Semangkuk Bijirin

Ingin berkongsi ilmu, pengalaman dan pendapat...

Ahlan Ya Ramadhan

Bismillahi wal hamdulillah

Ramadhan is approaching. May Allah grant us forgiveness and jannah. I share with you songs that I really love concerning this special month. Hope it can bring up the spirit of Ramadhan in you as it did to me. Happy Ramadhan Mubarak everyone, especially you. =)





Post-Induksi...Alhamdulillah

Bismillahi wal hamdulillah

Alhamdulillah, selamat sampai dari Melaka semalam. Memang meletihkan. Dari Selasa sehingga Jumaat, penuh dengan agenda. Malamnya tiada masalah untuk tidur akibat badan dan minda yang keletihan. Aku bersyukur atas kesemuanya. Dalam keletihan itu dapat berkumpul semula dengan rakan-rakan. Tiada yang lebih seronok dari itu sepanjang minggu ini.

Kehidupan yang bakal menantiku membangkitkan seribu satu persoalan. Mampukah aku mengharunginya? Mampukah aku menjadi lebih baik dari semalam? Mampukah aku itu dan ini. Kerisauan dan kegusaran berlegar setiap hari. Jawapannya bakalku jumpa nanti.

Alhamdulillah, aku dapat posting di tempat yang aku inginkan. Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani. Gembira? Ya, aku bersyukur dan gembira. Pilihan pertama yang aku letakkan. Ahad sudah perlu melaporkan diri di Jabatan Kesihatan Negeri Kedah. Aku hanya ada satu hari untuk mempersiap segala yang perlu. Dari borang-borang yang perlu diisi, barang kelengkapan sehinggalah memujuk hati yang masih berat untuk menghadam kenyataan ini.

Alhamdulillah dalam keberatan ini, masih ada yang mahu memberi semangat sokongan. Terima kasih tak terkira aku ucapkan. Aku hargai kehadiranmu dalam hidupku hingga ke syurga inshaAllah. Teruskan juga perjuanganmu, kau juga boleh. Moga kita ditemukan dalam keadaan yang lebih baik.

Mohon doa kalian agar segala urusan dipermudah. Doakan aku mampu menjadi seorang doktor yang baik. Baik di dunia dan juga akhirat.

Pre-Induksi Stress...Hehe

Bismillahi wal hamdulillah

Selasa ini akan mula berkursus induksi, inshaAllah. Minggu selepasnya terus akan memulakan kerja, inshaAllah. Perasaan risau agak menguasai diri sekarang ini. Risau tidak mampu untuk memikul tugas yang berat ini. Risau tidak mampu menepati standad yang sepatutnya. Risau jika terbuat silap ketika bertugas. Risau itu, risau ini. Ada banyak lagi risau sebenarnya, dan semuanya ke arah yang negatif.

Banyak yang dah lupa sebenarnya. 3 bulan merupakan tempoh yang agak lama menunggu mula kerja. Habis berkarat otak. Sapa suruh tak ulangkaji. Mungkin ada yang kata ni semua alasan. Kalau dah malas tu malas juga. Ya, memang malas pun. Kena terima hakikat. Susah nak study di rumah. Tambahan pula baru lepas berhempas-pulas untuk final. Ini dikira masa untuk 'chill'. Harga yang perlu dibayar kerana inginkan 'chill' ini.

Ada kawan-kawan kata, biasa la. Mula masuk, memang la tak tahu apa. Ah, aku tak mahu jadi macam tu. Mendengar cerita HO lain, dah boleh meremangkan bulu roma. Dimaki di depan khalayak, dimalukan dengan sehina-hinanya. Cis, apa diorang ingat diorang mulia sangat? Moga diberikan balasan setimpal.

Risau juga entah di mana aku akan ditempatkan. Harapnya dapat tempat pilihan. Kalau dihantar ke seberang sana, agak susah untuk terima. Bukan tidak sudi, tapi... Ah, sukar hendak dinukilkan dengan kata. Hanya yang merasa faham.

Bila banyak risau, fikiran pun jadi celaru. Cepat marah, takde mood, semua jadi tak kena. Berat juga nak pikul beban ni sorang-sorang. Rasa macam nak kena bela kucing. Boleh sembang ngan dia.

Ini Perjuangan Kita

Bismillahi wal hamdulillah

Ada yang kata ia hanya sebuah perarakan, sebuah perhimpunan. Aku katakan mereka salah. Ia adalah satu perjuangan. Perjuangan untuk mendapatkan hak yang selayaknya diberikan. Hak yang sedari awal tidak patut timbul isu padanya. Hak yang memberikan sebuah keamanan sebagai hasilnya.

Namun tak ramai yang faham perjuangan ini. Mereka merasakan ia sebagai suatu retorik yang diulang-ulangi di media arus perdana. Semuanya hasil dari pengaruh media yang kuat dan pastinya, partisipasi dorman dalam perjuangan ini.

Perjuangan ini bukan sekadar idea. Ia bukan setakat isu bualan di kedai kopi. Ia bukan sekadar pembuka bicara ketika bertemu rakan yang sudah lama tidak bersua. Ia merupakan sebuah usaha untuk mencapai sebuah kehidupan yang lebih baik. Dan sudah pasti, ia bukan sekadar percakapan am. Kami cuba lakukan apa yang kami cakapkan.

Idea tanpa perlakuan adalah umpama sampah-sarap. Ramai yang mempunyai ruang untuk melontarkan idea. Kita mahu itu, kita mahu ini. Sepatutnya begitu, sepatutnya begini. Tetapi berapa ramaikah dari kalangan yang ramai ini yang mengerjakan apa yang mereka katakan?

Perjuangan ini bukan perjuangan individu. Ia bukan perjuangan sesuatu bangsa. Ia bukan perjuangan sebuah parti. Ia merupakan sebuah perjuangan kolektif. Ia perjuangan semua. Tak mungkin ada berpuluh ribu manusia yang sanggup mengerahkan keringat dan memberikan waktu berharga mereka untuk suka-suka dan saja-saja berdiri di tengah panas, berjalan berbatu-batu, disepak diterajang, dimaki hamun, dicerca sehingga ke cucu cicit, ditembak secara membabi buta dan dipukul dengan cota melainkan kerana mereka tahu ini perjuangan yang berbaloi. Something that is worth fighting for.

Kerana hak yang pertama sudah diketepikan, semestinya hak-hak yang lain akan ditongsampahkan juga. Akibatnya berlakulah perkara yang tidak masuk akal dilakukan oleh pihak yang menekan. Jangan salahkan kami sekiranya kamu tersepit dalam keadaan ini. Ini bukan lagi masa untuk berdiam diri dan melihat apa yang terjadi. Ini adalah masa untuk kita nyatakan pendirian. Pendirian itu mestilah berdasarkan sumber yang paling mulia, Quran dan Sunnah. Bukan rasa hati, tahap IQ, ilmu pengetahuan am dan selainnya.

Aku mengajak kamu untuk memahami perjuangan ini. Ia perjuangan semua. Ia perjuangan kita. Jika tidak mahu turun ke lapangan sekalipun, hulurkan bantuanmu setakat yang mampu. Biar kami yang berada di barisan hadapan. Kami tak kisah. Manusia boleh berkata apa sahaja. Mereka boleh menampakkan keburukan yang sangat dahsyat. Ya, keburukan itu pasti ada. Sebab itu ia adalah sebuah perjuangan. Jika ia mudah, itu bukan perjuangan namanya.

Jika Nabi dan para sahabat mampu berdepan dengan mereka yang zalim dan mengubah suasana, kami juga yakin untuk melakukannya. Bukan kerana kami sama kemuliaan seperti mereka, tapi kerana kami yakin perjuangan kami selaras dengan Quran dan Sunnah. Ayuh, selakkanlah selimutmu.



Apa Nak Dikato

Bismillahi wal hamdulillah

Kata orang tua-tua, "Jangan takut, kalau benar", atau dalam loghat utaranya, "Toksah takut, kalau betoi". Ramai dari kita menghafal kata-kata ini, tapi berapa ramai yang berani untuk mengamalkannya.

(Disclaimer: Entri ini sangat tidak sesuai dibaca oleh mereka yang belum cukup umur, berhati suci, berjiwa murni, berfikiran sempit, jumud dan lumut, tidak boleh terima pendapat orang, berotak beku dan tertutup dan yang mencintai bahasa baku akibat penggunaan bahasa yang sangat pasar dan kasar di sisi seorang rakyat marhaen)

Aku dulu seorang penakut. Aku bukan seorang yang suka ke depan, bercakap depan orang ramai, tambah-tambah lagi orang yang aku tak kenal dan tak kisah. Aku dulu dekat sekolah selalu kena buli dengan kawan-kawan sampai terkencing dan terberak. Ok, agak 'over-exaggerate'. Tapi memang betul, aku dulu penakut. Tapi adakah sekarang aku seorang yang berani? Ya, semestinya. Tetapi ada tempatnya.

Aku takkan berani kalau member aku cabar aku terjun dari tingkat 10 dengan sua muka dahulu. Itu bukan berani namanya. Itu bodoh lagi bahlul. Aku takkan berani kalau member cabar aku untuk pergi bercakap dengan mana-mana gadis yang aku berkenan, sebab aku pemalu orangnya. (Jangan gelak)

Tapi kalau aku tahu ada yang salah dan tak kena dengan sesuatu, aku akan berani untuk bertindak. Tambah-tambah kalau benda tu ada kena-mengena dengan aku. Contohnya ada taik cicak jatuh dalam kek hari jadi aku. Mesti la aku kena bertindak, walaupun bahagian kek yang ada taik cicak itu dimakan oleh orang yang aku benci gila-gila. Sebab nanti kalau dia perasan mesti dia kata aku 'prank' dia. Tak ke naya camtu.

Berani untuk kata apa yang benar, berapa ramai yang tengah baca entri ni berani buat? Aku pun takde la berani sangat, tapi ok la. Selalunya orang yang selalu dok cakap benar ni, atau dalam bahasa yang lebih marhaen lagi, dok perbetoi orang ni mesti selalu kena label yang tak baik. Cakap banyak la, kaki gebang la, macam-macam lagi. Dan yang terlebih jelas sangat, orang yang jenih macam ni memang ditakuti oleh sekelian alam. Ape ke hei nye?

Kalau kita tau apa yang orang tu kata memang salah, apa yang nak kita takut kalau dia nak bagitau satu dunia pun. Asalkan memang benda tu 'absurd' la. Tak masuk akal langsung. Contoh, ada sorang member aku ni tuduh aku sebenarnya sorang pompuan. Ape ke hei nye? Memang kapla jingga la dia tu kan, sah-sah memang tak betul. Apa nak takutnye kalau dia nak bagitau satu atmosfera pun. Memang dah terbukti secara saintifik yang aku lelaki, sejati plak tu.

Tapi orang akan jadi takut-takut kalau benda tu benar atau dekat-dekat nak betoi. Contoh, ada sorang member aku ni tuduh aku pakai spender terkoyak kat juboq, lebih tepat sebelah kanan atas. Aku pulak tak ingat hari tu aku pakai spender yang mana satu, tapi memang seingat aku ada satu spender tu terkoyak. Jadi member aku ni nak bagitau orang ramai yang aku pakai spender terkoyak aritu.

Aku pun mula la menggelabah, sebab mungkin betoi apa dia kata tu. Walaupun orang lain tak nampak, aku dah mula menggelabah. Orang kata sudah jatuh ditimpa tangga, member aku tu pulak kata dia ada bukti. Baru aku teringat dia ambik gambaq masa aku tunjuk spender aku tu kat dia. (Yang aku pun pi tunjuk tu pasaipa) Sepatutnya aku tak takut sebab orang lain memang tak tau pasal tu.

Tapi naluri manusia tu memang macam tu. Bila dia bersalah, dia menggelabah. Lepas tu, bila member aku ni nak bercakap je aku tutup mulut dia. Aku ugut dia supaya jangan sebarkan berita tu, sebab nanti aku malu.Dia tak makan saman, dia kata dia nak cakap gak. Last-last, aku culik dia bawak masok dalam hutan dan ikat dia. Aku biarkan dia selama beberapa hari kepada alam semulajadi. Dan akhirnya sapa pun tatau.

Haa, ni contoh ja. Jangan ingat betoi cerita ni. Aku nak bagi hampa faham sifat manusia nih, sifat kita la. Bila orang cakap benda betoi pasai keburukan kita mula la kita nak buat benda yang tak masuk dek akal. Orang-orang yang tak boleh kawal sifat ni, kita jangan la bagi dia pegang jawatan besar dalam persatuan kita. Takut nanti dia takmau mengaku apa salah dia. Sepatutnya kita berlapang dada bila ada orang tegur kita. Kalau ada orang tegur aku pakai sepender terkoyak, aku boleh ja jawab balik, "Takpa, yang penting seluar kat bahagian luar, sebab aurat tak nampak pun walaupun spender aku terkoyak. Tapi aku akan berusaha untuk tak pakai dah lain kali kalau ianya mengganggu hang". Gila songsang orang yang tegur aku macam tu.


Kena Kuat Dengan Tuhan Baru Elok

Bismillahi wal hamdulillah

Hidup ini banyak memberi pengajaran kepada kita jika kita mahu membuka mata dan mendengar. Setiap yang berlaku di sekeliling kita memberikan kita ibrah tertentu yang boleh dimafaat bersama. Setiap perbualan yang tidak dirancang juga kadangkala membuatkan kita banyak berfikir. Tapi sejauh mana tindakan susulan kita selepas itu yang menjadi tanda soalnya.

Menerima kehadiran tukang elektrik bukan beragama Islam ke rumah baru-baru ini rupanya merupakan satu yang bermanfaat. Dia datang untuk membetulkan peralatan elektrik rumah yang rosak. Kebanyakan tukang baiki yang datang ke rumah selalunya akan bercerita tentang kerja mereka. Tukang kayu akan bercerita tentang kayu, tukang batu (ada ke?) akan bercerita tentang batu, simen dan seumpamanya, dan tukang elektrik akan bercerita tentang kerja-kerja yang pernah dilakukannya. Tetapi tidak yang ini.

Ketika dia sedang membai perkakas elektrik di rumah, aku meminta izin untuk meninggalkan dia sebentar untuk menunaikan solat. Seperti biasa, tidak ada apa-apa yang luarbiasa berlaku. Usai solat, aku pergi semula kepadanya. Dia seorang pendiam, tidak berkata banyak. Tiba-tiba dia berkata, "Itu sembahyang kan, tak sampai lima minit pun. Tapi ramai orang tak boleh buat". Aku agak terkejut dan cuba mencari apakah maksud sebenar yang ingin disampaikan.

"Itu la saya tengok, sembahyang sat saja, tapi ramai tak boleh buat". Oh, baru aku faham. Aku senyum dan mengangguk sebagai tanda bersetuju. "Ramai orang tak kuat dengan tuhan. Sebab itu la jadi macam-macam sekarang. Kalau kita kuat ugama, kita mesti tak buat merapu punya", dia menyambung. Aku terus senyum dan mengangguk. Aku menguatkan apa yang dia kata dengan pernyataan yang sama, tapi dengan ayat yang berbeza. "Yang pasti, Tuhan itu satu. Kita semua setuju macam tu, cuma cara kita nak dekat dengan dia saja berbeza. Orang Islam cara lain, kita cara lain. Tapi bila kita tau ada akhirat sana, nanti baru kita tau cara sapa yang betul", dia terus bercakap.

"Kalau ketua kita tak kuat ugama, yang bawah-bawah ni lagi la. Sebab tu kena pilih betul-betul. Saya pun ada baca pasal ugama Islam. Saya mau tau saja, saya bukan Islam. Tapi kita kena tau la sebab kita mau hormat sama orang Islam. Tak salah kan?".

Aku tidak mampu berkata apa-apa. Terlalu gembira dapat bertemu seorang yang mempunyai fikrah yang baik, sayangnya dia masih belum mendapat hidayah. Lebih sayang, aku tidak tahu menggunakan ilmu perbandingan agamaku bila diperlukan. Sigh.