Kebersihan merupakan satu komponen yang amat penting dalam kehidupan seorang manusia. Kebersihan diri dan sekeliling telah menjadi penanda aras atau indikator tentang peribadi seseorang itu. Orang yang menjaga kebersihan diri dan sekeliling dinilai sebagai seorang yang mempunyai nilai hati dan pemikiran yang murni. Bukan sahaja dinilai oleh manusia sekeliling, malahan ada agama yang begitu menekankan aspek kebersihan kepada penganutnya. Bahkan, kebersihan merupakan salah satu daripada tuntutan fitrah seorang manusia.
Belakangan ini, isu kebersihan menjadi satu isu yang hangat diperkatakan di peringkat antarabangsa, tidak ketinggalan di arena Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Ia telah menjadi suatu agenda penting untuk diperbincang bagi mencari suatu solusi bertujuan untuk meningkatkan kesedaran di peringkat global tentang peri- pentingnya penjagaan kebersihan. Semuanya disebabkan statistic yang telah dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada tahun 2004 yang menyatakan bahawa 90 % daripada kematian yang dicatatkan di seluruh dunia adalah disebabkan oleh penyakit-penyakit seperti HIV/AIDS, cirit-birit, batuk kering (tuberculosis), malaria dan demam cacar. Kebanyakan dari penyakit ini sebenarnya dapat dibendung sekiranya kebersihan menjadi suatu keutamaan masyarakat, bukan sahaja kebersihan diri dan sekeliling, malahan kebersihan makanan dan minuman dan juga memastikan hasil kumbahan dirawat dengan sebetulnya mengikut prosedur yang standard.
Islam telah lama menekankan aspek kebersihan kepada umatnya. Islam telah datang kepada bangsa arab jahiliyah di masa mereka dalam keadaan yang amat memerlukan suatu sistem kehidupan bagi membentuk suatu tamadun yang mampu membawa mereka keluar dari kepompong kehidupan yang amat sempit dan kotor dengan amalan jahiliyah mereka. Antara yang dibawa oleh Islam ialah penjagaan kebersihan.
Dalam surah Al-Baqarah ayat 222, Allah s.w.t telah menyatakan bahawa Dia menyukai hambaNya yang bersih:
إِنَّ اللّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
Ketika mentafsirkan ayat ini, As-syeikh Syed Hawa dalam kitabnya Al-asas fi Al-tafsir, beliau berkata, “(Allah menyukai) mereka yang bertaubat daripada dosa yang berulang kali dan mereka yang membersihkan dirinya daripada kekotoran dan kekejian ataupun membersihkan dirinya dengan menggunakan air kurniaan Allah.
Jika melihat kepada ayat tersebut, terdapat tanda yang menunjukkan bahawa penjagaan kebersihan itu merupakan suatu yang dituntut dan harus di sisi Islam. Ini kerana pernyataan Allah yang secara terangnya menjelaskan yang perbuatan menjaga kebersihan disukai olehNya dan tiada tanda yang menunjukkan ia perbuatan yang haram dan dibenci.
Ianya diperkuatkan dengan hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Nabi berkata,
الطُّهُورُ شَطْرُ الْإِيمَانِ
yang bermaksud, “Kebersihan itu separuh daripada iman”. Hadith ini menampakkan kepada kita betapa pentingnya penjagaan kebersihan di sisi Islam sehinggakan ia menjadi penanda aras kepada tahap keimanan seseorang itu.
Di samping itu, Islam juga mengajar umatnya berkenaan aspek pembuangan najis. Ini kerana pembuangan najis yang tidak betul boleh mendatangkan pelbagai penyakit dan wabak. Menurut hadith yang dilaporkan oleh Muslim dan Ahmad, Nabi berkata, “Takutlah kamu dengan dua perkara yang terkutuk, iaitu membuang najis di lorong-lorong yang digunakan manusia dan di tempat mereka berteduh”.
Semua ini adalah dalil yang menujukkan bahawa Islam bukan sekadar mementingkan kebersihan, lebih daripada itu ia memperincikan berkenaan bagaimana kebersihan itu perlu dijaga. Semua ini menunjukkan berkenaan betapa relevannya ajaran Islam bagi manusia pada hari ini.