Semangkuk Bijirin

Ingin berkongsi ilmu, pengalaman dan pendapat...

Tahun Baru = Ujian Baru

Bismillahi wal hamdulillah

Syukur kerana masih lagi bernyawa atas muka bumi ini. Syukur kerana masih lagi thabit atas jalanNya yang suci. Syukur kerana masih berkesempatan mencoret kata-kata dalam mangkuk yang tak seberapa ini. Harapnya mangkuk ini telah, masih dan senantiasa akan diisi dengan 'bijirin' yang dapat membantu memberikan 'khasiat' dalam meneruskan kehidupan sehari-hari di dunia menuju ke akhirat sana. Semuanya dipanjatkan kesyukuran padaNya.

Tahun baru Hijrah telah menjelang, namun kehangatan muqaddimahnya masih lagi terasa. Ditambah dengan kedatangan tahun baru 'syamsiah', bakal memberikan warna yang lebih pelbagai untuk beberapa hari ini. Ironinya jarak antara tahun baru Hijrah dan tahun baru 'syamsiah' yang agak dekat, bakal menampakkan yang mana yang lebih menjadi sambutan dan kebanggaan umat kini. Tahun Hijrah atau Tahun Masihi. Bukanlah menjadi suatu pertikaian atau isu yang besar sehingga menggugat aqidah, namun ia mencerminkan siapa dan apa kita sebenarnya. Semuanya terpulang kepada hati dan iman masing-masing.

Penghujung dan permulaan tahun baru ini membuatkan aku berfikir panjang. Apakah sebenarnya 'tema' hidupku pada sepanjang tahun ini? Ada yang memulakan tahun baru dengan meletakkan azam dan 'target' yang hendak dicapai dalam tahun tersebut. Ada juga yang tidak ambil kisah, tahun baru atau tidak, semuanya sama. Namun kadangkala (selalunya) perancangan kita itu tidak selari dengan perancangan Ilahi. Kita mungkin mendambakan tahun yang bahagia dan gembira, tetapi Allah lebih mengetahui dan Maha Berkuasa. Sebaliknya mungkin berlaku. Kita mungkin mengharapkan tahun yang sederhana. Namun Allah lebih mengetahui dan Maha Berkuasa. Kita mungkin diuji dengan kesenangan dunia. Allah berhak ke atas hidup kita, kerana Dialah Rabb.

Aku merasakan 'tema' hidupku tahun ini banyak berkisar tentang sedih dan duka. Banyak ujian yang Allah sampaikan kepadaku. Mungkin kerana kelalaianku, dan mungkin juga sebagai peringatan untuk tidak leka dan alpa. Aku kira ujianNya pada tahun ini lebih mencabar dan lebih berat dari tahun-tahun sebelumnya. Kadangkala bingung memikirkan sebab mengapa diuji sedemikian rupa. Namun, setiap kali bingung pasti datang yang menenangkan. Seringkali diingatkan tentang ujian yang pasti ditimpakan ke atas mukmin, bagi menguji keimanan. Namun ia tidak terhenti di situ. Bingung pula memikirkan apakah aku layak digelar mukmin hakiki? Apakah aku dipandang oleh Allah sebagai seorang mukmin, atau sekadar insan biasa yang bagaikan debu-debu di padang pasir.

Kemudian diingatkan pula akan ujian yang ditimpakanNya adalah berkadaran dengan kudrat hambaNya. Sekali lagi bingung. Terasa sangat berat dan tak terdaya ingin memikul bebanan yang terlampau ini. Sehinggakan kadangkala tersungkur ke dalam lumuran putus asa dan prasangka buruk. Berdosa aku padaMu Ya Allah.

Terus diingatkan pula dengan kedatangan kesenangan selepas kesusahan. Bingung melanda lagi. Terasa terlampau lama tempoh waktu kesusahan ini. Seolah-olahnya takkan muncul mentari kesenangan yang dijanjikan. Aku terus berada dalam kegelapan.

Memulakan tahun ini dengan pemergian dua insan tersayang, mengkahiri dengan berita pemergian ayahanda sahabat yang kuhormati. Di tengah-tengahnya terisi dengan seribu satu kekecewaan dan kedukaan. Tak dinafikan ada kegembiraan yang mengiringi. Namun kesannya kurang dan lemah. Lebih tertumpu dan terfokus pada yang sebaliknya.

Semua itu mengajar aku untuk menjadi seorang yang lebih cekal dan tabah. Mengajar aku untuk menjadi lebih bijak dalam menguruskan hal kehidupanku. Mengajar aku untuk lebih menyayangi insan sekelilingku. Mengajar aku untuk lebih empati dan prihatin dengan hal saudaraku. Mengajar aku untuk lebih bertanggungjawab dengan amanahku. Mengajar aku untuk lebih setia dengan Yang Satu.

Aku doakan agar tahun baru ini memberikan sinar harapan dan kebahagian kepadaku. Aku masih terus mahu diuji agar tidak leka dan alpa. Namun doaku agar diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menongkah arus yang pastinya datang bertalu-talu. Moga dikurniakan ketenangan dan kedamaian dalam pangkuan rahmat dan kasih sayang Tuhan timur dan barat.

Selamat tinggal tahun dukacita.


Nur


Ramai yang ingin mencari cahaya
Tanpa disedari cahaya berada di sekeliling mereka
Hanya perlu menyerap sebanyak mungkin
Moga thabit dalam pencarian
Saru hari nanti pasti akan ketemu 'punca' segala cahaya

Langkawi

Salam 'alaikum...

Baru balik dari bercuti bersama keluarga ke Langkawi. Alhamdulillah semua lancar. Ni antara gambar2 yang diambil. Sekadar perkongsian...


Baru sampai di terminal feri Langkawi


ni plak tengah menunggu nak naik kereta kabel

ni sudah semestinya dalam kereta kabel

siapakah jejaka kacak di ketinggian 700m ini?ahaha

tempat sama seperti di atas

ni kat waterfall telaga tujuh...x sejuk sangat air die..cam robin hood x?

3 jejaka x laku...kah3

Kalau berkesempatan pi la Langkwi. Bes gak. especially kalau x guna duit sendiri. keh3.

Tukang Cerita Tukang Karut

Bismillahi wal hamdulillah

Setiap insan diciptakan Allah berbeza setiap satu dari yang lainnya. Tidak kira dari segi fizikal mahupun personaliti, setiap satu yang diciptakan mempunyai keunikannya yang tersendiri. Keunikan yang tersendiri inilah yang membentuk setiap insan itu menjadi apa yang dinilai oleh manusia di sekelilingnya. Ada yang mampu untuk melakukan aktiviti atau perkara yang tidak mampu dilakukan oleh yang lain kerana kemampuannya untuk memanipulasi dan mengoptimumkan setiap inci tubuh badannya bagi. Ada yang mampu untuk mencipta benda baru bagi memudahkan kehidupan manusia kerana kemampuan mereka untuk memahami ilmu yang pelbagai dan mengaplikasikannya bagi menghasilkan sesuatu yang bermanfaat. Ada yang mampu untuk berhujah dan berpidato kerana kemampuan mereka untuk mengasimilasikan pelbagai fakta dan melontarkannya dalam bentuk hujah atau cerita. Terdapat pelbagai keunikan dan keistimewaan insan yang dapat kita lihat pada hari ini, dan semua itu kita yakin hanya akan berlaku dengan keizinan Allah s.w.t.

Bagi seorang pelajar perubatan yang sedang menjalani tahun praktikal atau amali, kemampuan dan kebolehan untuk bercerita merupakan antara komponen yang amat penting dalam memastikan kelancaran perjalanan pembelajarannya. Seorang pelajar praktikal perubatan adalah diharapkan untuk mempunyai kebolehan yang baik dalam penyampaian atau pembentangan. Ini kerana dia perlu mendapatkan maklumat peribadi dan kesihatan pesakit dan kemudiannya menceritakan atau membentangkannya di hadapan doktor pakar dan pelajar yang lain. Apabila menceritakan perihal riwayat pesakit yang panjang lebar, dia perlu pandai meyusun dan menjadikan perihal riwayat tersebut semenarik mungkin agar tidak membosankan dan yang paling tidak diingini, menjadikan pendengar bingung akan diagnosis penyakit yang ingin dibuat.

Kalau kita lihat kepada sebuah cerita, di permulaan cerita tersebut semestinya ada pengenalan kepada watak utama cerita tersebut. Adakah seorang ibu, anak ataupun seekor arnab yang bakal menjadi pemegang watak utama. Begitu juga dengan perihal riwayat pesakit. Perlu untuk memperkenal siapa diri pesakit terlebih dahulu sebelum menceritakan tentang yang lainnya.

Kemudian di permulaan cerita juga diperkenalkan tentang tema cerita itu. Ia cerita tentang apa? Seekor semut? Sebuah pelayaran? Atau tentang seorang ibu yang sayangkan anaknya? Begitu juga dengan perihal riwayat pesakit. Ianya berkisar tentang mengapa pesakit itu datang ke hospital sehinggakan perlu dimasukkan ke dalam wad. Selalunya adalah disebabkan oleh rasa sakit dan mungkin juga sebab yang lain. Kadangkala pesakit akan memberikan sebab yang pelbagai mengapa dia datang ke hospital, namun seorang pelajar perubatan haruslah pandai dalam menentukan apakah sebab paling utama atas kedatangan pesakit itu.

Dalam setiap cerita pasti ada watak-watak sampingan yang berkaitan bagi menambah seri cerita itu. Ada cerita yang mempunyai ramai watak tambahan, ada juga yang cukup dengan beberapa watak sokongan, tanpa memberi kesan negatif kepada jalan cerita dan watak utama cerita tersebut. Begitu juga dengan perihal riwayat pesakit. Kita perlu bertanya dengan lebih dalam tentang simptom-simptom berkaitan dengan penyakit yang dialami oleh pesakit. Kadangkala 'watak sampingan' ini memberikan klu yang sangat jelas dalam membentuk diagnosis. Seringkali pelajar perubatan terlupa akan 'watak sampingan' ini kerana ada penyakit mempunyai sebab yang pelbagai. Lantas pembacaan yang mendalam perlu dilakukan oleh pelajar perubatan.

Watak utama pasti akan dikelilingi oleh orang yang memberikan kesan yang lebih hebat dan menarik kepada jalan cerita. Orang rapat yang dimaksudkan selalunya ialah ahli keluarga dan rakan-rakan. Dalam mendapatkan perihal riwayat pesakit, pelajar perubatan perlu bertanyakan tentang sejarah keluarga samada wujud penyakit warisan seperti ketumbuhan dan seumpamanya untuk membantu dalam membentuk diagnosis. Namun tidak semestinya sejarah keluarga dapat membantu memberikan diagnosis yang tepat. Sejarah sosial pesakit juga harus diselidiki bagi menentukan faktor-faktor risiko (sekiranya ada) terhadap pesakit. Ini mungkin akan mempengaruhi rawatan yang akan diberikan kepada pesakit.

Cerita yang berkualiti pasti menggunakan 'props' yang cantik dan menarik untuk menawan hati penonton. Sebab itu filem-filem 'box-office' kadangkala memerlukan pelaburan jutaan ringgit untuk membikinnya. Semuanya untuk menjadi tatapan penonton. Begitu juga ketika mendapatkan perihal riwayat pesakit. Pelajar perubatan harus membuat pemeriksaan fizikal terhadap pesakit tersebut untuk mendapatkan data-data sokongan bagi membentuk diagnosis. Pemeriksaan fizikal yang baik selalunya dapat menceritakan dengan lebih jelas tentang penyakit yang dialami oleh pesakit tersebut. Kadangkala pelajar perubatan nampak kekok ketika melakukan pemeriksaan fizikal. Haruslah selalu mempraktikkan agar senang dan lancar melakukannya ketika peperiksaan dan masa hadapan. Inilah satu-satunya bahagian di mana praktis lebih utama daripada pembacaan. Sekadar mempunyai teori di kepala takkan membantu ketika amali kelak.

Setiap cerita pasti mempunyai klimaks atau kemuncak kepada jalan cerita tersebut. Kalau cerita itu tidak ada kemuncaknya, maka ia bukanlah cerita yang bagus. Patut dibuang saja ke dalam tong sampah. Dalam perihal riwayat pesakit, kemuncaknya ialah diagnosis yang dibuat berdasarkan kepada semua yang diselidiki sebelum ini. Diagnosis dibuat berdasarkan kepada sejarah dan pemeriksaan fizikal. Selalunya bagi menyokonga diagnosis yang dibuat, penyiasatan tambahan perlu dilakukan seperti ujian darah dan seumpanya, bergantug kepada penyakit yang dihidapi.

Semua ini harus dibentangkan atau diceritakan oleh seorang pelajar perubatan kepada doktor pakar. Lantas keboleh untuk bercerita dan menyampaikan dengan baik adalah sangat perlu kepada pelajar perubatan. Namun kadangkala ketika cemas dan stress pelajar perubatan yang mempunyai kebolehan ini pun mampu untuk kandas dan tidak dapat menyampaikan dengan baik. Ini biasa kerana pelajar perubatan pun manusia biasa. Manusia tidakkan sunyi dari kesilapan. Ini suatu yang pasti. Namun seharusnya pelajar perubatan itu selalu mempraktis menyampaikan agar ianya menjadi suatu yang biasa dan insyaAllah dapat membantu ketika stress, terutamanya ketika peperiksaan.

