Semangkuk Bijirin

Ingin berkongsi ilmu, pengalaman dan pendapat...

Jangan Menyerah

Bismillahi wal hamdulillah

Manusia itu perlu diingatkan dari masa ke semasa. Sesuai dengan kata asal insan itu sendiri yang bermaksud lupa, semestinya peringatan perlu disampaikan saban hari. Oleh kerana sifat manusia yang pelupa, Allah s.w.t telah melantik para rasul sebagai nazir atau pemberi peringatan kepada umat manusia. Namun, ramai yang mengingkari peringatan yang disampaikan yang akhirnya melayakkan mereka tercampak ke dalam neraka, wal'iyazubillah.

Di zaman kita sekarang tidak ada lagi nabi mahupun rasul. Yang tinggal hanyalah mukjizat dari Rasul terakhir, iaitu Quran dan tidak dilupakan sunnah Nabi s.a.w. Mereka yang dekat dengan majlis-majlis ilmu akan sentiasa diperingatkan tentang isi kandungan Quran. Malang bagi mereka yang jauh dari majlis seperti ini kerana mereka tidak mendapat pengisian dari sumber Islam nombor satu ini.

Kadangkala Allah s.w.t memberikan peringatan dalam bentuk ujian dan masalah. Sengaja Allah memberikan kita halangan untuk melihat sejauh mana kita ingat padaNya dan betapa sabarkah kita ini. Ada yang diuji dengan kematian orang terdekat, ada yang dibuang kerja, ada yang mengalami kerosakan kereta di tengah jalan dan sebagainya. Ujian yang ditimpakan bukanlah suatu kebencian Allah kepada hambaNya, tetapi lebih kepada suatu tanda yang Allah masih sayang dan memberi peluang kepada kita untuk kembali kepadaNya, insyaALlah.

Kerap menitis air mata atas sejadah 3-4 hari belakangan ini. Terasa agak berat ujian yang diberikan. Tapi aku yakin dan optimis, semuanya akan membuahkan jannah, suatu ganjaran yang bukan semua orang boleh menikmatinya.

" Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, maka Allah akan membukakan jalan keluar kepadanya bagi setiap masalah dan memberikannya rezeki dari pintu yang tidak disangka-sangka. Sesiapa yang bertawakkal kepada Allah, maka cukuplah Allah baginya" At-Talaq 2-3



0 komentar: