Bismillahi wal hamdulillah
Baru lepas tengok discovery channel pasal cheetah, singa dan binatang-binatang lain. Seronok. Tiba-tiba terfikir pasal ni. Nampak macam remeh, tapi mungkin boleh ambil sikit sebanyak iktibar, inshaAllah :)
Cheetah dan Singa
Cheetah merupakan mamalia yang terpantas di atas muka bumi ni. Dikelaskan di bawah kumpulan kucing, Cheetah menempa nama dengan kelajuannya yang luarbiasa. Dilaporkan kelajuan yang mampu dicapai oleh Cheetah yang pernah direkodkan ialah selaju 70 batu per jam. Hebatnya Cheetah dengan kelajuannya, sehinggakan kita menggunakan Cheetah sebagai perumpamaan untuk orang yang mampu berlari laju. Kekuatan badannya ditumpukan hampir sepenuhnya kepada otot kakinya yang membolehkannya untuk memecut. Disebabkan hampir kesemua kekuatannya ditumpukan untuk berlari, kekuatan rahangnya untuk membaham mangsanya agak lemah jika dibandingkan dengan sepupunya, singa.
Semua maklum tentang perihal singa. Dikatakan sebagai 'Raja Rimba', nama singa begitu gah di persada dunia. Singa dikenali bukan kerana kekuatannya, tetapi kerana kegarangannya. Sesiapa sahaja yang berhadapan dengan sang singa, pasti berasa gentar dan kecut, kerana tubuhnya yang sasa dan kemampuannya untuk menundukkan mangsanya dengan mudah, walaupun sekali ganda besar dari saiz badannya sendiri. Kegarangannya menyebabkan kita menggunakan singa sebagai perumpamaan kepada mereka yang panas baran dan selalu marah. Garang seperti singa. Jika dibandingkan dengan cheetah, singa tidak begitu pantas. Sentiasa sahaja ketinggalan jauh di belakang jika berlumba lari dengan cheetah. Walaupun tidak pantas, singa dikurniakan dengan kekuatan yang luarbiasa untuk menerkam dan membaham mangsanya. Kekuatan rahang dan otot-otot badannya berfungsi untuk menjatuhkan mangsanya. Itu kelebihan singa.
Jika dilihat kedua-dua binatang ini, secara jelas dapat kita lihat akan kekurangan dan kelebihan antara kedua-duanya. Cheetah cemerlang di penjurunya, singa hebat di penjurunya. masing-masing punya kelebihan yang berbeza, tetapi sangat istimewa. Jika cheetah dan singa bergabung tenaga, membentuk satu organisasi, menubuhkan satu persatuan, menegakkan satu jemaah yang mengumpulkan kesemua saudara-saudara mereka untuk berjuang bersama-sama di bawah satu bumbung, ke arah satu matlamat, iaitu mencari makanan dan tempat perlindungan, pastinya ia akan memberikan hasil yang amat menggembirakan. Cheetah menggunakan kelajuannya untuk mengejar mangsa, dan singa mengunakan kekuatannya untuk menerkam dan membaham mangsa. Suatu hubungan simbiosis, 'win-win situation'.
Aplikasi dalam kehidupan
Kisah singa dan cheetah di atas boleh diaplikasikan oleh kita. Kita dilahirkan dengan kemampuan dan kelebihan yang berbeza, dan pastinya dengan kelemahan yang juga berbeza. Ada yang mampu untuk memimpin dengan baik, ada yang mampu untuk membuat kerja dengan baik, ada yang mempunyai teknik komunikasi yang baik, dan begitulah seterusnya. Walaupun kita mempunyai kelebihan kita yang tersendiri, tidak mungkin kita mampu untuk cemerlang di setiap penjuru itu, walaupun tidak mustahil, namun sedikit sangat bilangannya. Oleh itu, dalam membentuk sebuah jamaah atau persatuan yang baik, kita perlu untuk mempunyai ahli-ahli yang mempunyai kelebihan yang pelbagai ini.
Kalau dalam sesebuah persatuan itu rata-rata ahlinya terdiri dari mereka yang sama kebolehan mereka, bukanlah nak dikatakan tidak baik ataupun tidak boleh berjaya, namun sekiranya kebolehan itu dipelbagaikan, ia mampu untuk melancarkan perjuangan, membuahkan kejayaan dengan lebih berkesan dan membawa persatuan tersebut ke tahap yang lebih baik di persada dunia. Cuba bayangkan jika dalam sebuah persatuan itu terdiri dari mereka yang pandai bercakap sahaja, siapa yang mampu untuk menjalankan kerja-kerja pentadbiran dengan lebih cekap dan efisien? Semua mahu bercakap, tidak mahu membuat kerja pentadbiran. Boleh hancur persatuan itu. Kelebihan yang berbeza mampu menutup kelemahan-kelemahan ahli-ahlinya demi melancarkan perjuangan persatuan.
Begitu juga halnya dalam membentuk sebuah keluarga yang harmoni. Suami dan isteri pastinya mempunyai kelebihan dan kelemahan yang berbeza. Suami dan isteri perlu saling bekerjasama bagi memudahkan semua kerja rumahtangga dan seterusnya membina rumahtangga yang aman dan sejahtera. Ramai yang ingin mempunyai rumahtangga yang bahagia. Namun mereka tidak mahu utuk saling melengkapi. Mereka tidak mahu untuk menerima perbezaan pasangan masing dan tidak mahu untuk menutup kelemahan tersebut. Jika tidak ada kerjasama, saling memahami dan melengkapi, tidak mungkin dapat melahirkan rumahtangga yang sejahtera. Sebab itu kita disuruh untuk memilih pasangan kita dengan baik dan meletakkan agama sebagai pilihan utama ketika membuat pilihan. Ini kerana setiap insan perlukan agama dalam hidupnya. Aspek-aspek lain dalam kehidupan boleh diperbaiki dari masa ke semasa. Dalam proses penambahbaikan itulah perlunya untuk saling memahami dan melengkapi.
Apabila kelebihan dan kebolehan yang dimiliki oleh pasangan suami isteri itu berbeza, ia bakal menambah warna dan corak ke dalam kehidupan mereka. Tidaklah kedua-duanya hanya tertumpu kepada acara yang sama sahaja. Kalau setiap hari makan sotong selama satu bulan berterusan, pastinya akan berasa bosan. Mesti ada keinginan untuk mengubah sotong itu kepada ayam atau seumpamanya. Begitu juga dengan kehidupan kita. Bukannya tidak bersyukur, tetapi hanya mengikut fitrah manusia yang inginkan kelainan sekali-sekala, tidak ada salahnya.
Lantas kerjasama dan sikap saling memahami dalam kehidupan merupakan elemen yang penting untuk dihayati oleh kita. Sebuah matlamat tidak mungkin dapat dicapai sekiranya hanya dijuangkan oleh seorang individu. Tetapi jika dilakukan secara berjamaah, berkumpulan, peluangnya lebih besar dan cerah untuk mendapat kejayaan. Moga kita dapat renungi perkara ini dengan hati yang terbuka.