Semangkuk Bijirin

Ingin berkongsi ilmu, pengalaman dan pendapat...

Ramadhan Karim

Bismillahi wal hamdulillah

Sedar tak sedar, dah semakin hampir kita dengan Ramadhan. Bulan yang dinantikan oleh mereka yang menginginkan keampunan dan bonus pahala yang berkali ganda dari bulan-bulan yang lainnya. Bulan yang menyaksikan pelbagai sejarah Islam dicipta di dalamnya. Bulan yang penuh dengan barakah dan rahmat.

Alhamdulillah, sekiranya diizinkan, ini Ramadhan yang ke-24 dalam hidup ini. Muhasabah mengingati Ramadhan sebelum ini, masih banyak yang perlu diperbaiki, ditambah, ditampal, dibuang dan ditinggalkan jauh-jauh.

Khutbah hari ini mengingatkan tentang betapa bertuahnya jika kita dapat ditemukan dengan Ramadhan. Ia merupakan suatu anugerah yang tidak semua kita dapat. Ada yang pergi meninggalkan kita sebelum sempat menjejakkan kaki ke dalam bulan ini. Sebab itu kita disarankan untuk berdoa, "Ya Allah berkatilah kami dengan Rejab dan Sya'ban, dan sampaikanlah kami kepada Ramadhan".

Terasa sangat gembira kerana dapat sekali lagi peluang untuk sujud dalam bulan yang mulia ini. Tetapi ada juga rasa takut dan sedih sekiranya tidak dipandang oleh Dia yang Maha Mulia dek kerana dosa yang sarat tertulis dalam buku catatan. Pastinya ramai juga yang berasa begini. Namun seharusnya kita bersangka baik dengan Dia yang Maha Pengampun.

Telah terbukti dalam sejarah bagaimana para sahabat radiyallahu 'anhum, pada suatu ketika dahulu juga melakukan perkara yang zalim dan mungkar, tetapi akhirnya diampunkan oleh Allah dan telah menjadi ikutan kita. Syaratnya hanyalah taubat nasuha. InshaAllah kita akan diberikan kekuatan untuk terus ikhlas dalam taubat kita.

Teringat dulu masa zaman sekolah, seronoknya Ramadhan terletak kepada nak pergi solat terawikh dengan kawan-kawan. Ramai-ramai naik basikal, kadang-kadang berjalan kaki. Masjid agak jauh dari rumah. Dalam perjalanan ada banyak kedai. Balik dari masjid mesti kena singgah. Paling kurang beli air kotak. Penghilang dahaga selepas penat tungging terbalik masa solat tadinya. Sembang-sembang dengan kawan pasal gusti, pasal Dash-Yankuro. Seronoknya terletak di situ. Bila makin lanjut usia, tersedar akan hakikat yang diri sudah tua. Tua dari sudut sudah terlepas beberapa tahun untuk tekun mengabdikan diri dan menggunakan peluang dalam Ramadhan untuk mengutip sebanyak mungkin ganjaran.

Dah berumur sekarang pun masih lagi lalai. Tak sedar-sedar dah makin dekat dengan kubur. Bila-bila masa boleh dipanggil. Bersedia atau tidak. InshaAllah, langkah pertama yang nak diambil, membersihkan hati. Bersih dari segala fitnah dan sifat mazmumah. Cakap memang senang, cuba buat. Sangat susah. Kadang-kadang sampai dah putus asa. Tapi bila jatuh, kita kena bangun semula. Mulakan balik apa yang dah kita buat. Usaha yang lepas itu tidak akan jadi sia-sia. Semua yang dah kita buat akan diambil kira.

Moga kita dibantu oleh Allah dalam setiap perbuatan kita sehari-hari. Allah suka akan hambaNya yang sentiasa mengadu dan berdoa padaNya. Jom kita mengadu banyak-banyak dalam Ramadhan ni.

Ramadhan Karim! =)

2 komentar:

Salam 'alaik.
Sungguh.
Tak sabar tunggu Ramadhan datang.
Hati rasa terlebih riang.
Lagi excited dari nak raya.
Moga dipanjangkan usia utk sama2 kutip "duit raya" @ pahala di bulan Ramadahan ni..Amiin..(^_^)

 

salam...
insyaAllah,moga dapat Ramadhan terbaik.