agak jarang untuk kita jumpa.

Bagi mereka yang tidak menghidapi sindrom ini, mereka akan banyak menggunakan masa untuk membaca buku dan mengulangkaji pelajaran kerana mereka tahu mereka perlukan ilmu untuk menjawab peperiksaan.

Namun nasihatku janganlah kita lupa akan siapa yang memberikan kita markah lulus atau gagal sebenarnya. Ya, Allah la yang bagi kita semua tu. Oleh itu hendaklah kita jadi seperti ini:

Ya, banyakkan berdoa dan bertawakkal kepada Allah. Moga kita semua diberkati olehNya.

Bila Nur Melimpah Di Hati




Sedap lagu ni. Teringat zaman kecik2 dulu. Memang follow abes ah Nadamurni. Hehe. Lagu2 die mmg banyak yang menginsafkan sambil menghibur hati. Sekarang dah ada banyak remix lagu2 lama camni. Bes gak. Bukan lagu yang aku nak ketengahkan, tapi mesej dalam lagu tu. Layan la tgk :)