Semangkuk Bijirin

Ingin berkongsi ilmu, pengalaman dan pendapat...

Malam Harmony Carnival



22nd May 2009 (Friday)


10.00am – 10.00pm Exhibition and promotion
Multimedia show
23rd May 2009 (Saturday)


10.00am – 12.00pm Exhibition and promotion
Multimedia show
12.00pm Briefing of Colouring Competition
12.30pm – 1.00pm Competition 1 : Colouring Competition (6-8 years) & (9-12 years)
2.00pm VIPs arrive (The Cultural Show : Lion Dance & kompang)
Open Speech by the President of Jamaah Islah Malaysia.
2.10pm Open Ceremony of Harmony Carnival 2009 by Chairman of JAIS
VIPs invited : Committees of MAIS, Chairman of ACCIN & NGOs.
Cultural Show : Lion Dance from SMK Bandar Baru Ampang.
Booth tour
3.00pm – 4.30pm Forum / Dialog – (Spiritual Solution to Ecomomics Problems -
Bro. Muhammad Abdullah, Dr Ahmad Zainuddin JIM, Rep of Malaysian Hindu Sanggam, Rep of Youth Buddhist and Rep of Christian)
4.30pm – 5.00pm Lucky Draw 1
6.30pm – 8.00pm Exhibition and promotion
Multimedia show
8.00pm Malam Harmony Carnival 2009
8.05pm Open show by Indian Cultural Musical
Acrobatic Kompang
Arab’s dance culture
Nasyid by Brothers
Lucky Draw 2
Silambam (Martial Art) Show
25hb Mei 2009 (Ahad)


10.00am – 6.00pm Exhibition and promotion
Multimedia show
11.30pm- 1.00pm Briefing of Drawing Competition
Competition 1 : Drawing Competition (6-8 years) & (9-12 years)
2.30pm – 3.00pm Talk 1 (Footsteps in the light) & Prize giving
By Brother Daniel Hakim Boey the Chairman of MACMA Selangor


3.00pm-3.30pm Talk 2 (Promises of God) & Prize giving
By Sister Lana Mohamed from IIS


3.30pm-4.00pm Talk 3 (Mercy like the rain) & Prize giving
By Syed Barkat the Chairman of Al-Hunafa’


5.00pm – 6.00pm Closing ceremony
VIPs : Chairman of Hidayah Centre

Fikir-fikirkan

Orang selalu cakap hidup kita ni macam roda. Kejap kat atas kejap kat bawah. Bila kita ada kat atas di kemuncak, kita rasa amat bahagia, puas dan senang dengan kehidupan kita. Masa tu kita bagaikan seorang kanak-kanak yang mendapat aiskrim di kala bermain di taman permainan. Perasaan begitu melonjak sehinggakan kadangkala terlupa akan batasan-batasan yang perlu dipatuhi dan dituruti.

Bila ada kat bawah, kita mula rasa tidak senang. Perasaan putus asa sering membayangi setiap tingkah laku dan perbuatan kita. Setiap yang kita buat pasti akan berasa tak bersemangat dan tak kena. Kadang-kadang ia membawa kita kepada kerja yang terbengkalai tak siap, dek kerana perasaan yang begitu meresahkan. Pemikiran nak mengasingkan diri dari dunia mula terbit di setiap sulcus otak kita. Akhirnya kita merana akibat terlampau lama berada kat bawah. Kemudian kita menghidapi penyakit kemurungan dan seumpamanya.

Ada yang mampu untuk menyembunyikan apa yang dia rasa dan alami ketika. Dia mampu untuk menjalani kehidupan dengan baik tanpa mendedahkan perasaan sebenar kepada rakan-rakan. Walaubagaimanapun ada juga yang langsung tidak mampu untuk menahan sedikit pun daripada menunjuk dan mencurahkan perasaan ketika itu. Rakan karib menjadi tempat untuk meluahkan perasaan, sehinggakan ada yang terpaksa mencari kaunselor untuk menceritakan tentang apa yang dialami. Ada juga yang membunuh diri akibat tidak tahan sangat tekanan yang menimpa.

Itu memang perkara biasa yang terjadi kepada manusia. Perasaan manusia sangat unik sehingga kadangkala, manusia sendiri tidak dapat memahami perasaan tersebut. Kita takkan dapat memahami kesemua perasaan-perasaan ini, tapi yang pasti, kita dapat mengawal perasaan ini daripada menjerumuskan diri kita pada kedudukan yang ekstrem.

Tidak kira di kedudukan mana kita berada, di atas atau di bawah, kita perlu ingat dan bersyukur pada pencipta perasaan tersebut, iaitu Allah. Ramai yang lupa padaNya ketika berada di atas, dan ramai juga yang lupa ketika berada di bawah. Perlu diingat bahawa kita makhluk yang hina. Ingatlah kepadaNya setiap masa, kerana ia menenangkan jiwa.

Aku di kedudukan mana? :)

Imbangan Emosi

Salam...

Zaman sekolah banyak meninggalkan 1001 memori suka duka bersama rakan-rakan tersayang. Ada yang menimbulkan perasaan sedih, dan tidak kurang juga menyinarkan perasaan gembira bila mengenangkan kisah dahulu. Zaman persekolahan merupakan antara zaman indah yang terpahat di hati setiap insan yang pernah bersekolah. Di situlah mereka mengenali insan-insan yang pelbagai ragamnya, tetapi mempunya matlamat yang sama, ingin menuju ke 'menara gading'.

Di situ juga dia mula mengenali dirinya dan menyambung proses pembentukan identiti dan perwatakan. Ada yang masih comot walaupun sudah berbelas umurnya. Ada yang keras kepala dan tidak mahu mendengar kata-kata guru. Ada yang bagaikan iblis bertopengkan manusia sehingga ditumbuk terajangnya guru dan rakan sebaya. Ada yang taat dan patuh pada perintah guru. Ada yang bagaikan malaikat sehinggakan menjadi tokoh dalam pendidikan agama dan seumpamanya. Dari pemerhatian akan kelakuan dan tingkahlaku begini, para guru dapat meneka dan meramal masa depan seseorang pelajar itu.

Perwatakan dan identiti yang dibawa oleh setiap pelajar itu bakal menarik rakan-rakan yang 'sekapal' untuk berkawan dengannya. Ada yang mempunyai kawan yang sepadang bola jumlahnya. Ada yang hanya mempunyai beberapa orang tetapi cukup untuk bermain pool atau snuker. Ada yang tidak langsung digemari oleh yang lain sehingga dipulaukan akibat asyik berkepit dengan buku sahaja. Begitulah adat berkawan di sekolah.

Aku punya seorang kawan yang aku hormati dan sanjungi kerana ketokohannya dalam pelajaran dan kebaikan layanannya terhadap rakan-rakannya. Namun rakan ini tidaklah berada dalam sekolah yang sama denganku. Beliau merupakan rakan setaman. Selalu bermain bola bersama ketika zaman sekolah dahulu. Sering juga melepak di kedai mamak, berbual kosong dengan rakan-rakan lain.

Setelah zaman sekolah, semua mengikuti jejak masing-masing untuk menggapai cita-cita yang murni. Aku dan rakanku ini, Amin (bukan nama sebenar), berpisah agak sekian lama akibat belajar di institusi di negeri yang berbeza. Baru-baru aku telah terserempak dengan Amin di sebuah pasaraya di kampungku. Gembiranya hatiku setelah sekian lama tidak berjumpa. Setelah bertukar nombor, kami merancang untuk betemu di kedai mamak berdekatan rumah esoknya.

Seperti yang dijanjikan, kami bertemu keesokan harinya. Sejak dari mula aku bertemunya pagi itu, aku dapat merasakan ada sesuatu yang membelenggu fikirannya. Tapi aku bersangka baik terhadapnya, mungkin tidur lambat semalam. Lama kami berbual pagi itu. Kenangkan balik zaman-zaman sekolah. Bertanyakan rakan-rakan setaman yang lain dan sebagainya. Setelah hampir kekeringan idea akan isu yang ingin dibualkan, aku masih curiga kenapa wajahnya agak muram dan tidak ceria seperti aku kenal sebelumnya. Aku terus bertanyakan sekiranya ada masalah yang membelenggu, melakukan tugas sebagai seorang sahabat.

Alangkah terkejutnya aku, sememangnya ada perkara yang meresahkan dirinya. Aku mula mengatur kata untuk cuba mencungkil masalah itu, bukan berniat untuk memburuk-burukkan tapi sekadar ingin membantu sekiranya mampu.

"Min, kalau hang mau crita kat aku pon takpa. Hang tau kan hang bleh caya kat aku", aku cuba meraih keyakinan rakanku ini.

"Aku tau Dad, tapi tah la. Aku malas nak pikir mende ni. Serabut otak aku", kata Amin cuba untuk tidak menceritakan masalahnya.

Aku cuba untuk tidak memaksa dia menceritakan semuanya sekiranya die enggan. Walaubagaimanapun, dia akhirnya menghemburkan segala yang terbuku di hati.

"Aku rase tak tahan la bila balik umah. Rasa lagi sesak dada. Baik aku dok kt kampus je", Amin memulakan bicara.

"Uish, awat lak?", cuba mengorek lagi.

"Susah la nak cakap. Aku tak tau hang paham ke dak. Aku rasa cam susah ah nak communicate ngan parents aku".

"Pa maksud hang?", tanyaku lagi.

"Family aku lain la dari family orang lain. Aku tengok org lain seronok je rapat ngan parents depa. Aku cam tak rapat ja ngn parents aku. Pastu bila aku cakap satu benda, kadang-kadang selalu dok wat tafsiran sendiri. Tafsiran salah lak tuh. Aku bengang ah jadi camni", hampir menitiskan air mata.

"Ya Allah, beratnya masalah rakanku ini", bisikku dalam hati. Aku cuba untuk menenangkannya. Biar dia dapat kawal emosi dulu sebelum dia meneruskan ceritanya. Aku seola-olah tidak percaya kerana ayahnya merupakan seorang pensyarah agama terkenal di salah sebuah institusi pengajian awam dan ibunya merupakan seorang ustazah yang menjadi sumber rujukan di kampungku.

"Aku tengok orang lain bes je leh sembang-sembang ngan mak ayah derang. Aku bukan setakat takleh sembang, nak jumpa pun susah. Asyik bz je manjang. Kalo jumpa pon tak tau nak sembang apa. Mak aku lak suka dok wat tah pape. Kalo tak setuju cadangan mesti dia wat kita rasa bersalah. Aku tak paham ah awat family aku lagu ni. Pada hal dok sembang kat orang pasal didik keluarga la, tu la, ni la", sambungnya dengan nada geram dan marah.

Terhembur segala-galanya. Terus-terang, aku tak pernah dengar lagi orang mengadu sebegini. Aku kaku tidak dapat mengeluarkan sepatah perkataan pun. Buntu memikirkan bagaimana hendak menolong rakanku ini. Masalah ini melibatkan environment keluarga yang tidak seimbang. Ibu bapa sedikit terabaikan anak-anak akibat bebanan kerja luar yang terlampau banyak. Akibatnya, nah, kawanku dirundung masalah.

"Aku rasa susah la nak cakap ngn mak aku tu. Rasa cam takmau balik umah ja. Baik aku dok ja kampus tu. Tenang skek", sambung lagi.

"Weh, hang toksah cakap lagu tu. Mak hang tu", cuba buat dia fikir balik.

"Aku tau. Aku sayang family aku, tapi aku dah letih", nada kembali rendah.

Aku terdiam sekali lagi, rasa pelik keadaan ketika itu. Aku tahu aku tidak sepatutnya mencadangkan apa-apa cadangan untuk dia menyelesaikan masalah itu, sebab aku memahami psikologi seorang lelaki. Aku cuba untuk mengelakkan dia dari merasa lebih tertekan dan hilang keyakinan diri.

"Sori la Dad hang kena dengaq suma ni. Tak tau pasaipa aku crita ni kat hang. Hang jangan habaq orang lain naa. Aku takmau orang lain tau", kembali tenang.

Aku dapat kesan dia seperti agak lega selepas melepaskan semua masalahnya. Rasa empati selubungi aku. Aku harap sangat dapat tolong rakanku ini. Tapi aku tahu aku telah tolong berkongsi beban yang ada di dada.

Betapa penting sebenarnya untuk mempelajari teknik komunikasi berkesan. Aku pernah menulis tentang ini sebelum ini. Jelas kita perlu belajar lagi.

Untuk membentuk sebuah keluarga yang harmoni, komunikasi antara ahli keluarga tersebut perlulah berada di tahap yang baik. Keluarga yang menjadi contoh bukanlah keluarga yang ayahnya pandai bercakap, bukanlah keluarga yang ibunya pandai mengarah dan semestinya bukanlah keluarga yang adik-beradiknya berjaya ke menara gading. Keluar contoh ialah keluarga yang mampu mengimbangkan emosi antara semua ahlinya pada tahap cemerlang.

Apa maksud imbangan emosi? Imbangan emosi bermaksud putaran emosi yang sekata antara semua ahli keluarga. Ini bermaksud, tidak ada seorang yang menanggung bebanan perasaan berseorangan. Jika sedih menyelubungi keluarga, mungkin akibat kematian orang tersayang, setiap ahli keluarga akan merasai dan menanggung bebanan perasaan yang sama, atau paling kurang, memahami dan menunjukkan yang dia memahami. Jika kegembiraan menyelimuti keluarga, semua ahli akan merasainya dengan sama rata.

Bukanlah bermaksud perlu untuk keluarga itu gembira sentiasa. Masih perlu untuk ada kitaran emosi. Mana mungkin wujud insan yang sentiasa berada dalam satu keadaan emosi dan perasaan. Tidak mungkin.

Lantas untuk mewujudkan imbangan emosi yang sempurna, perlunya akan menguasai teknik komunikasi yang baik. Imbangan ini hanya dapat dilaksanakan dengan komunikasi.

Bagaimana nak menguasai teknik komunikasi yang baik? Aku bukanlah pakar dalam hal ini, tapi apa yang dapat aku lihat sepanjang pengalaman hidup ini, manusia lebih cenderung untuk bercakap daripada mendengar. Apabila kita lebih banyak bercakap daripada mendengar, kita tidak akan dapat mengetahui apa yang terselindung di sebalik pemikiran orang lain. Jika kita bersedia untuk mendengar, maka kita akan lebih mudah untuk meneka akan harapan yang tersirat atau pun yang terpendam di dalam hati sanubari insan lain. Seterusnya akan terjalinlah ikatan yang lebih mesra di antara ahli keluarga dengan terhasilnya komunikasi yang berkesan.

Yang kedua, pandangan orang lain haruslah dipertimbangkan. Bagi ibu bapa, jika anak-anak memberikan pandangan, pertimbangkanlah pandangan tersebut. Walaupun pandangan tersebut bukanlah yang terbaik, sekiranya boleh dibawa berbincang dengan anak-anak tentang pilihan yang ada, adalah lebih baik.

Dalam hal pengurusan rumahtangga, aku suka melihat bagaimana Saifulislam mengendalikan hal anak dan juga isteri. Bagaimana beliau berkomunikasi dengan anak-anak benar-benar membuka pemikiranku kepada teknik komunikasi rumahtangga yang efektif. Aku tidak mengatakan bahawa beliau adalah contoh terbaik, tetapi bagiku dia adalah contoh terdekat yang dapat dilihat untuk diambil pengajaran. Mungkin anda boleh mengikutinya di Saifulislam.com dan bacalah artikel-artikel yang ditulis. Moga sama-sama dapat manfaat.

Moga penulisan kali ini dapat menggalakkan diri kita untuk mempelajari ilmu yang semakin dipandang enteng oleh masyarakat iaitu komunikasi berkesan. Dipersilakan untuk semua berkongsi jika ada apa-apa pandangan dan cadangan.

Umat Muhammad

Terasa lawak apabila memikirkan bagaimana senangnya kita jatuh tersungkur di dalam jerangkap samar permainan fikiran yang dipengaruhi bisikan iblis. Sedangkan kita merupakan umat terpilih dan dimuliakan oleh Allah s.w.t. Umat Muhammad mendapat tempat yang tinggi di sisi Ilahi sehinggakan, syurga takkan dijejaki oleh manusia lain melainkan dijejaki dahulu oleh umat Muhammad. Begitulah maqam kita di akhirat sana.

Mungkin dek kerana gah akan kelebihan yang diberikan, umat Muhammad telah terlupa akan kriteria yang perlu dipenuhi sebelum boleh bergelar umat terbaik atau terpilih ini. Rata-rata sudah tahu ciri-ciri itu, tetapi suka untuk aku mengingatkan diriku dan juga mereka yang mungkin sudah terhantuk kepalanya, sehingga mengalami amnesia buat sementara waktu.

Dalam surah Ali-Imran ayat 110, Allah telah berfirman;

كُنۡتُمۡ خَيۡرَ اُمَّةٍ اُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَاۡمُرُوۡنَ بِالۡمَعۡرُوۡفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ الۡمُنۡكَرِ وَتُؤۡمِنُوۡنَ بِاللّٰهِ‌ؕ
"Kamu merupakan sebaik-baik umat yang telah dikeluarkan oleh Allah dari kalangan manusia, kamu menegakkan ma'ruf dan mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah"

Sepatutnya kita mampu untuk menangkis segala pengaruh yang cuba menodai kesucian fikiran kerana janji Allah s.w.t dalam ayat. Allah telah meletakkan kita di atas, mengatasi umat-umat yang lain tanpa perlu kita berusaha secara lebih, sepertimana kita berusaha untuk mencapai cita-cita kita di dunia ini. Kita tidak perlu untuk melakukan apa-apa kerja tambahan untuk mendapat gelaran umat terbaik ini. Kita tidak perlu untuk mempunyai pengaruh yang besar di kalangan manusia untuk meloloskan diri kita bagi mendapat gelaran ini. Kita tidak perlu membodek sesiapa bagi memperoleh gelaran ini. Gelaran ini diberikan kepada umat Muhammad yang telah mengucapkan kalimah suci syahadah, dengan memperakui Allah sebagai Tuhan Yang Esa, dan Muhammad adalah rasulNya.

Apabila telah menjadi golongan umat Muhammad, secara terus, kita memegang taklifan sebagai seorang Muslim khalifah di atas muka bumi ini. Lantas perlu untuk kita melakukan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan yang telah ditetapkan oleh syariat.

Apakah antara taklifan yang perlu disandang dan disempurnakan untuk digelar umat terbaik ini. Umar Al-Khattab radiyallahu'anhu, ketika mentafsirkan ayat di atas, beliau menyatakan bahawa umat terbaik ini hanya akan diberikan jika memenuhi kriteria-kriteria yang disebutkan dalam ayat tersebut. Yang pertama, menegakkan ma'ruf. Yang kedua, mencegah kemungkaran, dan yang terakhir berimana kepada Allah.

Kita lihat pada hari ini, umat Islam bagaikan tidak berdaya untuk bersaing dengan masyarakat lain dalam segenap bidang. Umat Islam dilanyak dan dibunuh hampir setiap hari. Isu Palestin, yang bermula sejak tahun 1948 sehingga kini masih belum mendapat kata penyelesaian, sehinggakan ramai umat di sana syahid akibat dihujani peluru dan bom hampir setiap hari. Umat Islam di tempat lain hanya mampu menyaksikan sahaja bagaimana kesengsaraan yang dialami masyarakat Palestin. Kita menubuhkan badan negara-negara Islam untuk memperjuangkan dan membebaskan kiblat pertama umat Islam, namun apa yang kita dapat saksikan hari ini, suara badan negara-negara Islam itu seolah-olahnya tidak mampu untuk menyelesaikan permasalahan tersebut. Mengapa ini boleh berlaku sedangkan kita umat terbaik?

Persoalan ini mungkin boleh terjawab dengan merujuk kembali kepada wahyu Allah di atas. Sebenarnya kemungkaran di dunia kita dah terlampau jauh mengatasi ma'ruf yang kita inginkan. Rasanya semua dah tahu akan hal ini, saja nak cakap juga sebagai peringatan kepada kita semua. Kita lihat di negara kita Malaysia sahaja, dah tak dapat gambarkan dengan perkataan betapa banyak dan meluasnya pengaruh mungkar ini. Aku menulis ini dengan perasaan kesal dan kecewa kerana kadangkala aku juga terpengaruh dengan perkara mungkar ini. Semakin kita terdedah kepada dunia, semakin kita terlupa akan kerja kita.

Dengan perkembangan teknologi yang begitu pesat sehinggakan tidak terjangkau untuk peroleh satu per satu, ia seolah-olah membuka pintu gerbang kepada kemungkaran untuk meresap masuk dan seterusnya mempengaruhi minda dan pemikiran umat Muhammad. Selagi mana ianya tidak dikawal oleh pendidikan yang bersumberkan wahyu, tidak akan sekali-kali kuasa kemungkarannya dapat dibendung.

Mungkin ada yang berkata, "Dah tahu macam tu, gunakan la untuk buat baik. Yang nak terpengaruh tu kenapa?". Ya, aku setuju. Kalau sudah tahu mana baik buruknya, pilih la yang baiknya sahaja. Namun hakikatnya kita mengetahui, manusia bukanlah robot yang hanya akan melakukan perkara seperti yang diprogramkan sahaja. Pasti manusia akan terbabas dan jatuh tersungkur.

Ibarat kita melalui satu padang yang dipenuhi dengan kemuncup, sudah pasti akan terlekat kemuncup itu di seluar kita, dan itulah yang boleh diibaratkan sebagai kemungkaran yang perlu kita cegah setiap hari.

Dengan melakukan 2 kriteria pertama sahaja tidak mencukupi untuk kita digolongkan dalam golongan umat terbaik. Kriteria ketiga iaitu iman kepada Allah menjadi pendokong kepada 2 kriteria awal tersebut. Tanpa iman, semua yang dilakukan hanyalah sia-sia. Lantas iman haruslah diteguhkan dan ditingkatkan dari hari ke hari. Iman di hati boleh diibaratkan seperti besi yang bersinar. Mana mungkin besi bersinar selama-lamanya. Pasti karat kan mencacatkan sinarannya, perlu untuk digilap semula untuk kembali bersinar. Iman juga perlu digilap setiap hari agar sinarannya mampu 'membutakan' pengaruh kemungkaran dari menodai jiwa insani.

Apabila ketiga-tiga kriteria ini kita penuhi, insyaAllah, barulah kita layak mendapat gelaran umat terbaik. Barulah kita dapat berbangga menjadi umat Muhammad al-Amin.

Andaiku Pergi



Andaiku Pergi

by: Mirwana

Cerita hidup kian berlalu
Membawaku ke penghujung
Kaku langkah kian lemah
Kelu lidah untuk bicara

Langit jingga warna senja
Desir bayu membisik duka
Kealpaan nan semalam
Inginku lepaskan luka silam

Bersama rayu doa
Damba keampunanNya

Andai diriku pergi
Tinggalkanmu sendiri
Usah kau sedih
Usah tangisi duga dari Ilahi

Andaiku pergi dulu
Tiba tika dan waktu
Telah tertulis takdir untukku
Perjanjian yang Maha Agung
Doakanku sejahtera disisiNya

Rasa gentar rasa rindu
Bertarung di fikiranku
Wajah ceria, senyum manja
Kisah kita menghapus resah

Maafkan diriku kasih
Kerna buat kau menangis
Restuiku dengan cinta
Jangan kau titiskan air mata

Pintaku redhailah
Terima kasih atas segalanya

Hidup ini sementara
Ujian pasti setia hati
PadaMu kekasih

Moga rahmat hidayahMu
Mengiringiku, menemaniku
Saat akhir waktu

Bersaksi diriku
Tiada lain hanya Kau satu
Memiliki cintaku
Ku serah segalanya kepada Mu

Ada Apa Dengan Nama

Setiap insan yang dilahirkan di bumi ini pasti akan diberikan satu nama yang bakal dibawa ke akhir hayat sebagai identiti insan tersebut. Nama yang diberikan, semestinya oleh ibu dan ayah tercinta bakal membawa makna dan doa yang menggunung tinggi, mengaharapkan keberkatan dan rahmat daripada Allah s.w.t. Bagi pasangan yang baru mendapat cahaya mata pertama, buku-buku nama-nama Islami sudah pasti menjadi panduan dalam memberikan nama kepada cahaya mata tercinta.

Ada ibu bapa yang memberikan nama kepada anak-anak mereka berdasarkan kepada tema-tema atau kategori-kategori yang tersendiri. Sebagai contoh kita dapat melihat bagaimana adik-beradik daripada sesuatu keluarga mempunyai permulaan nama yang serupa, mungkin bermula dengan Muhammad untuk setiap anak lelaki dan Nurul untuk setiap anak perempuan. Ada juga yang menggunakan nama-nama Allah yang mulia untuk dijadikan nama setiap anak-anak, tidak kurang juga yang menggunakan nama-nama sahabat radiyallahu'anhum.

Namun, tidak kira apa jenis tema atau kategori pun, yang menjadi asas ialah nama itu membawa maksud dan makna yang baik dan tidak mengaibkan. Kadangkala kita dapat melihat dan mendengar nama-nama yang begitu pelik dan aneh yang telah diberikan kepada seseorang individu. Ini bukanlah satu amalan yang sihat kerana ianya mampu memberikan impak dan kesan yang negatif kepada anak tersebut dan menjadi satu kesukaran baginya untuk bergaul dengan rakan seusia dengannya. Namun, kita tidak boleh meletakkan kesalahan secara mutlak ke atas ibu bapa yang telah bertanggungjawab memberikan nama tersebut kerana mungkin pada ketika itu mereka tidak mengetahui.

Bagi insan lain yang mempunyai nama yang indah, penuh makna tersendiri, adalah menjadi tanggungjawab insan tersebut untuk bertanggungjawab ke atas nama yang dipegangnya. Tanggungjawab ini merupakan satu tanggungjawab yang diberikan secara tidak langsung untuk dipikul sehingga dipanggil menghadap Yang Esa. Tanggungjawab tersebut ialah berlaku adil pada nama tersebut.

Seperti yang disebutkan sebelum ini, setiap nama mempunyai maksud dan maknanya yang tersendiri. Maka harus bagi kita untuk tidak melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan maksud nama yang telah diberikan agar ianya terpelihara daripada kecacatan.

Nama yang telah diberikan kepadaku, Miqdad. Setiap kali aku bertemu dengan kenalan baru, pasti satu soalan bakal ditanyakan kepadaku, dan aku sudah menduga.

"Apa maksud Miqdad eh?"

Aku telah beribu kali disoal akan soalan ini, namun pada setiap kali itulah aku gagal memberikan jawapan yang memuaskan hati aku. Aku tidak tahu apa maksudnya yang sebenar-benarnya. Seringkali aku bertanyakan ustaz-ustaz arabku, mereka suruh aku mencari jawapannya sendiri. Tak mengapa, akan ku sentiasa mencarinya hingga akhir hayatku.

Namun aku tahu sedikit-sebanyak tentang sejarah insan yang mula-mula dikenali dengan nama Miqdad ini. Sungguh mengagumkan. Akan kukongsi bersama.

Miqdad bin Amr atau lebih dikenali sebagai Miqdad Al-Aswad merupakan salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w yang begitu berani dan gagah. Beliau adalah antara 4 orang yang Rasulullah sabdakan dicintai oleh Allah dan rasulNya. Dalam kelompok para sahabat, Miqdad dikenali sebagai seorang yang amat berani bertanya kepada Rasulullah tentang apa jua perkara yang menjadi tanda tanya di hatinya.

Jika disingkap kembali sejarah Miqdad, beliau dilahirkan Hazar Maut di Yaman. Beliau telah dibesarkan di sana. Namun pada suatu ketika berlaku pertelingkahan di antara Miqdad dan seorang bernama Abu Shimr yang menyebabkan Miqdad terpaksa melarikan diri ke Mekah. Di Mekah, beliau telah diambil untuk menjadi hamba oleh seorang yang bernama Aswad bin Abd-e-Yaghus. Dari situlah nama Miqdad al-Aswad muncul.

Beberapa ketika selepas itu, Rasulullah mula menyebarkan Islam di kota Mekah. Mendengar tentang ini, Miqdad tanpa ragu-ragu terus berjumpa Rasulullah dan mengucapkan kalimah syahadah di depan baginda. Beliau merupakan antara golongan 7 terawal masuk Islam. Sejak memeluk Islam, beliau tidak pernah berasa ragu dan gusar akan nasib yang bakal menimpanya. Beliau amat yakin dan percaya kepada Rasulullah dan risalah yang dibawa baginda.

Dalam sirah peperangan Islam, Miqdad dikenali sebagai seorang yang amat berani dan pandai dalam teknik-teknik penggunaan senjata dan menunggang kuda. Dalam peperangan Badr, jumlah tentera umat Islam begitu sedikit jika dibandingkan dengan jumlah tentera musyrik yang begitu ramai dan lengkap bersenjata dan kenderaan. Pada ketika itu umat Islam hanya mempunyai 2 ekor kuda sahaja, dan salah satunya telah diberikan kepada Miqdad. Miqdad telah menunjukkan keberanian yang amat luar biasa apabila dia berseorangan memacu kudanya ke tengah-tengah pasukan tentera musuh dan berjaya mengkucar-kacirkan musuh dari dalam kelompok mereka sendiri. Subhanallah, sungguh hebat insan bernama Miqdad ini. Begitulah juga keadaan dalam perang-perang yang berikutnya. Keberanian Miqdad tidak dapat disangkal oleh mana-mana pihak. Itulah kelebihan yang telah Allah kurniakan kepada Miqdad.

Selain daripada keberanian beliau di medan perang, beliau juga dikenali sebagai seorang yang kaya-raya. Walaupu pada asalnya beliau merupakan seorang hamba dan miskin, namun, berkat daripada doa Rasulullah dan rahmat daripada Allah, beliau dikurniakan dengan harta yang banyak. Sehingga dikatakan selepas kematian beliau, beliau menginfakkan sejumlah harta yang banyak kepada Hasan dan Husein sebagai tanda pengharagaan kepada Rasulullah.

Miqdad al-Aswad mati ketika umurnya mencecah 70 tahun. Dikatakan beliau mati diakibatkan oleh penyakit yang tidak diketahui pada ketika itu. Namun kematiannya tidak menghentikan sejarah kegemilangan hidup beliau bersama Islam. Sejarahnya akan terus diulang-ulangi agar dapat melahirkan generasi yang mampu memperjuangkan Islam seperti mana beliau menggadai nyawa mempertahankan Islam.

Begitulah hebatnya para sahabat, mereka mampu mempertaruhkan nyawa demi kepercayaan mereka kerana mereka menghayati Islam dalam setiap aspek kehidupan mereka. Kita mengharapkan dapat menjadi seperti mereka suatu hari nanti. Menjadikan Islam sebagai agenda utama diri, bukanlah suatu perkara yang mudah di zaman serba mencabar ini. Ia memerlukan kesungguhan dan keyakinan yang mega dalam melaksanakan agenda tersebut. Moga-moga kita mampu untuk mencapai apa yang kita kejarkan dan harapnya, Miqdad zaman ini mampu mencontohi Miqdad al-Aswad yang sememangnya sukar untuk dicapai.

Amalan Robin Hood

Melakukan kerja-kerja amal adalah merupakan satu tuntutan agama. Dalam senario masyarakat di Malaysia pada hari ini, budaya membuat amal ini bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Ya, masyarakat kita memang kaya dengan sikap mengambil peduli akan kesusahan insan-insan lain yang tidak bernasib baik. Bukan sekadar mengambil peduli, bahkan sanggup untuk mengeluarkan wang ringgit bagi membantu golongan tersebut.

Sehinggakan ramai dari kelompok korporat yang menganjurkan majlis amal, makan malam amal dan konsert amal bagi mengumpul dana dalam mengimarahkan budaya membuat amal ini. Ya, kita puji sikap sedemikian, dan kita harap agar ianya kan terus mekar sehinggalah ke bila-bila.

Namun persoalan yang ingin dilontarkan kali ini ialah, adakah ianya merupakan amalan yang selari dan diterima oleh Islam?

Membuat amal memang satu perkara yang mulia dan kita doakan agar orang yang terlibat diberikan ganjaran oleh Allah s.w.t, tetapi adakah setiap amal yang kita lakukan seiring dengan tuntutan agama?

Islam tidak menyuruh umatnya melakukan amal dengan banyaknya, tetapi hendaklah melakukan amal soleh. Apa beza antara amal soleh dengan amal biasa yang orang biasa buat selama ini? Jom kita cari persamaan dan perbezaannya bersama.

Amal soleh ialah amalan yang dilakukan oleh seorang mukmin dengan niat yang ikhlas dan tawadhuk melalui cara atau kaedah yang selari dengan ajaran Islam. Yang menjadi titik perbezaan dengan amal biasa yang dilakukan ialah kaedahnya, samada syar'i ataupun tidak.

Kita lihat banyak majlis-majlis diadakan untuk mengutip dana bagi membantu negara-negara miskin, sebagai contoh, Darfur yang dilanda dengan seribu satu masalah sehinggakan rakyatnya kebuluran. Kita puji usaha-usaha yang dilakukan. Tetapi adakah ianya amal soleh?

Dalam majlis tersebut diadakan persembahan-persembahan artis yang terlompat-lompat di atas pentas, menyanyikan lagu-lagu yang tidak membawa kepada peningkatan iman dan keinsafan. Adakah ianya soleh?

"Takpe la, biar la derang buat. Janji dapat duit nak tolong orang kat sana"

Ya, memang setuju. Beratus ribu dapat dikumpulkan dengan menganjurkan program sebegini. Namun kita risau tentang status duit tersebut apabila dikumpulkan melalui program-program sebegitu. Niatnya sudah murni, tetapi kaedahnya keji.

Suka untuk mengingatkan semua akan sebuah cerita yang telah menjadi hafalan setiap manusia. Cerita tentang seorang manusia yang suka membantu manusia lain yang ditindas dan miskin. Pasti semua pernah mendengar tentang Robin Hood. Dia merupakan seorang insan yang dilahirkan dalam keluarga yang sederhana, tetapi mempunyai visi dan misi yang mulia. Robin Hood dari hutan Sherwood di Nottinghamshire.

Robin Hood bagaikan hero dan penyelamat bagi golongan miskin kerana sering membantu mereka ketika dalam kesusahan. Dia seringkali merompak orang-orang kaya, yang pada masa itu menindas golongan miskin dan mencuri duit golongan miskin. Jadi Robin Hood datang untuk menegakkan keadilan. Dia merompak orang-orang kaya dan memberikan hasil rompakan kepada golongan miskin.

Sungguh murni tindakan Robin Hood. Jika adalah seorang manusia yang boleh dikategorikan sebagai pembuat amal yang banyak, Robin Hoodlah orangnya. Jika adalah seorang manusia yang boleh dianugerahkan dengan pingat jasa dan keberanian, Robin Hoodlah orangnya.

Namun kita yang mempunyai akal dan wahyu akan mempertikaikan perbuatan Robin Hood tersebut. Ya, ia merupakan amal, tapi adakah ia soleh? Sudah tentu jawapannya tidak.

Lantas pendefinisian amal itu perlu kita rungkai semula agar ia selari dengan kehendak Allah. Bila kehendak kita bertembung dengan kehendak Allah, kehendak Allah diutamakan. Bila kehendak masyarakat bertembung dengan kehendak Allah, kehendak Allah diutamakan. Bila kehendak bos dan majikan kita bertembung dengan kehendak Allah, kehendak Allah diutamakan. Begitulah seterusnya.

Moga-moga kita muhasabah diri kita dan timbang semula, berapa banyak amal soleh yang telah kita lakukan selama kita hidup di muka bumi Allah ini. Moga bermanfaat untuk semua.