Semangkuk Bijirin

Ingin berkongsi ilmu, pengalaman dan pendapat...

Susahnya nak tido

Bismillahi wal hamdulillah

Terasa sejuk malam ini. Hujan turun dengan rahmat dariNya. Selalunya manusia akan nyenyak tidur dalam cuaca begini. Tapi susah pula aku nak lelapkan mata, padahal rasa mengantuk yang amat. Banyak pula yang menerjah fikiran. Hal itu, hal ini. Benda itu, benda ini. Macam-macam ada. Waktu pagi tadi takde pula nak datang dalam otak.

Mungkin waktu nak tidur adalah waktu yang paling tenang. Waktu otak mula nak bersenang-senang sedikit. Waktu yang tak perlu fikirkan perkara-perkara yang berat-berat. Tapi yang datang waktu nak tidur pun bukan calang-calang punya fikiran. Macam-macam juga. Lagi berat kot. Kadang-kadang sampai kena makan ubat tidur. Memang kronik. Tapi sekarang stok ubat dah habis. Kena bergantung pada diri sendiri. Aduh!

Hidup kita memang tak boleh lari dari masalah. Masalah akan muncul satu persatu. Kadang-kadang, belum selesai satu masalah, datang satu lagi. Ini lumrah kehidupan kita. Masalah yang kita hadapi sebenarnya merupakan satu ujian untuk kita. Nak tengok kita ada di tahap atau maqam yang mana. Mungkin ada orang kata ini ayat retorik, terutamanya bagi penceramah nak berceramah. Nak buat macam mana, memang ini hakikat. Dalam Quran pun Allah ada sebut pasal ujian untuk tengok samada kita layak ataupun tak untuk masuk syurga. Jadi, memang betul la masalah tu merupakan satu ujian.

Yang penting selain dari kerjasama ialah cara kita memandang setiap masalah yang kita hadapi tu. Orang yang bijak akan melihat masalah itu sebagai satu kaedah atau jalan untuk dia memperbaiki dan memperelok diri sendiri. Dia tahu bahawa di sepanjang proses untuk menghadapi masalah tersebut dia akan mendapat sesuatu. Dia akan dapat mempelajari perkara baru. Dia akan memperoleh pengajaran yang tidak dapat sebelum ini, walaupun dia tak berjaya mengatasi masalah tersebut.

Bagi mereka yang berfikiran negatif atau pesimis, dari awal lagi mereka sudah mengalah. Sudah mula mengeluh sebelum apa-apa lagi. Sudah mula melupakan tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan ke atas mereka. Mereka berfikiran bahawa setiap masalah yang timbul dan muncul akan memusnahkan hidup mereka. Akan menyebabkan mereka lebih terjerumus ke lembah kegagalan. Sedangkan mereka lupa bahawa dengan ujianlah mereka boleh melangkah ke tahap yang lebih tinggi.

Lantas, kita tergolong dalam kumpulan mana? Golongan yang optimis atau pesimis. Mungkin kedua-duanya. Ada masanya kita begitu optimis dengan diri kita. Kita mendapat sokongan dan dokongan dari orang terdekat, membuatkan kita menjadi yakin dengan diri kita. Sebab itu penting untuk memilih siapa yang dekat dengan kita. Jika yang dekat itu jenis yang tidak ambil peduli, malanglah kita. Sekiranya yang dekat itu merupakan seorang yang sentiasa memberikan semangat dan sokongan, beruntunglah kita.

Ada masanya juga kita menjadi seorang yang pesimis. Mungkin lantaran tekanan yang bertubi-tubi, kita jadi tak tentu arah buat seketika. Kita mula hilang keyakinan pada diri sendiri, sedangkan kita punya keupayaan untuk menyinar dan mengatasi mehnah yang muncul. Pada waktu ini, kita perlu mencari sinar semangat itu semula. Sebab itu kita perlu untuk mempunyai mereka yang dekat dan boleh dipercayai, agar mereka dapat memulihkan semangat untuk supaya kita dapat kembali 'beraksi' dengan mantap.


Apa? Jodoh?

Bismillahi wal hamdulillah

Ada yang bertanyakan tentang jodoh. Aduh, aku sememangnya bukan orangnya untuk mengupas isu ini. Bukanlah tidak tahu langsung tentang jodoh, cuma merasakan tidak cukup kelayakan untuk bercerita tentangnya. Jodoh merupakan merupakan isu yang cukup subjektif dan abstrak. Perlukan ilmu dan pengalaman yang cukup dan luas untuk memberikan gambaran yang jelas tentangnya. Secara terang-terangan aku bukan orang itu.

Hendak bercerita tentang jodoh pun tak boleh, apatah lagi hendak menjawab persoalan, perlu mencari atau tunggu sahaja. Sering timbul soalan ini di benak hati kita, tapi cukup malu untuk bertanya.

Aku hanya mampu memberikan pautan untuk mereka yang inginkan jawapan tentang jodoh. Aku juga masih belajar tentang ini. Kalau anda ada yang ingin dikongsikan, dipersilakan =)

  1. http://saifulislam.com/?p=4858
  2. http://www.islam.gov.my/e-rujukan/lihat.php?jakim=500

Apa? Papaku kata apa tentang ini? Dia tak kata apa-apa.... Haha =)




Layan....

Semangat2



Bismillahi wal hamdulillah

Masa, begitu pantas meninggalkan kita. Begitu cepat ia berlalu. Rasanya seperti baru semalam bermula. Hakikatnya sekarang sudah hampir di garisan penghabisan. Perasaan bercampur-baur. Gembira, sedih, suka, duka, atau langsung tidak berperasaan. Tidak tahu yang mana mendominasi.

Pejam celik, sudah hampir 7 tahun aku di alam universiti. Suatu fasa atau peringkat yang aku sangat harapkan ketika di bangku sekolah. Aku tahu aku bakal mendapat pelbagai pengalaman dan pengajaran. Benar sangkaan itu. Banyak yang aku dapat sepanjang 7 tahun ini. Ramai yang aku kenali selama 7 tahun ini.

7 tahun ini banyak merubah diriku, dari sudut pandangan dan pemikiran. Aku mula membuka mata dan fikiran terhadap dunia. Dulunya aku agak tersepit dalam suasana yang kecil di atas pulau. Hanya berlegar di sekitar mereka yang kukenali. Tidak banyak variasi atau beza dari diriku.

Tapi setelah menapak ke universiti ini, aku mula menerima perbezaan yang ada di antara insan. Ada yang lurus, ada yang bengkok. Ada yang cepat, ada yang lembab. Semua itu mencorakkan kehidupan aku selama ini. Walaupun agak sukar untuk menerima di awalnya, tapi semua itu telah diatasi dengan seikhlasnya. Menerima perbezaan bukanlah suatu perkara yang mudah bagi setiap orang.

7 tahun belajar di universiti, suatu jangka waktu yang cukup lama. Ramai saja yang selalu bertanya bila lagi nak habis belajar. Yang paling selalu ditanya, bila lagi? Faham-faham saja maksudnya. Bagi yang tidak tahu, aku mengambil kursus bidang kedoktoran selama 6 tahun, dan matrikulasi selama setahun. Campur semuanya 7 tahun, insyaAllah. Walaupun masih berstatus sebagai seorang pelajar, aku sedar yang aku sudah tua.

Bila melihat rakan-rakan yang lain sudah bekerja dan mendirikan rumahtangga, terasa juga terkilan dengan keputusan yang diambil. Kadang-kadang terasa juga mahu berhenti, tapi ramai yang berkata sudah terlambat. Dah di tahun akhir. Betul juga. Tak boleh nak menafikan kenyataan itu. Perjuangan harus diteruskan, walaupun momentum semakin hari semakin berkurangan. Harus terus yakin.

Insan itu makhluk lemah dan ada limitasi. Kadang-kadang perlu juga ada yang terus memberikan rangsangan dan semangat. Agar perasaan sedih dan lemah itu dapat diatasi sebelum ia mula menjadi barah. Barah yang bakal dibawa seumur hidup. Jika ia dibiarkan menular, pastinya ia akan mempengaruhi hidup. Mengubah peribadi dan perangai ke arah yang lebih merosakkan.

Kehidupan universiti yang kuimpikan bukanlah seindah yang dibayangkan. Entah apa dan mana silapnya. Akukah yang bersalah kerana tidak lebih proaktif? Atau pentadbiran universiti yang wajib dipertanggungjawabkan? Entahlah. Yang pasti, aku tidak akan mencadangkan sesiapa pun masuk ke universiti aku ini sekarang. Mereka pasti kecewa sepertimana aku kecewa. Universiti yang sentiasa pandang tinggi pada diri sendiri, dan sentiasa menafikan kelemahan yang ada di dalamnya.

Begitu banyak perkara negatif boleh diceritakan. Tapi apa guna memandang kepada perkara yang tidak enak difikirkan. Masih banyak yang gembira untuk diingati.

Di universiti ini aku mengenali ramai yang baik. Yang ceria. Yang indah. Yang yok =). Sahabat-sahabatku dan mereka yang mengasihiku di jalan Ilahi. Merekalah yang sentiasa menceriakan hariku. Boleh hilang duka ketika bersama mereka. Boleh sentiasa gembira bila bersama mereka. Begitu ramai untuk disebut seorang demi seorang. Dan pastinya ada yang lebih aku sayang dan aku ambil kisah. Ada juga sekadar ambil tahu sudah mencukupi. Tidak mungkin boleh sama nilai antara semuanya. Aku juga insan lemah.

Buat kamu yang aku sayang dan aku kisah. Semoga kita bahagia dunia dan akhirat. Teruskan semangat. Yosh!



Ikhlaskan hatimu

Bismillahi wal hamdulillah

Apa akan jadi kalau kita tak redha dan ikhlas? Terutamanya ketika menerima suatu keputusan yang langsung kita tak harapkan. Tak redha dan ikhlas dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Tak redha dan ikhlas dalam perhubungan. Tak redha dan ikhlas dalam percakapan. Tak redha dan ikhlas dalam pelbagai lagi aspek kehidupan.

Ada yang bertanya tentang ini. Terus-terang, aku bukan yang terbaik untuk memberikan pandangan dalam hal ini. Aku sendiri kadangkala masih ragu dan sangsi dengan keikhlasan hati sendiri dalam beramal. Apatah lagi ketika ditimpa sesuatu yang tidak diduga.

Ikhlas itu bersangkut-paut dengan hati, dan hati merupakan sebahagian dari diri insan yang sangat sukar untuk dicerita dan diekstrak. Kerana hati itu dijadikan sebagai sesuatu yang suci dan mulia, selagi mana ianya tunduk dan patuh kepada syariat Allah. Namun bilamana ia menyimpang dari jalan kebenaran, bertukarlah ia menjadi sesuatu yang hitam dan sesat. Ikhlas dan redha itu datang dari hati yang tunduk kepada Allah.

Bagaimana mahu mengenal samada kita redha dan ikhlas dalam sesuatu perkara? Wujud pelbagai perincian yang diutarakan oleh ulama' yang boleh kita cari dan gunapakai. Namun secara umumnya, redha dan ikhlas itu ialah apabila kita yakin dengan ketentuan Allah. Yakin bahawa apa jua yang Allah hadapkan dalam kehidupan kita akan membuahkan kemanisan di hujungnya. Yakin bahawa setiap masalah yang dihadapi bakal menjanjikan seribu satu ketenangan di hadapan sana. Yakin bahawa setiap hajat kita yang tidak dipenuhi bakal digantikan dengan sesuatu yang lebih baik di masa hadapan. Jika ada ciri-ciri ini dalam diri kita, kita sedang menuju ke jalan yang betul insyaAllah. Namun, ada banyak lagi perincian tentang ini, dan ini hanyalah sebahagian kecil darinya.

Kalau kamu ikhlas dalam menerima ketentuan ini, aku juga ikhlas menerimanya insyaAllah. Mungkin rasa dan nampak sukar pada mulanya, namun semuanya akan ok insyaAllah. Percayalah dengan Allah, kerana Dia yang merencanakan semua ini untuk kita.

Harap membantu bagi yang bertanya.

Jadilah Baik

Bismillahi wal hamdulillah

Entah kenapa sungguh sukar hendak menjadi baik. Setiap kali ingin menuju kebaikan, setiap kali itu jugalah aku terjatuh dan tersembam. Seolah-olahnya sudah tertutup pintu kebaikan untuk aku. Atau sebenarnya, kelemahan dan kedhaifan diri yang menutupkan pintu itu. Kadangkala terfikir, sampai bila akan terus begini? Jawapan yang sudah ada di tangan, namun masih berdolak-dalih hendak mencari jawapan lain.

Kita bertanggungjawab atas tindakan kita sendiri. Sejak akil baligh kita dilepaskan dari tanggungan ibu dan ayah kita. Dosa dan pahala, salah dan benar semuanya terletak atas kepala kita. Sebab itu semasa kecil ibu dan ayah menitik beratkan pendidikan agama untuk kita agar kita dapat menjalani kehidupan yang selari dengan syarat Islam.

Namun selalunya kita bertindak bersimpangan dengan apa yang Islam ajarkan. Setiap kali itulah kita cuba untuk mencari alasan selain dari diri kita untuk dipersalahkan. Kita cuba untuk merasionalkan tindakan kita yang salah itu, sedangkan kita tahu bahawa kita yang memilih untuk bertindak sedemikian. Apa nak jadi dengan kita ni?

Dalam surah Ar-Raad ayat 11, Allah s.w.t berfirman bahawa “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, kecuali mereka sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka ”. Bila kita nak ubah diri kita? Nak tunggu nazak?

Peringatan yang sangat keras buat diri yang selalu leka. Sahabatku, ingatan ini untuk diriku. Bantulah aku untuk menjadi baik. Tegur aku jika aku leka dan lalai dalam mengingatiNya. Sedarkan aku jika aku sudah mula menyimpang dari jalanNya.

Ambillah iktibar dari kekhilafan diriku. Moga kamu tidak menjadi seperti diriku.

Ampunkan kami Ya Allah.

Infaklah walau seringgit

Bismillahi wal hamdulillah

Syukur pada Allah masih bernyawa sehingga sekarang. Setiap detik yang Allah kurniakan pada kita di dunia ini adalah satu peluang untuk kita lebih dekatkan diri padaNya. Moga kita semua masih dapat menikmati anugerah Allah ini (paling kurang sampai minggu depan =) ) dan semoga kita sentiasa terbimbing dan dibimbing dalam melakukan setiap urusan kita.

Ada mesej yang ingin saya sampaikan kali ini. Ada peluang untuk melakukan amal jariah bagi mereka yang inginkan bon akhirat. Dalam surah Al-Hadid ayat 7, Allah mengumpamakan mereka yang menginfakkan hartanya di jalan Allah adalah seperti sebutir biji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai. Pada setiap tangkai itu ada seratus biji buah. Besar pahala mereka yang infak pada jalan Allah. Namun semua itu tidak dapat dilihat di dunia ini, tetapi semua itu akan membantu kita di akhirat kelak, ketika berhadapan dengan Dia.

Sebahagian dari harta kita diperlukan untuk membantu pembelian bangunan yang akan digunakan dalam menyemarakkan lagi dakwah, terutamanya dakwah kepada non-Muslim.

Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI), memerlukan bantuan berupa sumbangan wang untuk membeli sebuah bangunan yang akan digunakan sebagai markas dalam menggerakkan kerja dakwah IPSI.

IPSI adalah sebuah badan bukan kerajaan yang telah hampir 18 tahun bertapak di Pulau Pinang. IPSI bertindak sebagai sebuah badan dakwah yang memfokuskan kepada mengajak non-Muslim untuk memahami Islam dengan pemahaman yang berlandaskan Al-Quran dan Sunnah.

Dengan terbelinya bangunan ini, ia bakal dijadikan sebagai One Stop Centre untuk kerja dakwah IPSI. Walaubagaimanapun, semua ini hanya mampu tercapai sekiranya IPSI dapat membayar penuh pembelian bangunan tersebut dalam masa kurang dari 3 bulan ini sebanyak RM1.7 juta. Bangunan tersebut terletak di kawasan pusat bandar Pulau Pinang berkeluasan 5549 kaki persegi (4 tingkat).

Gambar bangunan

Oleh itu, saya menyeru semua yang punya keinginan untuk membeli bon akhirat agar sama-sama kita beramal jariah. Sampaikan kepada ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat-handai yang lain agar kita dapat merealisasikan impian yang mulia ini.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi Bank Islam : 07025010021464

Bagi mereka yang mengenali saya, anda boleh sampaikan melalui saya. Anda boleh infakkan sebanyak mana yang anda inginkan ataupun anda boleh menyertai skim wakaf yang dibuat iaitu RM300 untuk 1 kaki persegi. Untuk itu anda boleh lawati laman web IPSI di http//www.ipsi.com.my untuk maklumat lanjut.

Moga sumbangan kita ini bakal menjadi penjamin kita untuk sampai ke syurga sana, insyaAllah.


Happy Eid

Bismillahi wal hamdulillah

Telah sampai kita ke penghujung Ramadhan Al-Mubarak. Sungguh cepat sekali rasanya perjalanan Ramadhan kali ini. Mungkin dek kerana kesibukan dengan tugas dan kerja, tak terasa sangat sebulan hampir berlalu. Sememangnya bila tiba di akhir bulan yang mulia ini, rata-ratanya sudah mula sibuk dengan persediaan untuk menyambut satu hari yang mulia, iaitu Eidul Fitr. Dan sememangnya kita disuruh untuk menyambut hari raya ini dengan meriah. Oleh sebab itu antara hari yang diharamkan untuk kita untuk berpuasa ialah pada Eidul Fitr.

Meriahnya sambutan tersebut bukanlah kerana telah berlalunya Ramadhan. Meriahnya sambutan adalah kerana meraikan kejayaan kita untuk mengekang dan mengawal diri dan nafsu sepanjang bulan tersebut. Ini bermaksud kita berjaya untuk menjadi hamba Allah yang sebenar-benarnya. Sebab itu Eidul Fitr lebih terasa bagi mereka yang benar-benar mengerti akan hakikat Ramadhan.

Lantas, setelah melalui sebulan madrasah an-nafs, tibalah masanya untuk kita menghisab dan muhasabah diri kita. Adakah kita sudah mencapai objektif Ramadhan kali ini? Apakah kita sudah mencapai maqam taqwa seperti yang telah Allah nyatakan dalam surah Al-Baqarah ayat 183? Sering kita ulangi semua ini, sehinggakan kita sudah menghafal segala yang berkaitan dengannya. Ada yang menganggap ucapan ini sebagai ayat retorik mereka yang mahu digelar alim, sedangkan ini sebenarnya pernyataan Allah s.w.t. Dan ianya perlu diulang-ulangi kerana kita selalu lupa dan alpa. Kerana sesungguhnya ingat-memperingati itu bermanfaat untuk orang mukmin.

Justeru, mari kita tekad dan nekad agar segala amalan yang kita lakukan dalam Ramadhan kali ini kita akan teruskan di bulan-bulan seterusnya. Walaupun tidak sebanyak yang kita lakukan dalam Ramadhan, kita teruskan jua legasi ibadah tersebut. Kerana sesungguhnya Allah menyukai hambaNya yang melakukan ibadah secara istiqamah, walaupun sedikit.

Ikhlaskan hatimu mohon kemaafan agar leburlah dosa di tapak tanganmu. Lupakanlah segala silap dan salah saudara-mara, sahabat-handai serta rakan taulan. Moga insan semua bersatu dalam membina ummah yang rabbani.

Jutaan kemaafan aku hulurkan buat semua sidang pembaca, sekiranya di sepanjang perjalanan blog ini, ada tulisan yang mengguris hati, merobek jiwa, menimbul resah. Sekiranya ada salah dan silap, mohon diampunkan. Salam Eidul Fitr dari Semangkuk Bijirin =)