Semangkuk Bijirin

Ingin berkongsi ilmu, pengalaman dan pendapat...

Ikhlaskan hatimu

Bismillahi wal hamdulillah

Apa akan jadi kalau kita tak redha dan ikhlas? Terutamanya ketika menerima suatu keputusan yang langsung kita tak harapkan. Tak redha dan ikhlas dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Tak redha dan ikhlas dalam perhubungan. Tak redha dan ikhlas dalam percakapan. Tak redha dan ikhlas dalam pelbagai lagi aspek kehidupan.

Ada yang bertanya tentang ini. Terus-terang, aku bukan yang terbaik untuk memberikan pandangan dalam hal ini. Aku sendiri kadangkala masih ragu dan sangsi dengan keikhlasan hati sendiri dalam beramal. Apatah lagi ketika ditimpa sesuatu yang tidak diduga.

Ikhlas itu bersangkut-paut dengan hati, dan hati merupakan sebahagian dari diri insan yang sangat sukar untuk dicerita dan diekstrak. Kerana hati itu dijadikan sebagai sesuatu yang suci dan mulia, selagi mana ianya tunduk dan patuh kepada syariat Allah. Namun bilamana ia menyimpang dari jalan kebenaran, bertukarlah ia menjadi sesuatu yang hitam dan sesat. Ikhlas dan redha itu datang dari hati yang tunduk kepada Allah.

Bagaimana mahu mengenal samada kita redha dan ikhlas dalam sesuatu perkara? Wujud pelbagai perincian yang diutarakan oleh ulama' yang boleh kita cari dan gunapakai. Namun secara umumnya, redha dan ikhlas itu ialah apabila kita yakin dengan ketentuan Allah. Yakin bahawa apa jua yang Allah hadapkan dalam kehidupan kita akan membuahkan kemanisan di hujungnya. Yakin bahawa setiap masalah yang dihadapi bakal menjanjikan seribu satu ketenangan di hadapan sana. Yakin bahawa setiap hajat kita yang tidak dipenuhi bakal digantikan dengan sesuatu yang lebih baik di masa hadapan. Jika ada ciri-ciri ini dalam diri kita, kita sedang menuju ke jalan yang betul insyaAllah. Namun, ada banyak lagi perincian tentang ini, dan ini hanyalah sebahagian kecil darinya.

Kalau kamu ikhlas dalam menerima ketentuan ini, aku juga ikhlas menerimanya insyaAllah. Mungkin rasa dan nampak sukar pada mulanya, namun semuanya akan ok insyaAllah. Percayalah dengan Allah, kerana Dia yang merencanakan semua ini untuk kita.

Harap membantu bagi yang bertanya.

0 komentar: