Semangkuk Bijirin

Ingin berkongsi ilmu, pengalaman dan pendapat...

Perkongsian Ringkas Tentang Islam dan Rasulullah

Bismillahi wal hamdulillah

Nabi Muhammad s.a.w merupakan rasul terakhir yang diutuskan Allah kepada manusia. Baginda merupakan pelengkap kepada segala mesej dan ajaran serta arahan yang telah diturunkan oleh Allah kepada manusia melalui para rasul sejak sebelum baginda lagi. Semua ini dijelaskan oleh Allah dalam surah An-Nisa' ayat 163 yang bermaksud:

"Sesungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nuh dan nabi-nabi yang kemudiannya, dan Kami telah memberikan wahyu (pula) kepada Ibrahim, Isma’il, Ishak, Ya’qub dan anak cucunya, Isa, Ayyub, Yunus, Harun, dan Sulaiman. Dan Kami berikan Zabur kepada Daud."

Ayat ini membuktikan bahawa wahyu yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w membawa mesej yang sama dengan nabi-nabi sebelum baginda. Ini menunjukkan Islam tidak bermula dengan Nabi Muhammad, tetapi ditutup dan dilengkapkan oleh Rasulullah s.a.w. Islam bermula sejak dari Adam diutuskan ke muka bumi. Hal ini dijelaskan Allah dalam surah Al-Maidah ayat 3 yang bermaksud:

"Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagi kamu agamamu, dan telah Aku LENGKAPKAN secukupnya nikmatKu atasmu, dan telah Aku redahi Islam itu menjadi agamamu."

Kerasulan dan kedatangan Nabi Muhammad s.a.w telah disebutkan di dalam kitab-kitab terdahulu. Rasul-rasul sebelum ini telah diberitakan tentang Baginda sebagai rasul terakhir. Lantas ahli-ahli kitab mengenali Nabi Muhammad dan menyedari akan mesej yang bakal dibawa oleh baginda sebagai mesej yang sama dibawa oleh nabi-nabi sebelumnya. Hal ini dinukilkan Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 146 yang bermaksud:

"Orang-orang yang telah Kami beri kita (Taurat dan Injil) mengenalnya (Muhammad) seperti mereka mengenali anak-anak mereka sendiri."


Ayat ini menunjukkan kita betapa orang-orang terdahulu begitu mengenali baginda seperti mengenali anak mereka sendiri. Segala perihal tentang baginda telah diceritakan dan diberitakan kepada mereka, namun mereka terlalu ego dan sombong untuk mengakui kerasulan baginda, sehinggakan ramai daripada mereka bermusuh dan berdusta tentang baginda. Walaupun begitu, ada juga di antara mereka yang membenarkan kerasulan baginda, antaranya ialah Waraqah bin Naufal, iaitu sepupu kepada Saidatina Khadijah.

Moga perkongsian yang sedikit ini dapat menambahkan keyakinan kita kepada Islam dan Nabi kita s.a.w. Moga kita beroleh hidayah dan maghfirahNya. Moga bertambah dan meningkat iman dan amal.






0 komentar: