Semangkuk Bijirin

Ingin berkongsi ilmu, pengalaman dan pendapat...

Khusyuk betul...

Bismillahi wal hamdulillah

"Miqdad...."

"Miqdad...."

"Hah? Yes doctor. Sorry, didn't hear you."

"I think it's enough for you today. You can go home. See you on Friday."

"Oh, yes. Thank you doctor. See you on Friday."

Khusyuk sungguh aku membaca buku. Setiap kali takde pesakit di klinik, samada aku gunakan masa itu untuk bersembang dengan doktor atau aku ambil peluang untuk baca buku. Tapi tak pernah aku bayangkan yang aku boleh khusyuk membaca sehinggakan tak dengar orang panggil. Lazat sangat ke buku aku baca tu?

Buku yang baik dan bagus ialah buku yang dapat membuat kita berfikir. Buku yang hanya sekadar menyuap kita dengan fakta-fakta bukanlah nak dikatakan sebagai tidak bagus, tetapi sedikit kering dan beku. Untuk menolak semua buku yang hanya menyuap dengan fakta semata-mata adalah perbuatan yang tidak betul. Cumanya buku itu akan akan jadi menarik dan berharga sekiranya sekiranya disisipkan isi-isi yang boleh mengajak pembaca untuk berfikir dan menilai kebenaran hujah yang diutarakan.

Islam mengajak umatnya
untuk berfikir tentang tentang pelbagai perkara. Sebagai contoh dalam surah Al-Imran ayat 190-191, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud, Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. (Yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Robb kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka”.

Allah tidak pernah menyuruh umatnya untuk sentiasa menerima bulat-bulat setiap perkara berkenaan dengan kehidupan di dunia. Selain daripada perkara yang qat'i ataupun perkara yang telah ditetapkan, seperti aqidah dan ibadah wajib, Allah menyuruh setiap dari hambaNya untuk sentiasa berfikir dan tergolong dalam golongan mereka yang berakal atau ulil albab dalam bahasa arabnya. Oleh sebab itu, sentiasalah menggunakan akal yang diberikan untuk berfikir perkara yang dapat memberikan manfaat kepada diri kerana ramai manusia yang menyalahgunakan akal ini untuk melakukan tipu daya. Mereka tidak fikir bahawa satu hari nanti mereka akan dipertanggungjawab atas segala perilaku mereka semasa hidup.

Jadi buku-buku macam ni yang kita kena banyak baca. Selain dari dapat segala fakta, kita juga dapat memberikan hak kepada akal kita untuk berfikir. Kita juga dapat mengasah pemikiran kita supaya dapat berfikir dengan lebih tajam dan kritikal.

Buku yang aku baca tadi memang mengajak untuk berfikir. Fikir tentang matlamat dan apa yang ingin kita capai pada masa depan. Fikir tentang persediaan untuk menghadapi hari yang mendatang. Fikir tentang amalan yang menjadi bekal ketika disoal kelak.

KLIBF dah xde... :)

Bismillahi wal hamdulillah

KLIBF baru melabuhkan tirainya untuk tahun ini. Syukur sangat dapat berkunjung lagi tahun ni. Setiap tahun memang tak pernah 'miss' lagi. Rasa seronok sangat tengok buku yang berlambakan kat situ. Sama banyak dengan jumlah manusia yang berkunjung juga kot. Tambah-tambah hari-hari terakhir, memang macam semut kalau tengok dari atas. Nak berjalan pun sangkut-sangkut.

Tapi semua tu terubat bila dapat beli apa yang kita nak. Alhamdulillah apa yang aku nak aku jumpa dan aku beli. Sekarang dah ada bahan bacaan baru yang sangat menarik untuk dibaca dan dihayati. Tak pernah jemu membaca.

Pelik juga bila fikir aku suka membaca. Padahal cukup susah sangat-sangat nak membaca waktu sekolah dulu. Buku apa pun tak suka. Komik pun aku tak baca. Tapi sejak 2-3 tahun ni semangat nak membaca sangat tinggi, terutamanya buku motivasi, agama dan psikologi. Eh, mana buku perubatan? Ehehehe. Yela, yela. Buku perubatan gak, nombor 4 la tapi.

Kadang-kadang kita tengok tajuk buku tu macam tak bape nak masuk ngan jiwa kita, tapi isinya sangat berharga. Sebab tu bila aku nak beli buku, aku tengok siapa pengarangnya. Kalau kita dah biasa dengan penulisan penulis tertentu, kita akan tahu apa yang cuba dikupas berdasarkan kepada tajuk buku. Tapi kalau tak biasa, mungkin tajuk buku tu menyebabkan kita skeptik sedikit untuk mula membaca. Sebab tu kena banyak membaca, baru la luas pengalaman. Aku dah jumpa beberapa penulis yang aku suka cara die menulis dan apa yang dia tulis. Sebab tu aku akan cuba dapatkan setiap buku yang mereka tulis.

Alhamdulillah, masa di KLIBF hari tu, sempat bertemu dengan seorang tokoh yang makin naik namanya di persada dakwah. Sempat mendapatkan otograf dan bergambar :)



Apa-apa pun, membaca dan mendalami ilmu ni adalah suatu tuntutan agama. Seharusnya sebagai seorang muslim kita melaksanakan tuntutan ini dengan sepenuh hati. Tak semestinya kita kena membaca buku yang mengandungi ayat Quran atau pun hadith, kita boleh baca apa saja buku yang dapat memberikan kita ilmu yang bermanfaat kerana ilmu yang memberikan manfaat itu juga merupakan ilmu Allah. Oleh sebab itu, tuntutlah ilmu selagi mampu sebanyak mungkin.

Berkawan

Bismillahi wal hamdulillah

Sudah hampir 3 minggu berelektif posting di kampung halaman. Syukur semuanya berjalan dengan lancar. Walapun posting kali ini tidak serancak dan seseronok sesetengah dari sahabat-sahabat yang lain, aku tetap bersyukur atas peluang yang diberikan ini. Moga ianya memberikan manfaat yang terbaik buat bekalan di hari mendatang, inshaAllah.

Tidak ramai dari kalangan sahabat se'batch'ku yang tinggal di Pulau Pinang. Hanya dua orang. Itu pun tak pernah bersua lagi setakat 3 minggu ni. Mereka berelektif di tempat berbeza. Terasa juga kesunyian, sebabnya kalau di kolej pasti sudah riuh rendah tatkala menjelang petang. Ada sahaja yang dibuat untuk menghilangkan lelah di minda. Aku rindukan mereka.

Sahabat, kawan, teman, semuanya membawa maksud yang hampir sama tapi kadangkala tak serupa. Bahkan ia boleh dikatakan sebagai suatu elemen kehidupan yang penting. Salah satu daripada fitrah diri manusia itu adalah bersosial. Dalam erti kata yang lainnya, ia membawa maksud berkawan. Institusi keluarga semata-mata tidak mampu untuk mencorak dan mencambahkan personaliti dan kematangan seseorang itu. Bahkan selalunya, ia hanya menyempitkan pemikiran orang tersebut.

Bukankan Allah menjadikan kita bersuku-suku dan berpuak-puak untuk kita saling mengenal antara satu sama lain? Lantas, berkawan atau bersosial juga menjadi salah satu tuntutan agama yang dicintai, jika kena caranya.

Namun harus diingatkan batas-batas dalam bersosial itu. Semestinya ia tidak boleh melanggar kata-kata Sang Pencipta. Hendak berkawan tidak ada larangan, tetapi harus tahu siapa yang harus dan siapa yang boleh dijadikan sahabat. Aku tidak mahu memberikan ciri-ciri kawan tersebut, cuma ingin memetik kata-kata beberapa tokoh agama yang kita hormati lagi sanjungi dalam membantu menyampaikan mesej sebenar tulisan ini.

Al-Imam As-Syafi'i mengatakan:

Aku menyukai orang-orang saleh,
Sekalipun aku bukan termasuk mereka,
Kerana barangkali aku mendapat syafa't,
Berkat bergaul dengan mereka,

Dan aku benci terhadap orang
yang bisnesnya adalah kedurhakaan,
Sekalipun kita memiliki sarana jualan yang sama.


Ibnul Mubarak mengatakan:

Apabila kamu berteman
bertemanlah dengan orang yang mulia,
mempunyai kehormatan, rasa malu
dan kedermawanan,

Perkataannya terhadap sesuatu
ialah 'tidak' jika kamu katakan tidak,
dan jika kamu mengatakan 'ya'
maka dia juga mengatakan 'ya'.

Ali Bin Abu Talib mengatakan, "Berbekallah kamu dari teman-teman yang saleh, kerana sesungguhnya mereka adalah perbendaharaan simpanan, baik di dunia mahupun di akhirat".


Apa Akan Anda Lakukan?


Bismillahi wal hamdulillah

Di sebuah kampung yang aman, tinggal sebuah keluarga yang baik dan berakhlak mulia. Keluarga ini terdiri dari ayah, ibu dan 5 orang anak. Mereka bukanlah sebuah keluarga yang kaya mahupun fakir. Rezeki mereka cukup untuk menampung keperluan asas mereka seharian. Tidak pernah lagi mereka hidup tanpa makanan ataupun dalam keadaan kebuluran. Mereka amat bersyukur dengan kehidupan dan kedamaian yang telah Allah kurniakan kepada mereka.

Kehidupan mereka setiap hari dari pagi hingga ke petang adalah sama hampir setiap hari. Setiap pagi ayah dan 2 orang anak lelakinya akan mengusahakan tanah di hadapan rumah mereka dengan menanam sayur-sayuran. Ibu dan seorang anak perempuannya akan ke pasar untuk menjual segala hasil tanaman yang mereka miliki dan seorang anak perempuan lagi akan tinggal di rumah untuk menguruskan hal berkaitan dengan rumah seperti memasak, mengemas rumah dan seumpamanya.

Kehadiran keluarga ini dalam kampung tersebut amat disenangi oleh masyarakat sekitar akibat daripada sikap dan akhlak ahli keluarga tersebut yang baik dan tidak pernah menimbulkan kacau-bilau di dalam kampung tersebut. Bahkan, orang kampung juga suka untuk berjual-beli dengan keluarga terbabit kerana kejujuran dan ketelusan ketika berjual-beli. Setiap kali majlis keramaian diadakan di kampung tersebut, mereka pasti akan dijemput untuk hadir bersama.

Tetapi, dalam keadaan aman dan tenteram itu, ada sebuah keluarga yang lain yang sudah lama mencemburui dan menyimpan hasad terhadap keluarga ini. Mereka sering menuduh keluarga baik ini sebagai pencuri dan keluarga pembawa sial. Mereka memfitnah keluarga baik ini merampas tanah milik keluarga mereka dan tinggal serta bercucuk tanam di atasnya.

Keluarga jahat ini merupakan keluarga yang kaya-raya. Mereka mempunyai pengaruh yang besar di kalangan orang kampung. Mereka juga selalu memberikan sumbangan sekiranya ada majlis keramaian di kampung tersebut. Mereka mengawal hal-ehwal kampung tersebut. Kalau ada yang mengalami kecelakaan, mereka akan membantu. Kalau ada yang hampir muflis, mereka juga sanggup membantu. Mereka dianggap sebagai penyelamat bagi sebahagian penduduk kampung itu.

Pada suatu hari, keluarga jahat ini berhajat untuk mengambil semula tanah yang dikatakan dirampas oleh keluarga baik ini. Keluarga jahat ini memberitahu niat yang terbungkam di hati setelah sekian lama ini kepada ketua kampung. Pada mulanya ketua kampung berasa berat hati untuk membenarkan perkara ini berlaku, namun setelah diugut dan dirasuah secara halus, ketua kampung merelakan niat ini diteruskan.

Pada keesokan harinya, keluarga jahat ini dan konco-konconya secara beramai-ramai bergerak ke tanah milik keluarga baik tersebut. Keluarga baik terkejut melihat begitu ramai orang datang mengelilingi rumah mereka. Mereka berasa takut dan terancam. Keluarga jahat menyuruh keluarga baik keluar dan mengosongkan rumah mereka kerana keluarga jahat ingin mengambil tanah tersebut. Keluarga baik enggan mengosongkan rumah mereka kerana mereka tahu tanah itu adalah hak mereka sejak dari turun-temurun. Keluarga baik merayu kepada ketua kampung untuk membantu mereka, namun tidak diendahkan.

Konco-konco keluarga jahat mula merosakkan tanaman keluarga baik dari pinggiran pagar dan ini menyebabkan ayah keluarga baik marah. Ayah dan ibu keluarga baik keluar untuk mempertahan hak mereka. Mereka dipukul dan dipijak oleh konco-konco keluarga jahat. Bukan setakat itu, ibu keluarga baik dirogol beramai-ramai.

Hal ini disaksikan oleh anak-anak keluarga baik. Mereka berasa sedih dan geram. Mereka berdoa kepada Allah agar memberikan mereka kekuatan untuk berjuang mempertahan hak mereka.

Keluarga jahat memanggil anak-anak keluarga baik untuk keluar dan mengosongkan rumah mereka. Anak-anak keluarga baik enggan dan menyatakan pendirian mereka untuk tidak menyerahkan tanah itu kepada keluarga jahat. Mereka berkubu di dalam rumah tersebut.

Hari demi hari, minggu demi minggu, bulan demi bulan telah berlalu. Keluarga jahat dan konco-konconya telah mula membina penempatan di sekeliling tanah tersebut, mengelilingi rumah keluarga baik. Bekalan makanan dan minuman keluarga baik hampir kehabisan. Anak sulung keluarga baik memberikan cadangan agar mereka mula merancang strategi untuk mengalahkan keluarga baik dan konco-konconya. Mereka cuba meminta pertolongan penduduk kampung yang lalu lalang di jalan hadapan rumah mereka, namun semuanya enggan kerana takutkan keluarga jahat dan konco-konconya. Mereka cuba pula meminta pertolongan penduduk kampung sebelah, namun mereka telah disogok oleh keluarga jahat untuk tidak membantu keluarga baik.

Kemudian anak bongsu menyatakan kesediaannya untuk keluar dari kubu dan cuba untuk membunuh seramai mungkin konco-konco keluarga sebagai tanda yang mereka masih belum mahu mennyerah kalah. Pada mulanya cadangan ini tidak dipersetujui. Namun apabila memikirkan tidak ada jalan lain yang boleh dilakukan, cadangan ini diterima untuk dilaksanakan. Pada malam sebelum operasi itu, anak-anak keluarga baik ini bermunajat dan berdoa kepada Allah agar membantu mereka.

Pada keesokan paginya, anak bongsu keluar dari rumah dan terus meluru ke pos pondok kawalan konco-konco keluarga jahat sambil menghunuskan pisau ke arah konco-konco terbabit. Dia berjaya membunuh 5 orang konco-konco sebelum dia sendiri terbunuh. Anak-anak keluarga baik berasa sedih dengan pemergian adik bongsu mereka, namun mereka tahu kematiannya bukan suatu yang sia-sia.

Hal ini memberi impak yang mengejutkan kepada keluarga jahat dan konco-konconya. Mereka berasa sedikit terpukul dengan apa yang telah terjadi. Mereka sedar anak-anak keluarga baik bukan calang-calang orangnya. Lantas, mereka membina strategi yang lebih dahsyat untuk mengusir anak-anak keluarga baik itu. Di samping itu mereka juga merancang untuk memutar-belitkan keadaan agar orang ramai melihat keluarga jahat di pihak yang baik, hanya ingin menuntut hak mereka manakala mereka mahu orang ramai melihat keluarga baik sebagai pihak yang jahat, yang merampas harta keluarga jahat. Mereka berjaya dalam putar-belit itu, dan perancangan merekan untuk merampas tanah tersebut semakin hari semakin ganas, sehinggalah ke saat anda membaca ini.
------------------------------------------------

Cerita ini menggambarkan keadaan di Palestin saudara pembacaku. Sungguh sukar sebenarnya untuk menyedarkan masyarakat dunia akan hakikat keadaan di sana. Di Malaysia juga cukup sukar untuk menyedarkan rakyat yang majoritinya mengucap kalimah syahadah yang sama seperti yang diucapkan umat Palestin tentang keadaan ini. Ada yang sudah lali dan dah tak ambil peduli akan hal mereka. Yang lebih menyedihkan, mereka adalah dari kalangan sahabatku sendiri, yang makan semeja, yang main futsal bersama, yang belajar bersama. Aku mengaku kelemahanku dalam berdakwah mungkin menjadi asbab begini, namun apalah yang disusahkan sangat untuk menyedari hakikat ini, menginsafi diri dan menghulurkan bantuan?

Setiap hari kita dilambakkan dengan berita keadaan di Palestin, namun yang lebih kita risaukan ialah biasiswa lambat masuk, makanan tak sedap, nak ambil gambar gadis bermata bulat dan seumpamanya yang menggambarkan kelemahan dan kerendahan iman kita. Ramai juga di kalangan kita yang memperlekeh pihak HAMAS yang sedaya upaya mereka cuba mempertahan kiblat pertama kita. Bagi mereka yang memperlekeh ini, sekurang-kurangnya HAMAS berjuang dan mencuba, tetapi anda umpama debu (x terungkap perkataan terkeji. Debu seringkali digunakan dalam hadith untuk menggambarkan manusia yang tak guna).

Aku tulis ini dalam keadaan sedar akan kelemahan diri. Namun akan cuba diperbaiki. Aku juga mencadangkan begitu kepada sidang pembaca yang dihormati. Di mana sahaja ada kutipan untuk Palestin, hulurkan sebanyak yang mampu. Jangan tunggu sehingga keluarga anda dirosak, dipijak, dihina, difitnah, dirogol, dibunuh baru anda menyedari apa yang dilalui umat Palestin. Mereka tidak perlukan kita untuk berjuang di sana. Mereka hanya perlukan sokongan doa dan semangat. Sokongan semangat ini dimanifestasikan dengan menunjukkan kita sedar dan iktiraf bahawa perjuangan mereka juga merupakan perjuangan kita.

Mak, Ayah dan 3 anak

Bismillahi wal hamdulillah

Beberapa hari lepas sempat pergi ke kompleks membeli belah berdekatan rumah untuk membeli barang keperluan. Begitu banyak memori waktu zaman persekolahan di sana. Di situlah tempat melepak aku dan kawan-kawan. Asal hujung minggu je, mesti ke sana. Dah jadi macam rumah kedua pula. Aku suka keluar dengan kawan-kawan dulu sebab dapat lihat pelbagai kerenah manusia. Dari situ aku mengenali kelakuan manusia. Itu semua dulu, sekarang rasa susah sangat nak melepak tak tentu hala di mana-mana pun. Kalau ada keperluan barulah keluar.

Samalah beberapa hari lepas, ada keperluan yang menuntut untuk keluar ke kompleks membeli belah tersebut. Nak diceritakan ada sebuah keluarga berbangsa 1Malaysia yang menarik perhatianku. Mak, ayah dan 3 orang anak. Tiba-tiba seorang daripada si anak dalam lingkungan 4-5 tahun terjatuh akibat tersadung kaki. Anak tersebut jatuh tersembam, muka dahulu. Dia menangis. Aku kasihan melihat anak itu. Ayahnya bertepuk tangan, emaknya memarahinya dan menyuruhnya diam.

Aku terdiam dan langkahku terhenti buat seketika. "Apa yang dah berlaku?", tanya hatiku. Aku pelik melihat gelagat ayahnya yang bertepuk tangan. Seolah-olahnya ia satu keraian yang perlu diraikan dengan gembira. Geram aku melihatnya. Nasib baik mereka bangsa 1Malaysia, bukan muslim.


Dakwah lagi....

Bismillahi wal hamdulillah

Moga semua berada dalam keadaan sihat sejahtera di bawah naungan rahmat dan kasih Ilahi. Salah satu daripada tuntutan agama ialah amar ma'ruf nahi mungkar. Berkenaan dengan ini Allah telah berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 110 yang bermaksud,

"Kamu merupakan sebaik-baik umat yang telah dikeluarkan Allah untuk umat manusia, kamu melakukan kebaikan (ma'ruf) dan kamu mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah"

Daripada ayat ini kita dapat mengenal pasti bahawa amar ma'ruf nahi mungkar ini bukan sahaja menjadi tuntutan agama, bahkan menjadi kriteria penting bagi umat yang terbaik. Untuk melaksanakan tuntutan ini, tidak ada pilihan lain dalam melaksanakannya melainkan jalan dakwah. Dakwah seperti kita maklumi bertujuan untuk mengajak manusia kembali ke jalan Allah dan bersama-sama menyebarkan dan meluaskan kalimah Allah di muka bumi ini.

Ramai yang berpendapat bahawa untuk melaksanakan dakwah, kita perlu mempunyai kebolehan untuk berpidato dan berdebat dengan hebat. Ini kerana ramai di luar sana yang begitu pintar untuk memutar belitkan agama bagi menjusitifikasikan perbuatan mereka yang salah. Ada benar dan ada silapnya pandangan itu.

Jikalau dilihat kaedah Rasulullah s.a.w berdakwah bukan sahaja baginda menggunakan hujah dan perkataan dalam menundukkan kepetahan dan kemegahan kaum kafir Quraisy, baginda juga menggunakan kaedah contoh teladan dalam menyebarkan Islam pada ketika itu. Ini menunjukkan bahawa tidak semestinya seseorang pendakwah itu 'wajib' untuk mempunyai kepetahan dalam berkata-kata, namun ianya menjadi aset yang amat berguna sekiranya mempunyai kebolehan sebegitu.

Dalam buku siyathul qulub karangan Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni, beliau menceritakan tentang satu kisah seorang ulama' alim dan seorang penjenayah.

Di dalam sebuah kota, terdapat seorang penjenayah yang amat kejam dan ditakuti oleh penduduk di kota tersebut. Dia adalah seorang pengedar dadah dan menjadi buruan polis setelah sekian lama. Namun pihak polis tidak mampu untuk menangkap penjenayah ini akibat kelicikannya yang selalu berjaya meloloskan diri daripada ditangkap pihak polis.

Di dalam kota yang sama, tinggallah seorang yang alim dalam bidang agama. Pada suatu hari, terlintas di fikiran alim ini untuk berdakwah kepada penjenayah terbabit. Alim ini sedar akan hakikat yang hanya Allah yang mampu memberikan hidayah kepada hamba-hambaNya. Lantas sebelum beliau bertemu dengan penjenayah terbabit, beliau bangun pada malam hari untuk menyatakan hajatnya kepada Allah dan berpuasa sunat sehari sebelum pergi bertemu dengan penjenayah terbabit.

Pada pertemuan kali yang pertama, alim tersebut membawa hadiah yang sangat hebat untuk diberikan kepada penjenayah tersebut. Ketika bertemu dengannya, alim tersebut mengucapkan salam dan berkata "Aku menyukaimu kerana Allah, dan kulihat ada tanda-tanda kebaikan pada dirimu". Selepas itu alim itu memberikan hadiah dan berlalu pergi.

Selang beberapa hari alim itu datang semula untuk bertemu dengan penjenayah tersebut. Tujuan pertemuan kali ini adalah untuk menjemput penjenayah tersebut bertandang ke rumah alim untuk dijamu. Alim tersebut berkata, "Aku minta kepada anda dengan nama Allah untuk berkunjung ke rumahku kerana aku menyukaimu". Jemputan itu diterima oleh penjenayah tersebut. Sepanjang dua pertemuan tersebut, alim itu tidak pernah langsung menegur dan bercakap mengenai peribadi dan perbuatan yang dilakukan penjenayah tersebut.

Selang beberapa hari selepas itu, alim itu datang semula menemui penjenayah itu. Alim itu berkata, "Aku mempunyai urusan di kampung sebelah. Aku ingin kamu menemaniku ke sana". Dia bersetuju dan menaiki kenderaan alim tersebut. Dalam perjalanan tersebut, barulah alim itu membuka bicara tentang niat beliau yang sebenarnya. Alim itu berkata, "Aku ingin menghindarkanmu dari neraka dan ingin menuntunmu ke jalan syurga". Berlakulah dialog antara kedua mereka yang akhirnya membawa kepada taubat penjenayah tersebut.

Apakah pengajaran yang boleh kita dapati daripada cerita itu? Dakwah bukanlah bercakap dan berhujah semata-mata. Kadangkala kita perlu bijak dan kreatif dalam menyampaikan dakwah. Ada masa dan ketika bukanlah hujah dan kata-kata yang menjadi penarik kepada agama kita, tetapi perlakuan dan peribadi kita menjadi faktor penting dalam mengajak kepada ma'ruf mencegah kemungkaran. Kadangkala perlu juga untuk berdakwah kepada pendakwah.

Oleh yang demikian, tidak ada lagi 'tidak' kepada dakwah. Anda juga mampu melakukannya.

Menulis Untuk Berkongsi

Bismillahi wal hamdulillah

Lama sangat meninggalkan blog ni, rasanya bukan saja dah menjadi sarang labah-labah, bahkan mungkin tikus juga menumpang teduh. Minta maaf buat para pengunjung laman ini. Mungkin anda mengharapkan input yang boleh dikongsi, namun aku tidak mampu untuk menukilkan sebarang penulisan pun, akibat kelemahan diri ini.

Aku tidak menulis sekadar untuk bersuka-suka dan mengisi masa lapang. Aku menulis kerana aku ingin berkongsi dan menyampaikan. Menulis sekadar mengisi masa lapang bagiku merupakan perbuatan yang sia-sia. Kenapa? Apa masalahnya menulis kerana mengisi masa lapang? Daripada tengok tv lebih baik menulis kalau ada masa lapang. Ya, betul. Jangan salah faham dengan kenyataan itu. Perkataannya mungkin begitu, tapi konotasinya sedikit berlainan.

Menulis sekadar untuk mengisi masa lapang semata-mata aku rasakan tidak begitu cantik dari segi niat dan tujuannya. Bila kita niat macam itu, ia hanya akan menjadi sekadar penulisan, dan tidak lebih dari itu. Kan lebih cantik kalau olah sedikit niat itu kepada "kita menulis pada waktu lapang untuk berkongsi pengetahuan bersama orang lain". Bukan sahaja mengasah bakat penulisan kita, bahkan orang lain boleh mengambil faedah dan pahala pun dapat.

"Ish, tah pape la dia nih. Niat pun nak buat isu ka?"

Haah, niat pun boleh buat isu. Yang membezakan satu perbuatan dengan perbuatan yang lainnya ialah niat. Niat yang menentukan samada perbuatan itu bermanfaat untuk dunia sahaja atau bermanfaat untuk dunia dan akhirat.

Perasaan seronok bila berkongsi ilmu dan pengetahuan merupakan suatu nikmat yang Allah berikan kepada kita. Cukup seronok dan 'best' sebenarnya bila berkongsi. Kalau tak percaya, cuba kongsikan ilmu anda dengan niat yang ikhlas. Anda akan dapat merasai kenikmatan berkongsi.

Sebab terlampau lama x berkongsi mungkin ada kaitan dengan nikmat ini. Terasa seperti ditarik sekejap nikmat ini, dan sekarang sedang cuba untuk mendapatkan kembali. Moga dikembalikan.

'Ala kulli hal, perjuangan mesti diteruskan. Kalau bukan di medan blog, medan lain masih banyak terbuka untuk disertai. InshaAllah esok akan ke Kuala Lumpur menghadiri walimah sahabat. Doakan agar semua berjalan lancar. :)