Aku berdoa kepada Allah agar golongan yang berkenaan di atas dibantu dan dipermudah oleh Allah dalam pekerjaan seharian mereka. Terutamanya buat diriku dan juga rakan-rakan yang bakal menghadapi peperiksaan minggu depan. Aku doakan agar semuanya berjaya menjadi seorang pencerita yang baik. Moga sukses selalu.

Dr. Danial di Halaqah


Salam. Geologi dalam al-Quran - Bumi dicipta dahulu atau langit? - Bumi sakit DLL.....
Insya-Allah Dr Danial akan membincangkan isu-isu ini dalam HALAQAH TV9, Ahad, 20 Disember 2009 ini, jam 9.30 malam.
TAJUK: BUMI

Niat Baik Niat Buruk

Bismillahi wal hamdulillah

Ibn 'Abbas r.a berkata, "Rasulullah s.a.w meriwayatkan bahawa Allah s.w.t berfirman, maksudnya;

Sesungguhnya Allah mencatatkan selutuh kebaikan dan keburukan. Kemudian Allah menjelaskan, " Barangsiapa yang memiliki keinginan untuk melakukan kebaikan, tapi ia tidak sempat melakukannya, maka Allah mencatatkan satu kebaikan yang utuh untuknya. Jika ia benar-benar melakukannya maka Allah mencatatkan untuknya sepuluh kebaikan (pahala) hingga 700 kali ganda, bahkan lebih baik. Jika ia memiliki keinginan melakukan perbuatan yang keji, tapi ia tidak sempat melakukannya, Allah mencatat satu kebaikan yang utuh untuknya. Jika ia memiliki keinginan untuk melakukan perbuatan keji dan ia benar-benar melakukannya, Allah mencatat untuknya satu kekejian (dosa)"

Hadith riwayat Bukhari

Betapa Allah itu Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Allah s.w.t telah memberikan peluang yang sangat mudah kepada hamba-hambaNya untuk memperoleh kebaikan di dunia bagi dijadikan bekalan di akhirat sana. Ganjaran yang dapat dijadikan bukti akan ketaatan dan ketundukan kita terhadap Rabb yang menguasai dan memiliki segala-galanya, namun ramai di kalangan manusia tidak mengerti dan buta akan kasih sayang Ilahi ini. Mereka terlampau dikaburi dengan keseronokan dan kealpaan dunia yang sementara sehinggakan mereka sanggup memperjudi nasib mereka ketika berhadapan dengan timbangan amalan kelak.

Kalau diikutkan hadith Qudsi di atas, betapa senang manusia untuk masuk ke syurga. Namun hakikatnya ramai yang ke neraka, wal'iyazubillah, dek kerana tidak mempunyai kesedaran yang jelas. Siapakah manusia itu? Aku, kau dan mereka. Kitalah calon-calon yang bakal dihadapkan dengan keadaan yang menggugat kesedaran dan keimanan sehinggakan kita memilih jalan untuk ke neraka.

Ya, kita sering terbabas. Bukan sebarang terbabas, terbabas yang jauh menyimpang dari jalan Ilahi. Namun, selagi roh masih di jasad, masih terbuka pintu taubat insyaAllah. Aku mohon perlindungan untuk diriku dan juga kamu dengan Tuhan Yang Maha Berkuasa daripada syaitan dan nafsu yang durjana. Moga kita berterusan di atas jalan ini, jalan sehala, menuju syurga, kekal selamanya. Amin ya robbal 'alamin.

Layang-layang

Orang kata hidup bagaikan layang-layang,
Megah berterbangan di persada dunia,
Menerjah awan mencapai angkasa raya,
Semakin tinggi semakin bernilai harganya.

Orang kata hidup bagaikan layang-layang,
Kadangkala perlu ditarik,
Kadangkala perlu dilepaskan,
Bergantung kepada angin dunia.

Aku katakan hidup tak semudah layang-layang,
Dilepas sedikit tinggi layangnya,
Ditarik terlebih bakal putus talinya,
Bergantung kepada peribadi pemainnya.

Aku katakan hidup tak semudah layang-layang,
Kerna tak selalu angin kan ada,
Kerna tak selalu anginnya manja,
Bergantung kepada takdir Tuhannya.

Aku katakan hidup tak semudah layang-layang,
Badai dan taufan sukar diduga,
Kiri kanan atas dan bawah menjadi halanya,
Bakal memeningkan jarum kompasnya.