Semangkuk Bijirin

Ingin berkongsi ilmu, pengalaman dan pendapat...

Temuduga Untuk Biasiswa

Bismillahi wal hamdulillah

Baru lepas baca berita berkenaan cadangan satu parti politik meminta kerajaan membatalkan sesi temuduga untuk calon yang ingin mendapatkan pembiayaan biasiswa JPA. Mereka juga mencadangkan agar semua pelajar yang mendapat A+ bagi kesemua matapelajaran diberikan biasiswa secara automatik. Aku kurang bersetuju dengan cadangan yang diutarakan.

Bila kita bercakap tentang biasiswa yang diberikan oleh kerajaan, ia melibatkan duit rakyat. Seperti yang kita maklumi biasiswa yang diberikan kepada para mahasiswa/i saban tahun bukanlah melibatkan jumlah yang sedikit, bahkan bernilai jutaan ringgit. Bila melibatkan jumlah penggunaan wang berskala besar sebegini, aku rasa kita perlu berhati-hati dan berhemah dalam menguruskannya. Kita bercakap tentang amanah yang diberikan oleh rakyat kepada kerajaan untuk menggunakan wang itu untuk perkara yang sepatutnya.

Untuk meletakkan kriteria pencapaian akademik semata-mata sebagai syarat untuk mendapatkan biasiswa adalah tidak wajar. Ini kerana keputusan peperiksaan tidak menggambarkan secara menyeluruh peribadi dan potensi seseorang itu. Kita telah melihat dan mendengar bagaimana beberapa figura yang mencapai kecemerlangan dalam akademik akhirnya tersungkur di persada kerjaya dan kehidupan dek kerana tidak mampu menghadapi tekanan yang tinggi. Kita ambil Ernest Hemingway sebagai contoh. Beliau merupakan seorang wartawan, penulis dan pemenang anugerah nobel. Beliau merupakan seorang yang cemerlang dalam bidang akademik, tetapi beliau akhirnya membunuh diri pada tahun 1961 akibat tidak tahan dengan tekanan hidup yang makin memuncak.

Ada ramai lagi contoh yang boleh kita sebutkan, contoh dari luar negara mahupun dalam negara, tetapi tidak perlu untuk kita hurai lebih lanjut berkenaan contoh-contoh figura di dalam negara kita. Pokoknya, pencapaian akademik semata-mata tidak patut dijadikan sebagai indikator untuk memberikan biasiswa.

Aku kenal ramai yang bijak, cerdik dan pandai di bidang akademik. Aku juga tahu ada sebilangan di kalangan mereka yang tidak mampu untuk bergaul dengan masyarakat dan hidup dalam dunia mereka sendiri. Kita mengharapkan mereka yang mendapat biasiswa ini cemerlang di bidang mereka masing-masing dan akhirnya akan menjadi pemimpin masyarakat, dan kemuncaknya pemimpin negara.

Sebab itu kekuatan IQ (Intelligence Quotient) sahaja tidak cukup untuk mempersiap seseorang itu untuk berjaya dalam kehidupan. Sebabnya insan tidak terbentuk di atas platform kebijaksanaan semata-mata. Perlu ada unsur-unsur lain seperti emosi dan juga spiritual yang bersama-sama memberikan bentuk dan ciri yang baik kepada seseorang itu.

Sebab itu 30-40 tahun yang lepas mendapati bahawa, kebanyakan mereka yang berjaya lebih dari orang lain tidak bahagia dalam kehidupan mereka. Ini kerana mereka kekurangan dari aspek emosi atau EQ (Emotional Quotient) dan seterusnya mereka rohani atau SQ (Spiritual Quotient).

Temuduga tidak dapat memberikan gambaran yang sepenuhnya berkenaan EQ dan SQ calon. Namun, kita dapat menilai dan mendapatkan gambaran sedikit-sebanyak tentang calon tersebut. Dengan mendalami sedikit ilmu psikologi, kita dapat menilai secara kasar peribadi seseorang itu berdasarkan bahasa badan. Bagaimana calon duduk, salam, bercakap, gerakan tangan dan seumpamanya membantu dalam membuat penilaian. Namun, masih tidak sempurna, dan tak akan ada instrumen yang mampu memberikan keputusan 100%.

Tetapi, cara ini adalah yang terbaik setakat ini yang mampu dilakukan dalam membuat penilaian, di samping keputusan akademik. Manusia mampu mendapat 100% dalam ujian bertulis, tetapi manusia tidak mungkin sempurna dalam aspek hubungan sesama manusia. Namun, kita mahukan yang terbaik semampu mungkin.

Hari Peperiksaan

Bismillahi wal hamdulillah

Agak sibuk beberapa hari ini, ditambah dengan tiada 'mood' untuk menulis, tak sempat nak sambung entri tentang periksa hari tu. Moga segala keluh-kesah, gundah-gelana, tawakkal dan sabar yang dilakukan, bakal memberikan bibit-bibit syurga kelak. Banyak yang bermain di minda ketika ini. Kadangkala terasa seperti mahu keluarkan satu per satu, dan selesaikan secara berasingan. Tetapi kehidupan adalah satu, tidak boleh dipisah-pisahkan. Lantas, perlu untuk menghadapi kesemuanya secara serentak dan berhemah. Entri yang lepas aku bercerita tentang malam sebelum periksa. Kita sambung dari situ.

Memandangkan aku tidak dapat tidur malam itu, aku rasa resah dan gelisah pagi itu. Terasa kepala sudah mula berdenyu-denyut, jantung berterusan berdegup kencang, minda makin bercelaru dan perasaan pagi itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Aku bangun dari katil pada pukul 5.30 pagi. Aku lihat rakan sebilik masih tidur. "Seronoknya kalau dapat tidur", kata hatiku. Aku berjalan ke koridor untuk menenangkan diri dengan melihat langit dan bintang. Memang selalu aku lakukan jika aku gundah. Sedikit sebanyak keresahan terubat bila melihat alam ciptaan Allah. Ditambah dengan sahutan azan subuh yang memecah kesunyian pagi dan bunyi rintikan hujan. Cukup syahdu dan mendamaikan jiwa. Segera aku membersihkan diri. Hendak ke masjid tidak boleh kerana hujan turun agak lebat. Aku tunaikan solat subuh di rumah, ada rakan serumah sempat berjemaah bersama.

Usai solat, aku tadahkan tanganku yang penuh dosa memohon keampunan dan yang terbaik dariNya. Titis air mata berguguran tanpa aku sedari. Untuk menenangkan keresahan yang tak lekang di dada, aku mencapai naskah Quranku, aku meneliti surah Yasin dengan harapan keberkatan kalam Allah mengiringi aku sentiasa. Selesai membaca, aku mengenakan pakaian untuk ke dewan periksa. Sempat aku bertanyakan beberapa soalan kepada rakanku untuk memastikan jawapan aku merupakan jawapan yang betul. Tidak banyak gelak-ketawa pagi itu seperti pagi-pagi sebelumnya. Cuak masih menguasai diri.

Aku sangat bersyukur kerana hujan pagi itu. Kerana aku tahu Allah menerima doa hambaNya ketika hujan. Tak putus-putus aku berdoa dan berselawat. Itulah sahaja senjata terakhirku. Memang terasa kekerdilan diri.

Pagi itu hampir semua menaiki bas universiti menuju ke HUKM, suatu yang sudah lama tidak dilihat, teringat nostalgia ketika tamhidi. Ketika semua masih berjiwa kebudak-budakan, setiap hari naik bas ke kelas. Hari terakhir kami sebagai mahasiswa universiti, kami lakukan apa yang pernah dilakukan ketika mula bergelar mahasiswa universiti. Sesuatu yang cukup mengusik hati pagi itu.

Namun nostalgia indah itu tidak mampu untuk mengetepikan rasa cuak menghadapi periksa. Masih cuak yang amat ketika menaiki bas. Di sepanjang perjalanan aku terus berdoa. Adakala rakan berbincang tentang topik tertentu, aku turut serta mendengar dan memberi pandangan. Alhamdulillah, pagi itu berjalan lancar walaupun bas bertolak lambat dari yang dirancang.

Sampai di HUKM, hati semakin gemuruh bila menjejakkan kaki keluar dari bas. Pemandu bas, Abang Nazri memberikan kata-kata semangat sebelum pergi. Hubungan antara kami dan staf boleh dikira agak baik memandangkan kami telah lama berada di sini. Boleh dikatakan kami agak matang dalam menjaga hubungan dengan staf yang 'ok'. Abang Nazri memang 'ok' sangat-sangat. Perjalanan ke tingkat 10 HUKM sangat mendebarkan. Rasa seperti mahu terlucut lutut. Badan sudah mula rasa tidak sedap dan selesa. Sudah mula rasa sengal-sengal badan. Loya pun ada juga.

Rasa cuak berterusan sehinggalah saat aku dipanggil untuk memulakan 'long-case examination'. Dalam peperiksaan ini aku dikehendaki mendapatkan cerita pesakit dan perihal riwayat sakit pesakit. Banyak komponen yang perlu dilengkapkan dan dikorek dari pesakit. Agak cuak memikirkan apakah yang akan aku dapat. Ketika dibawa ke bilik temuduga pesakit, aku sempat mengintai pesakit di dalam bilik. Aku melihat seorang kanak-kanak berselimut di atas katil. "Alamak, aku dapat kes paeds ke ni? Amende plak sakit die nih?", hatiku resah. Ketika itu banyak yang bermain di fikiran. "Ni kes denggi kot. Macam demam je. Sampai berselimut nye ha.", cuba memberikan kemungkinan kes itu. Aku sempat bertanyakan rakan fakta-fakta penting tentang denggi.

Bila aku melangkah masuk ke dalam bilik, aku disapa dengan senyuman oleh ibu kanak-kanak tersebut. Alhamdulillah, terasa tenang sebentar melihat senyuman itu. Pesakitku berbangsa India dan sangat fasih berbahasa Melayu. Dia sangat ceria dan banyak menjawab soalan-soalan yang diutarakan. Pesakitku ditimpa penyakit lelah sejak berumur 6 tahun. Alhamdulillah, satu kes yang boleh dikatakan senang untuk dipersembah tetapi sukar untuk lulus. Semuanya berjalan lancar. Aku mengambil perihal riwayat pesakit selama lebih kurang 35 minit. Dia memberikan segala informasi yang aku perlukan dan ada juga yang dia beritahu sebelum sempat aku menanyakan kerana dia pernah menjadi subjek untuk peperiksaan klinikal sebelum ini. Pemeriksaan fizikal juga berjalan dengan lancar. Kerana pesakit datang dalam keadaan stabil, tidak ada apa-apa yang dapat aku kesan sebagai tidak normal.

Setelah sejam masa berlalu, aku dipanggil untuk berdepan dengan 3 orang pemeriksa. Seorang pakar kanak-kanak, seorang pakar tulang dan seorang lagi pemeriksa luar yang aku tidak kenal. Kami diberikan masa 15 minit untuk menyusun semula fakta-fakta kes dan menenangkan diri. Disebabkan aku jenis yang susun fakta sejak dari awal aku temuduga pesakit, aku gunakan banyak masa dengan bertenang. Doa dan selawat tidak putus-putus terkumat-kamit di mulutku.

Aku dipanggil masuk ke dalam bilik yang kecil. Kelihatan ketiga-tiga pemeriksa sudah bersedia menanti kehadiranku. Aku disambut dengan senyuman oleh doktor pakar tulang yang juga merupakan cikgu aku. Agak gembira melihat wajah itu. Walaupun beliau merupakan seorang yang bukan beragama Islam, aku senang melihat wajah beliau. Selepas mendapat arahan, aku mula menceritakan tentang pesakitku. Alhamdulillah, semua berjalan lancar. Aku juga diutarakan beberapa soalan yang kebanyakannya aku mampu jawab, dan ada juga yang terkial-kial nak menjawab sebelum aku mendapat bayangan dari doktor. Antara yang ditanya,

  1. What do you think the patient has? (provisional diagnosis)
  2. Why do you say so?
  3. What are the important elements that you need to ask in your history? (masa ni aku tahu aku ada 'miss' fakta penting. Dia nak aku tanya pasal ada kebun tak dekat rumah sebab debunga boleh 'precipitate' lelah. Lama juga nak dapat tangkap ape die nak)
  4. How do you stage asthma? (aku ingat FIGO je, die tanye other than FIGO. Aku terlupa pasal BTS. Aduh.)
  5. How do you manage this patient?
  6. What types of medication you want to give?
  7. Do you think that this patient has a good control of his asthma? Why?
  8. What bed-site investigation you want to do to see the progress of his condition?
  9. What advice you want to give when discharging the patient?
Sebenarnya ada lagi beberapa soalan, tapi dah tak ingat sebab dah lama sangat. Tapi itulah lebih kurang soalan-soalan yang ditanya. Nampak macam senang kan? Cuba la jawab dengan keadaan cuak, resah, gelisah, sakit perut dan macam nak pitam. Tengok hasilnya. Temuduga aku dengan pemeriksa berlangsung selama 30 minit. Selepas itu dipanggil keluar dan dikuarantin sambil makan kuih bersama rakan-rakan yang lain. Baru ada selera sedikit nak makan. Pada masa itu semua saling bertukar cerita tentang kes masing-masing. Aku memang jenis yang tak bercerita sangat, jadi aku dengar je semua orang bercakap.

Masa itu juga aku nampak seorang sahabatku duduk termenung dan muram di sudut bilik. Aku faham, mesti kes dia kes susah. Bila dia mula cerita tentang kes yang dia dapat, tanpa ragu aku kata kes dia memang susah. Aku bersyukur Allah berikan aku kes yang mampu aku tangani ketika itu. Aku tahu Allah akan menguji hambaNya berdasarkan kemampuan hamba itu. Aku pasti kawan aku ini seorang yang hebat kerana diberikan kes yang begitu susah. Dia mengadu dan minta aku mendoakannya. Aku berasa agak hiba dengan permintaannya. Dalam hati aku berkata, "Aku pun banyak dosa juga, yang aku doa untuk diri aku pun aku tatau diterima ke tak. Apatah lagi la nak doa untuk orang lain". Tak sanggup aku kata demikian di saat orang minta tolong. Aku doakan juga untuk dia dan semua rakan-rakanku. Moga ada keberkatan di sebaliknya.

Setelah solat Zohor, aku menanti giliranku untuk memulakan 'short-case examination'. Dalam peperiksaan ini kami disuruh untuk melakukan pemeriksaan fizikal tertentu ke atas 3 pesakit dengan penyakit yang berlainan dan selepas berdiskusi dengan pemeriksa tentang pesakit tersebut. Kes pertama aku mendapat kes obsteatrics atau ibu mengandung. Aku diperiksa oleh seorang doktor perempuan, tak tahu namanya (tak sempat berkenalan). Dia seorang yang baik, tidak provokatif. Bercakap dengan perlahan dan tenang. Aku disuruh mengira tarikh jangka kelahiran berdasarkan tarikh akhir haid pesakit. Lama juga nak kira memandangkan cuak yang amat.Asyik terlupa tarikh saja. Kemudian aku disuruh periksa perut pesakit. Kongklusinya, alhamdulillah, ia berjalan lancar. Pesakit itu ada 'oblique lie'.

Kes kedua merupakan kes ophtal atau mata. Memang berpeluh. Aku dapat melihat apa yang ada dalam mata pesakit, tapi aku tak berapa yakin dengan apa yang aku nampak. Pesakit tersebut ada glaucoma. Memang kantoi.

Kes terakhir merupakan kes surgical. Pesakit tersebut telah menjalani pembedahan pembuangan thyroid radikal (radical total thyroidectomy) namun kembali dengan 'recurrence of papillary carcinoma'. Pemeriksaan fizikal agak 'ok', namun aku agak kantoi dalam diskusi berkenaan pesakit tersebut. Siapa sangka dia ada 'recurrence'.

Berakhirnya kes ketiga tersebut, terasa seperti aku terbang di angkasaraya. Ok, agak melampau kalau kata macam itu. Terasa segala beban telah terangkat dari dada. Rasa cuak, gelisah, gundah, macam nak pitam semua hilang serta-merta. Rasa seperti mahu tidur di katil pesakit. Rasa sangat bersyukur.

Itulah sedikit-sebanyak kisah dua kupang aku ketika menghadapi peperiksaan ikhtisas akhir baru-baru ini. Harapnya dapat memberi gambaran dan manfaat kepada pembaca tentang suasana kita diperiksa. Itu baru periksa dunia. Cuba bayangkan hari kita dihisab kelak. Allahuakbar. Cuak untuk periksa akhir ni seciput je kalau nak dibandingkan dengan cuak di hari pembalasan.

Semua yang ceritakan ini ingin aku simpulkan dengan peringatan buat diri aku dan semua yang membaca, buatlah persediaan dengan secukupnya untuk mengahadapi Hari Hisab. Hari tu kita dah tak boleh nak buat apa-apa dah. Nak minta tolong mak ayah, depa pun dok risau hal depa. Nak minta tolong adik-beradik pun dah cukup masalah dah depa buat. Nak minta tolong kawan-kawan lagi la, toksah harap. Yang mampu tolong kita hanyalah amalan kita di dunia ini. Kalau amalan yang kita kumpul merupakan amalan yang soleh, inshaAllah, dengan rahmat Allah kita akan dapat kemenangan yang nyata.

Buat kawan-kawanku, aku tahu korang tak baca panjang-panjang ni, aku harap korang baca yang ni. Jom la kita ubah jadi lebih baik. Bukan aku nak kata korang tak baik, tak, korang baik, dan korang ada potensi untuk jadi lebih baik. Aku pun tak baik sangat, korang pun tau aku camne kan. Jom la kita ikut apa Islam suruh, tinggalkan otak logik kita tu. Islam tak datang dari akal yang logik, Islam datang dari Allah. Kalau semua benda kita letakkan akal untuk tentukan itu betul atau pun salah, itu dah salah. Sebab akal kita tak sempurna, agama Allah itu sempurna. Akal kita boleh tersilap, agama Allah takkan tersilap. Kalau akal kita kata benda ini baik untuk kita, tak semestinya ia baik untuk semua orang. Sebab itu kita perlukan agama untuk pandu setiap yang kita buat. Itu je yang mampu aku buat untuk korang. Aku mampu ingatkan je. Aku nak kita semua berjaya dan masuk syurga. Jom la =)

Panjang betul entri kali ni. Alhamdulillah, selesai =)

Malam Sebelum Peperiksaan Klinikal

Bismillahi wal hamdulillah

Selesai semuanya. Sekarang tunggu masa untuk pulang ke teratak bonda tercinta dan kembali semula ke asrama untuk mengangkut pulang segala khazanah yang telah terkumpul sejak 6 tahun yang lepas. Setelah dicerakin, dibuang, ditolak, dibuat tak tahu dan diplastik sampahkan, kesemuanya hampir 5 tan. Perlu menyewa lori kontena untuk membawa pulang harta-harta berharga ini.

Ok, kali ni nak berkongsi dengan semua tentang pengalaman aku masa nak periksa praktikal/klinikal dekat HUKM. Malam sebelum periksa tu, macam biasa la, semua ahli rumah berkumpul di bawah kipas ruang tamu, bertilamkan tilam baru, semua berdiskusi tentang kes-kes yang berpotensi untuk jumpa esoknya. Memang semua rasa cuak. Ada je bila bincang pasal topik nih, tiba-tiba ada mamat sebut pasal benda yang tak pernah didengari oleh mamat-mamat yang lain. Perghh, menyirap bulu roma. Rasa macam tatau apa-apa langsung pasal topik tuh, gara-gara tak tahu satu point. Memang cuak.

Ada juga bila tengah bincang pasal topik nih, ada mamat dah bercampur-aduk dengan topik lain. Dan mamat-mamat lain yang mendengar penerangan terima je tanpa segan-silu. Nasib baik sempat diperbetulkan. Masa tu memang rasa macam dah degenerate neuron-neuron otak dan tatau apa-apa. Memang cuak.

Ada juga bila tengah khusyuk dengar perbincangan, tergosok gigi dengan syampu videlle sasoon dan bukannya dengan ubat gigi. Ok, ini agak melampau dan secara hakikatnya tidak terjadi. Tapi, nak berikan gambaran yang jelas tentang kecuakan malam itu, ini mungkin terjadi pada sesiapa sahaja yang sangat cuak. Memang cuak.

Pada asalnya ramai yang rancang untuk tidak tidur malam itu. Ini kerana kecuakan yang amat ketara dapat dirasai oleh semua orang. Namun, akhirnya semua menuju ke tempat peraduan masing-masing. Aku salah seorang dari mereka. Apa yang bakal aku coretkan di sini adalah kisah benar yang berlaku pada diri aku. Bagi mereka yang bawah umur, harap berhenti baca di sini dan pergi buka buku Iqra'.

Jam menunjukkan hampir pukul 1 pagi. Aku dapat merasakan mata aku semakin letih dan layu. Kadangkala penglihatanku kabur dan nampak seperti ada dua bayang (diplopia). Itu tandanya mataku sedang memberontak menyuruhku berehat dan memberikan haknya, iaitu melelapkan mata. Aku memadamkan lampu bilikku. Rakan sebilikku telah lama nyenyak dibuai lena. Dia merupakan seorang pelajar yang pintar, tapi tidak aku. Jadi aku perlukan masa yang lebih untuk menelaah dan mengulangkaji pelajaran.

Aku melabuhkan badan comelku di atas katil. Aku baca doa tidur, Al-Fatihah, 3 Qul dan ayat Kursi seperti selalunya. Tiada apa yang berbeza dari malam-malam sebelumnya. Aku lelapkan mataku.

Tiba-tiba, "Ya Allah, macam mana nak examine inguinal hernia?", jerit hati kecilku. Dengan serta-merta otakku ligat mengingati langkah-langkah pemeriksaan yang pernah aku praktiskan sebelum ini. Aku mainkan kembali bayangan ketika mana aku pernah memeriksa pesakitku sebelum ini. Aku ingat di awal dan di akhir. "Eh, apa jadi selepas inspection? Nak suruh berdiri dulu ke duduk? Nak kena guna glove ke tak nih? Nak suruh pesakit paling ke arah lain tak bila batuk? Apa tanda-tanda itu inguinal atau femoral hernia? Macam mana kalau tak nampak?". Semua persoalan ini datang satu-persatu tanpa selang masa yang panjang. Aku cepat-cepat membuka mata dan berselawat. Jantungku berdegup kencang dan aku berpeluh. Aku terasa sangat takut dan seperti mahu menangis sekuat-kuatnya. Yang lebih menakutkan lagi ialah, aku sedar itu BUKAN MIMPI.

Sebagai seorang yang mengetahui ilmu psikologi, aku tahu itu merupakan tindakbalas normal seorang manusia ketika berhadapan dengan sesuatu yang sulit dan sukar. Aku cuba menenangkan diri. Aku banyakkan selawat dan istighfar. Aku tahu, hanya dengan bertenang aku mampu melepasi ujian ini. Setelah berjaya bertenang, aku cuba untuk melelapkan mata lagi.

"Shit Uih, aku tak revise leukimia lagi. Aduh, dah la topik yang mula-mula sekali study 3 minggu lepas. Mana nak ingat sangat. Ok....ok. Kalau dalam budak yang common is ALL, kalau tua CML. Eh, betul ke? Ke terbalik? CML ke AML? Eh, ke lymphoma? Thalassemia tu leukimia jenis ape?", sekali lagi aku membuka mata. Jantungku berdegup kencang dan aku berpeluh. Kali ni serius aku hampir-hampir menangis. Tapi aku sempat bertenang dengan selawat dan istighfar.

Aku sedar yang aku masih belum cukup dengan senjata untuk masuk ke bilik periksa. Aku juga sedar yang aku harus berikan hak kepada yang berhak. Aku perlu beri peluang untuk badanku berehat. Aku terus mencapai telefon bimbit dan mengunci jam pada jam 4.00, 4.30, 5.00 dan 5.30. Aku tidak mahu kecewa sekiranya aku tidak terjaga pada bunyi jam yang pertama. Jadi aku kunci jam untuk 4 masa yang berbeza.

Dipendekkan cerita, aku sempat tutup alarm telefon bimbitku sebelum dia berbunyi, bermaksud, aku tak dapat tidur sepanjang malam itu. Aku bangun solat subuh dengan badan dan jiwa yang sangat letih. Aku tahu yang aku terpaksa bertahan sehinggalah ke pukul 5 petang nanti. Dari pukul 6 pagi hari sebelumnya sehingga pukul 5 petang hari peperiksaan, aku tidak tidur selama 35 jam. Hanya Allah yang mengetahui betapa seksanya jiwa ini untuk menghadapi hari tersebut. Ia merupakan satu pengalaman yang agak dahsyat. Semuanya gara-gara CUAK.

Ok, setakat sini dulu. Nanti aku sambung apa yang jadi masa hari periksa tu plak.

Akhirnya....Alhamdulillah

Bismillahi wal hamdulillah

Syukur setinggi-tingginya ke hadrat Ilahi. Tidak ada perkataan lain yang layak diucapkan melainkan puji dan puja kepadaNya. Penantian, penyeksaan, penderitaan, pemerkosaan dan keperitan selama 7 tahun akhirnya berhasil dengan sebuah kejayaan. Kejayaan yang cukup manis dan berharga. Alhamdulillah aku berjaya mendapatkan MBBS USIM (/UKM??). Hehe.

Ape jadi hari periksa hari tu, aku takmo cerita lagi. Nak cerita hari dapat keputusan dulu. Pagi tu, lepas subuh, aku tido sampai pukul 10. Ye la, malam tu main futsal pukul 1. Pastu sambung tengok ManU belasah Schalke'04 6-1. Memang mengantuk la kot.

Mula-mula dapat arahan pergi fakulti pukul 2 petang untuk pengumuman keputusan. Tiba-tiba member bilik sebelah datang dengan berseluarkan seluar askar 3 suku beritahu kena pergi fakulti sekarang, iaitu pada pukul 12 tengahari untuk makan tengah hari. Dengan serta-merta aku mencapai baju kuliah minggu lepas yang masih elok dan terus pakai tanpa mempedulikan keadaan sekeliling. Nasib baik dah siap mandi dan gosok gigi.

Perasaan masa tu memang cuak gila. Kalau kadar degupan jantung yang normal bagi orang dewasa adalah di antara 60-100 degupan/minit, degupan jantung aku mungkin mencapai 130 degupan/minit. Keadaan ini dipanggil sebagai tachycardia. Tapi aku masih dapat mengawal perasaanku bila aku nampak lauk-pauk yang terhidang di depan mata. Tapi aku tak makan banyak sangat, walaupun tengah lapar. Hanya makan sedikit cukup untuk membekalkan tenaga menghadapi keadaan stress sebentar lagi.

Aku tengok ada kawan-kawan aku masih boleh bergelak-ketawa, bertepuk-tampar, berguling-guling dan berlari-lari anak di sekitar tempat makan. Aku biarkan saja. Aku tahu mereka merupakan golongan yang selalu cemerlang. Aku tidak risaukan mereka sangat. Aku lebih risaukan masa depan aku. Apakah aku boleh menapak ke fasa kehidupan yang baru atau aku masih kekal berada di takuk yang sediakala.

Masa keputusan nak diumumkan, aku nampak Dr. Azlina, Dr. Maiza dan Dr. Madeehah masuk dari pintu belakang. Aku sempat menoleh dan melemparkan senyuman berkala sederhana kepada mereka. Mereka membalas dengan sukarelanya. Tiba-tiba, "Eh, awat mata Dr. Azlina dah merah? Menangis ka? Result tak umum lagi pun? Nak nangis wat pa? Adakah ini tanda buruk bagiku? Atau mungkin ada habuk masuk mata doktor?", getus hati kecilku tanpa mendapat sebarang jawapan. Aku tidak menghiraukan getus hati kecilku itu.

Aku terus-menerus berselawat ke atas Nabi dan berdoa agar keputusan yang aku dapat merupakan keputusan yang terbaik dari sisiNya untuk diriku. Aku tengok member-member ada yang tunduk, diam, akathisia dan ada yang merakam peristiwa bersejarah ini menggunakan kamera telefon pintar masing-masing.

Dekan yang mengumumkan keputusan. Beliau memulakan dengan ucapan. "Adus, panjang le plak ucapan beliau", getus hati kecilku lagi. Kemudian beliau mula membacakan keputusan, satu per satu. Pergh, kekecutan perut yang dirasai sangat teruk sekali. Rasa macam nak guling-guling kejap kat atas lantai sambil melaungkan "Reformasi...Reformasi". Tapi semua itu hanya dalam fikiran semata-mata. Hakikatnya aku tetap duduk di atas kerusi sambil memeluk tubuh.

Satu per satu nama disebut. "Aduh, bila beliau nak sebut nama aku nih?", persoalan yang dilontarkan oleh hati kecilku. Setelah menunggu dengan penuh sabar dan istiqamah, akhirnya nama aku disebut. Rasa macam nak menangis (mmg dah nangis pun...hehe). Tapi aku sempat lap air mata dari mengalir di atas kulit pipi. Lelaki macho tak menangis depan orang ramai, hanya di tempat-tempat sunyi dan di atas sejadah. Hehe.

Syukur sangat dapat menghabiskan zaman bujang di universiti. Sekarang nak menghadapi zaman bujang di alam pekerjaan pula.

Terima kasih tak terhingga diucapkan kepada semua pensyarah-pensyarah, terutamanya Prof.Shahrir, Dr. Azlina, Dr. Madeehah, Dr. Maiza dan yang lainnya. Jasa anda tak mudah untuk dibalas. InshaAllah aku akan berusaha sedaya mungkin untuk menjadi insan yang lebih baik. Terima kasih juga buat sahabat-sahabatku, terutamanya ahli tetap rumah dan ahli separa tetap rumah (Im) kerana telah banyak membantu dalam mengulangkaji dan ajak makan.

Ada tanggungjawab yang lebih besar menanti di hadapan. Moga Allah berikan kekuatan dan ketabahan untuk aku thabat menapak dalam menggapai keredhaanNya. =)