Semangkuk Bijirin

Ingin berkongsi ilmu, pengalaman dan pendapat...

Ujian Itu Bersebab

Bismillahi wal hamdulillah

Rasa letih post call masih berbaki. Terasa mahu tidur sahaja sehinggalah hari bekerja seterusnya. Hanya tidur mampu menenggelamkan fikiran tentang hospital. Tapi tahu semua itu tidak boleh dibuat, kerana masih ada tanggungjawab lain yang perlu dipenuhi.

Banyak yang berlaku dalam hidup sejak mula bekerja. Terlalu banyak hingga tak tahu apa yang perlu dicerita. Perasaan bercampur-baur. Bahagian terbesar ialah tak gembira.

Ingat lagi waktu belajar dulu, aku selalu diperingatkan untuk ikhlas dalam hidup dan kerja. Masa tu senang sangat nak menerima dan menghayati. Hakikatnya bila dah masuk alam bekerja, terlampau susah untuk menghayati. Semuanya kerana tak ada perasaan suka dan cinta. Bila tak ada suka, semuanya akan jadi terpaksa. Bila itu berlaku, tak ada lagi ikhlas dalam bekerja.

Hairan bagaimana seorang manusia terlupa yang dia ialah manusia, dan dia juga berurusan dengan manusia lain, yang penuh dengan keterbatasan dalam serba-serbi. Dia mengharapkan setiap permintaannya dilunas dengan sepenuhnya, dalam keadaan sedar yang dirinya juga tidak mampu untuk berbuat demikian.

Aku semakin banyak menyumpah sejak akhir-akhir ini. Panas baran juga makin hari makin menjadi-jadi. Semua sibuk, semua ada kerja yang perlu dilakukan. Bila ada yang bertindak bodoh meminta sesuatu dengan kadar segera, sedang aku tengah sibuk dengan kerja yang lebih penting, mulalah suara ditinggikan. Cuma belum keluar cacian dan makian. Masih ada sekelumit sabar dalam diri.

Kenapa begitu sukar mengharungi profesion yang mulia ini? Mungkin kerana ia terlampau mulia, hingga semua yang ingin mengejarnya perlu diuji sehingga dia patah dan trauma.

Rasulullah seorang yang mulia. Mulia baginda bukan saja di sisi manusia, bahkan yang lebih penting di sisi Allah s.w.t. Ujian yang dihadapi oleh baginda bukan calang-calang ujian. Baginda dihina dan diherdik secara terang-terangan. Baginda pernah dibaling batu dan najis. Baginda juga menerima ugutan bunuh setiap masa.

Baginda diuji dengan ujian yang sangat berat setiap masa. Para sahabat yang berada di sisi baginda juga terasa bahang ujian itu. Akhirnya baginda berjaya mendidik dan membentuk sekumpulan manusia yang mampu menakluki 2/3 dunia, berkat dari kesabaran, ketabahan, keikhlasan dan bantuan dari Allah s.w.t.

Setiap kali aku berasa lemah, aku ingatkan diri aku tentang fakta ini. Setiap kali aku ingat pasti akan menangis menginsafi kelemahan diri.

Kita lemah, tak berdaya. Hanya Allah yang mampu mengangkat segala ketidakupayaan kita dan melancarkan segala gerak kerja kita. Ada seorang kawan aku bukan beragama Islam. Secara terang dia berkata betapa baru dia sedar impak berada dekat dengan tuhan kepada hidupnya.

Kita umat Islam paling kurang 5 kali sehari bersolat. Acara rasmi kita berhubung dengan Allah. Ditambah dengan di luar solat bila kita berzikir kepada Allah. Begitu dekat kita dengan Allah. Terlebih pasti Allah akan menolong kita. Tapi kita harus tahu dan sedar yang kita perlu menolong diri kita terlebih dahulu. Kerana Allah takkan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka sendiri melakukan perubahan kepada diri mereka dulu.

Damailah hati. Sedarilah satu hari nanti kau akan tenang dan aman di bawah naungan Ilahi. Dan di saat itu tidak akan terlintas ingatan dan memori susah payahmu ketika di sini.

Teruskan berdoa wahai diri, dekatkan dirimu pada penciptamu. Jika ditakdirkan kamu gugur dan rebah hari ini, ketahuilah bahawa gugur dan rebahnya dirimu itu dalam dakapan Ilahi.

Wallahu musta'an.

2 komentar:

baru masuk klinikal year dah sedih,apatah lagi kerja HO nnt kan.

sabar2..bgus entry ni,menyedar kan saya ahak~

*rasa cam tersalah komen kat tempat lain.so komen dua kali benda sama.huhu

lilin~

 

Sedih tu perkara biasa. Semua orang sedih bila buat benda yang tak suka, kena paksa ke. Especially dalam medical profession. Confirm akan stress. Anyhow kena cari gak la cara nak mempositifkan benda2 yg negatif. Setiap orang ada cara sendiri. Find your own way, and you'll be fine inshaAllah.

=) always